Friday, May 4, 2012

PPD BAKAL DIBERI KUASA AUTONOMI ?

05/04/2012,Kapit : Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Saya terkedu seketika apabila mendapat tahu mengenai cadangan kerajaan untuk memberi lebih kuasa autonomi kepada pejabat pelajaran daerah, PPD baru-baru ini. Walaupun ianya merupakan satu cadangan, namun ia agak mengejutkan tatkala pengumuman mengenai dialog pendidikan nasional baru juga diumumkan beberapa minggu lepas. Lebih aneh, belum pun dialog tersebut berjalan, kerajaan sudah pun membuat cadangannya sendiri.

    Ketika ini saya tidak mengetahui apakah kuasa autonomi yang dicadangkan itu, tetapi sebuah cadangan yang diberi sebelum membawa para AHLI dalam arena pendidikan untuk berdialog merupakan satu kesalahan serius. Apatah lagi dalam suasana di mana ramai pendidik mengeluh akibat kerja-kerja berlebihan yang diberikan oleh PPD kepada mereka. Bagi golongan pendidik di pedalaman seperti saya sendiri, perkembangan ini bukanlah satu cadangan yang dialu-alukan.

   Saya masih teringat mengenai pelbagai komen daripada golongan guru yang kurang menyenangi tindak tanduk PPD dan jemaah nazir menguruskan sekolah di kawasan mereka. Sepatutnya kerajaan yang peka kepada kehendak guru sewajarnya menangguhkan dahulu sebarang 'penurunan kuasa' ke atas dua kelompok ini. Adalah lebih baik kuasa autonomi diberikan kepada pihak sekolah itu sendiri. Mereka jauh lebih mengenali sekolah mereka berbanding PPD dan jemaah nazir yang bersandarkan kepada data-data empirik dan dokumentasi semata-mata.

  Sehingga ke hari ini, apa yang dapat dilihat dalam kerangka pendidikan negara ialah insentif berbentuk wang kepada guru-guru dan insentif berbentuk kuasa kepada pihak PPD. Sudah sampai masanya isu ini yang dibincangkan di dalam dialog pendidikan tersebut. Saya percaya, insentif berbentuk wang hanya diiringi dengan beban kerja berlebihan. Eloklah diganti dengan kuasa autonomi pula kepada pihak sekolah untuk meningkatkan prestasi mereka pula.

   Isu ini memang panjang untuk dibincangkan. Hari ini saya sekadar melontarkan saja tajuk isu kepada pembaca semua untuk dibincangkan bersama. InsyaAllah, dalam entry yang akan datang, saya akan cuba mengupas lagi perkara ini. Sampai jumpa lagi. Wassalam

Wednesday, April 18, 2012

DIALOG PENDIDIKAN KEBANGSAAN


18/04/2012, KAPIT : Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Alhamdulillah sempena menyambut total pageview yang ke-3000 ini, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembaca dan 28 friends blog ini kerana terus memberikan sokongan. Jika bukan kerana saya tersilap reset total pageview suatu ketika dahulu, pasti ia sudah mencecah hampir 4000 sejak blog ini direka oleh saudari Hasnorwani, salah seorang pembaca buku saya,’Jom Ke Pedalaman’ dahulu.

Saya menyedari bahawa blog ini banyak kekurangan khususnya dari sudut input dan konsistensi entry yang dimasukkan. InsyaAllah ia akan dibaiki dari semasa ke semasa. Hari ini sekadar menyambung entry yang terdahulu mengenai pelan induk penambahbaikan pembelajaran di pedalaman, kita semua dapat melihat sedikit sinar mengenainya.

Barangkali sekadar kebetulan, lebih kurang sebulan lepas tidak lama selepas saya menulis entry berkenaan keperluan sebuah pelan induk untuk pendidikan di pedalaman, Timbalan Perdana Menteri merangkap juga Menteri Pendidikan iaitu Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengumumkan mengenai rancangan rombakan sistem pendidikan negara secara besar-besaran. Untuk maksud itu, beliau turut mengumumkan mengenai Dialog Pendidikan Kebangsaan di seluruh negara untuk mendengar dan mengumpul input yang boleh menambahbaik sistem pendidikan negara.

Saya sangat bersyukur kerana mungkin inilah satu peluang kepada para pejuang pendidikan di pedalaman di luar sana untuk mengemukakan pandangan mereka. Suara saya mungkin tidak dapat didengari tetapi saya cukup yakin masih ramai ahli politik, para pensyarah, aktivis dan guru-guru di luar sana yang mempunyai semangat dan idea yang sama ingin melihat pendidikan di pedalaman ini berkembang maju.

Belum terlambat untuk sesiapa dan pembaca semua untuk turut menyumbang artikel, surat pembaca sama ada di surat khabar perdana atau majalah, entry di blog dan laman sesawang untuk menjadikan suara pedalaman ini lebih kuat. Lihat sahaja bagaimana persatuan Cina dan India yang memperjuangkan sekolah vernakular mereka yang dikira minoriti itu. Namun bergegar Putrajaya lantaran suara mereka yang lantang menuntut pelbagai perkara demi survival pendidikan mereka. Lupakan perihal politik mahupun nada rasis mereka, lihat bagaimana kesungguhan mereka bersuara. Itulah yang saya impikan berlaku kepada komuniti sekolah pedalaman.

Ingatlah ! Walaupun sekolah pedalaman merupakan Sekolah Kebangsaan, namun ia mempunyai identiti tersendiri yang membezakannya daripada disekutukan dengan Sekolah Kebangsaan di bandar-bandar. Justeru, kita juga memerlukan suara tuntutan khas untuk kita sahaja. Kita memerlukan perhatian khas untuk kita sahaja. Kita memerlukan pelan pembangunan khas untuk kita sahaja.

Harapan saya agar komuniti sekolah di pedalaman akan mendengar pengumuman khas yang ditujukan bagi komuniti minoriti ini kelak. Seperti apa yang saya perjuangkan iaitu sebuah pelan pembangunan induk pendidikan di pedalaman selama ini. Ayuh, gunakan sepenuhnya peluang Dialog Pendidikan Kebangsaan ini walau di mana anda berada. Jumpa lagi pada entry seterusnya. Wassalam.

Saturday, February 25, 2012

SELEPAS PIPP ?

25/02/2012,SIBU : Assalamualaikum dan salam sejahtera. Entry kali ini akan membincangkan sedikit tentang masa hadapan sekolah pedalaman di Malaysia. Melihat kepada perkembangan kemajuan sekolah di pedalaman, sesiapapun yang berada di dalam komuniti pedalaman sama ada yang masih berada di sini, veteren atau yang sudah berpindah tidak dapat menyangkal sumbangan PIPP 2006-2011 dahulu.

Namun itu cerita dulu. Sekarang PIPP sudah tiada dan sejak itu belum ada lagi satu pelan konkrit mengenai masa hadapan sekolah pedalaman walaupun isu mengenainya seringkali dibincangkan. Tidak tahu di mana silapnya tetapi itulah hakikat yang saya nampak sejak berakhirnya PIPP. Memang ada usaha ke arah itu namun tidak sampai kepada pelaksanaan jangka masa panjang melainkan usaha jangka pendek dan sederhana. Perkara ini sangat membimbangkan apatah lagi jurang kepesatan pembangunan pelajaran murid di bandar semakin lebar.

Saya masih tertunggu-tunggu daripada mana-mana kesatuan guru yang ada di seluruh Malaysia ini yang menyuarakan mengenai masalah ini. Malangnya tidak kedengaran sama ada langsung tidak disuarakan atau sekadar berbisik melepas batuk di tangga sahaja. Di ruangan ini, saya ingin mengajak rakan-rakan bersama-sama memberi buah fikiran kepada kerajaan atau mana-mana pihak yang dapat membantu mencapai aspirasi ini. Hal ini kerana saya dapati kritikan daripada warga pedalaman cukup banyak namun cadangan yang mereka utarakan tidak seimbang.

Mungkin beberapa cadangan yang saya utarakan berikut boleh dicambahkan dan dikembangkan oleh para pembaca semua. Seharusnya dalam pelan pembangunan pendidikan di pedalaman ini, setiap pihak perlu memandang kepada dua aspek besar yang menjadi komposisi utamanya iaitu warga sekolah dan prasarana sekolah.

Pertamanya, warga sekolah di pedalaman mesti diisi oleh guru yang benar-benar energetik. Ketika ini, penempatan guru di sekolah pedalaman sangat caca marba. Bermula daripada kesilapan opsyen sehinggalah guru yang mengalami masalah disiplin , kesihatan dan motivasi. Sekiranya kerajaan benar-benar ingin melihat masa hadapan sekolah pedalaman berubah, maka selesaikan dahulu masalah ini.

Kedua, isu prasarana yang tidak selesai. Seminggu sebelum entry ini ditulis, asrama murid sebuah sekolah yang terletak bersebelahan dengan sekolah saya telah pun runtuh. Ramai murid yang cedera dan mengalami patah tulang. Lebih malang lagi apabila kebanyakannya ialah murid tahun 6 yang bakal menduduki UPSR. Mungkin kejadian ini nampak kebetulan tapi percayalah, semuanya rentetan daripada masalah pengabaian prasarana yang sudah bertahun-tahun tidak selesai. Hal itu belum termasuk proses pembinaan sekolah baru yang sering terbengkalai sehingga bertahun-tahun menjejaskan proses pembelajaran.

Dua isu ini akan melahirkan banyak cabang masalah lain. Saya pasti para guru di pedalaman sedia makum mengenainya. Insyaallah, dalam entry seterusnya, saya akan cuba suarakan masalah lain yang lahir daripada dua isu pertama ini. Semoga dengan bantuan komen, pengalaman dan pendapat rakan-rakan dapat membantu mengupas isu ini.

Monday, December 26, 2011

PENDIDIKAN NEGARA MAJU

27/12/2011/Perak : Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Seperti yang saya katakan pada entry yang lepas, ada sedikit perkongsian ilmu sekembali saya dari Hong Kong awal bulan ini. Walaupun tidak banyak mengenai sistem pendidikan yang boleh saya amati di sana disebabkan jadual perjalanan yang padat, namun perkara asas dalam pendidikan tetap dapat diintai.

Sebelum ini dalam entry yang lepas, saya sempat berkunjung di Beijing dan Shanghai. Berdasarkan pengalaman itu, saya dapati tidak banyak bezanya dengan sekolah-sekolah yang saya temui di bandaraya Hong Kong ini. Sukar untuk ditemukan pelajar yang bersiar-siar di jalanan dengan berpakaian sekolah. Bahkan untuk menemui sekolah di jalanan pun sukar kerana sekolah-sekolah di sana dihimpit dengan bangunan pencakar langit. Tidak seperti kita di Malaysia di mana kawasan sekolahnya memiliki tanah halaman yang luas.

Keadaan begitulah yang menyebabkan saya sukar meninjau sistem persekolahan di sana untuk dikongsi di dalam entry ini. Satu perkara yang saya perasan ialah tiada sekolah pedalaman di Hong Kong ini kerana pulau ini bagaikan Singapura yang serba maju dan tiada tanah berpenduduk yang terpinggir. Berbeza dengan Wilayah China yang terlalu luas menyebabkan penduduk di kawasan pedalaman sana memiliki sekolah seperti kita di Malaysia. Dengan anggaran gaji guru RM6000 sebulan di Hong Kong, bayangkan sahaja sistem persekolahan di sana yang pastinya efisyen selari dengan kadar gaji guru yang tinggi.

Sesungguhnya pengalaman melihat negara luar dan sistem persekolahan di sana memberi gambaran luas kepada saya sebagai seorang guru. Walaupun kita semua mesti bersyukur dengan apa yang sedia ada di Malaysia ini, namun sistem persekolahan di Malaysia masih lagi ketinggalan berbanding sekolah di negara maju. Jangan diukur dengan mudah angka-angka yang dikeluarkan oleh pihak KPM semata-mata tetapi bandingkanlah dengan realiti sebenar yang hanya dapat dibuat melalui pembacaan atau pergi sendiri ke negara luar. Semoga entry ini memberi manfaat kepada pembaca semua.

Sepanjang cuti ini, saya bangga melihat perubahan watak rakan-rakan guru yang lain apabila lebih ramai yang menghabskan masa cuti sekolah mereka dengan aktiviti berfaedah khususnya mengembara ke negara luar. Apabila saya membaca komen rakan-rakan di facebook, ada beberapa rakan guru yang menjejakkan kaki ke beberapa negara luar. Harapan saya mereka akan gunakan penilaian yang lebih syumul apabila kembali ke sekolah masing-masing kelak. Jumpa lagi, wassalam.

Thursday, November 24, 2011

CUTI SEKOLAH : ANDA BUAT APA ?

24/11/2011 - Perak : Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sudah hampir tiga bulan blog ini tidak menerima entry baru. Kesibukan menulis, perkahwinan dan kerja-kerja seharian menyebabkan saya gagal menulis mengikut jadual. Semoga rakan pembaca semua masih setia mengikuti blog ini dan turut menyumbang idea dalam penulisan saya.

Ketika ini musim cuti akhir tahun sekolah baru sahaja bermula. Hal ini juga bermakna keputusan pertukaran yang sering ditunggu-tunggu oleh ribuan guru baru sahaja memberikan jawapannya. Ada yang tersenyum gembira, ada yang terduduk menangis dan tidak kurang yang geram marah. Saya sendiri tidak berjaya dalam permohonan ini. Ya ! Dahulu saya begitu ingin menetap di pedalaman ini selama yang boleh namun apabila sudah mendirikan rumahtangga, senarionya turut berubah. Ternyata paradigma minda berubah seiiring dengan masa.

Walaubagaimanapun, kecintaan saya terhadap pedalaman ini tidak pernah berubah. Hanya perjuangan saja berubah. Mungkin pada satu masa nanti saya akan berkongsi entry mengenai sekolah pedalaman tetapi dari sekolah bandar apabila ditakdirkan berjaya berpindah kelak. Semoga saya mendapat sokongan rakan-rakan untuk terus istiqamah.

Pada esok pagi, saya akan bertolak bercuti ke Hongkong selama 5 hari. Walaupun di bawah label 'melancong', namun saya akan gunakan sepenuhnya peluang menjelajah ke negara orang ini untuk menambah idea dan ilmu yang akan saya titipkan dalam entry seterusnya. Bagaimana pula dengan anda wahai guru-guru semua ? Jangan hanya mengulang-ulang rutin yang sama. Balik kampung makan tidur seperti kebanyakan orang. Gunakan sepenuhnya masa cuti ini untuk menajamkan minda, skil, mencari peluang baru dan meningkatkan merit diri.

Baru-baru ini seorang bekas murid tahun enam saya pada 2008 dahulu ada menelefon dan bertanya khabar. Betapa terujanya murid ini apabila berjaya menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur dari pedalaman sana untuk mengikut pakciknya bekerja di sini pada musim cuti sekolah. Murid beginilah yang sepatutnya dicontohi oleh orang lain. Kisahnya mungkin 'simple', namun pada ceritanya tergambar betapa seorang murid pedalaman ini mulai meneroka dunia baru, mengubah paradigma mindanya, keluar daripada zon selesa, mencari peluang baru dan menambah ilmu serta pengalaman hidupnya sendiri.

Jika seorang murid hulu ini mampu melakukannya, bagaimana pula dengan para pendidik kita ? Agaknya berapa ramai mereka yang kini melakukan perkara yang sama atau sebaliknya 'mengular' di rumah sahaja. Semoga entry ini dapat mengetuk minda kita semua. Doakan perjalanan saya dan dikurniakan ilmu serta pengalaman yang memberi manfaat kepada kita semua. Wassalam.

Wednesday, August 3, 2011

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN ALMUBARAK

03/08/2011, Sibu : Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Alhamdulillah sekali lagi kita dipanjangkan umur untuk bertemu bulan mulia Ramadhan Almubarak. Kepada semua rakan-rakan muslim yang bertugas di kawasan pedalaman sana pastinya mengalami ujian berganda. Rakan-rakan guru yang baru ditugaskan ke sana pula pasti akan merasai semacam perasaan yang sukar digambarkan. Sedih, syahdu, sunyi dan lain-lain. Itulah lumrah hidup di pedalaman. Semoga catatan saya berkenaan Ramadhan di dalam buku Jom Ke Pedalaman dahulu memberi sedikit sebanyak gambaran sambutan Ramadhan di sana.
Syukur kerana saya berkesempatan menyambut Ramadhan kali ini di bandar Sibu kerana menghadiri kursus MBMMBI fasa 3 dan 4 selama seminggu. Kemeriahan menyambut Ramadhan termasuk berpuasa, bertarawikh dan bazaar Ramadhan sambil dikelilingi rakan-rakan guru yang turut berpuasa. Bertambah lagi kesyukuran kerana menyambut puasa ini di sebuah hotel mewah yang serba serbi selesa.
Satu perkara yang saya teringat berkenaan puasa di pedalaman ini ialah sikap rakan-rakan guru non muslim yang sangat bertimbangrasa. Bukan setakat pernah berpuasa bersama malah sanggup memasak dan meraikan guru muslim berbuka bersama-sama. Begitulah kenangan saya ketika berada di sekolah pedalaman. Pada malamnya, bersolat terawikh bersama-sama rakan muslim yang senasib ditugaskan di sini. Syahdunya tidak terkira tatkala orang lain di bandar bersolat bersama keluarga dan berjemaah beramai-ramai di masjid. Mendengar alunan zikir munajat melalui pembesar suara di masjid dan surau serta pelbagai lagi syiar Islam yang lain. Begitulah pengorbanan emosi dan rohani para pendidik muslim di pedalaman. Semoga ibadah kita semua dikira berganda di sisi Allah.
Namun terdapat juga kisah sedih yang pernah saya dengar apabila terdapat guru atau staf muslim yang hanyut tidak berpuasa di kawasan hulu ini. Jika setakat tidak berpuasa masih biasa lagi, namun apabila turut makan dan minum secara terbuka seolah-olah tiada hukum tuhan dan hukum penguatkuasa maka itu sudah melampau batas. Tidak dapat dinafikan keadaan persekitaran yang tiada roh puasa, hidup dihimpit dengan persekitaran berlainan agama, tiada penguatkuasaan penguasa agama dan iman yang nipis menyebabkan perkara seperti ini terjadi. Malangnya contoh buruk ini dilihat oleh majoriti guru dan masyarakat sekitar yang bukan beragama Islam tetapi lebih mengetahui hukum agama Islam itu sendiri.
Kadang-kadang berpuasa di pedalaman ini boleh jadi sangat indah dan boleh jadi sebaliknya. Keadaan inilah yang memerlukan kepada keperluan ilmu dan penghayatan agar keadaan kawasan persekitaran tidak memamah iman di dada. Semoga berjumpa lagi pada entry akan datang. Wassalam

Saturday, July 16, 2011

PENGORBANAN YANG TIDAK DIDENDANG

16/07/2011, Kapit : Assalamualaikum dan salam sejahtera..Alhamdulillah saya baru sahaja selesai mengikuti kursus MBMMBI fasa 1 dan 2 selama seminggu baru-baru ini. Terdapat lebih daripada 20 orang peserta daripada kira-kira 20 buah sekolah yang majoritinya ialah sekolah pedalaman. Di celah-celah kepadatan masa berkursus, saya mendapat beberapa ilmu tidak formal melalui pengalaman guru-guru di pedalaman yang boleh dikongsi bersama.
Ramai orang di luar sana tidak mengetahui satu perkara berkaitan pengorbanan guru di pedalaman yang jarang diperkatakan. Berkait rapat dengan golongan yang sudah mendirikan rumahtangga khususnya guru-guru wanita. Kisah-kisah sedih mengenai pengorbanan mereka jarang keluar di media kerana mudah sahaja mengundang kontroversi. Isu yang biasa kita dengar mengenai masalah mereka ialah terpaksa berjauhan dengan suami jika bertugas di pedalaman. Bunyinya simple sahaja tetapi konotasi 'berjauhan' itulah yang tidak dapat digambarkan dengan betul.
Menurut sumber yang hanya baru berlaku dua tahun kebelakangan ini, sudah ada dua kes guru wanita di pedalaman di kapit dan sebuah kawasan pedalaman lain (saya kurang pasti) mengalami keguguran. Bukan keguguran biasa, tetapi keguguran kembar. Seorang keguguran bayi kembar tiga dan seorang lagi keguguran bayi kembar dua. Sungguh sukar untuk dibayangkan penderitaan guru tersebut.
Guru yang keguguran bayi kembar tiga itu khabarnya berlaku ketika dalam perjalanan dari sekolah ke hospital di bandar. Beliau dikatakan mengalami pendarahan dan menjalani satu perjalanan yang cukup sukar iaitu menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan kem balak. Hentakan yang kerap daripada kenderaan tersebut menjadi punca keguguran kesemua bayi yang dikandungnya. Semoga Allah membalas jasa dan budi guru ini. Manakala sebab musabab keguguran bayi kembar dua guru wanita yang satu lagi itu tidak dapat dipastikan pula.
Cerita begini pasti jarang kedengaran di akhbar kerana mudah sahaja untuk dieksploitasi oleh banyak pihak. Apatah lagi kes-kes tentang kesukaran pertukaran guru-guru di pedalaman dan yang telah lama bertugas di Sabah dan Sarawak ke Semenanjung kerap diperkatakan. Sebelum ini, saya pernah mendengar kes mengenai proses kelahiran bayi yang sukar oleh guru-guru wanita di pedalaman seperti di dalam perahu panjang dan ketika dalam perjalanan. Namun, cerita tentang keguguran kembar begini baru pertama kali.
Inilah wira yang tidak didendang. Jika ramai orang di luar sana memahami maksud kesukaran hidup di pedalaman ialah 'tolak perahu, naik perahu berjam-jam, tiada hiburan dan seumpamanya', kini perlu memikirkan semula. Semoga kisah pendek ini akan membuka mata ramai pihak berkenaan isu dan pengorbanan guru-guru di pedalaman.
Jumpa lagi pada entry yang seterusnya.