Friday, January 14, 2011

JOM MENYAMBUNG PENGAJIAN

15/01/2011-KAPIT: Semoga anda semua sihat. Hari ini dalam kesempatan yang sangat singkat, saya hanya ingin mengingatkan kepada para pendidik yang membaca blog ini mengenai pengumuman KPM berkenaan cuti belajar bergaji penuh. Anda boleh melayari dan mengisi borang permohonan mulai 19 januari 2011 hingga 18 februari 2011.

Harapan saya agar para pendidik yang ingin mengisi dan berhajat menyambung pelajaran kali ini, sila perbetulkan niat anda. Terlalu sukar untuk menemui mana-mana guru yang menyambung pelajaran hanya untuk kepuasan belajar. Rata-rata semuanya tipikal untuk mengejar kenaikan pangkat, menjadi pensyarah IPG atau universiti atau apa sahaja yang bersifat materialistik.

Marilah kita bersama-sama mengubah tanggapan orang bahawa masih ada orang yang mahu menyambung belajar solid hanya untuk kepuasan belajar dan mengisi ilmu di dada. Usahlah mencampur adukkan niat belajar dengan perkara-perkara yang melibatkan urusan gaji, nama dan pangkat. Semua itu akan datang dengan sendiri, percayalah.

Walaupun masih jauh di pedalaman ini, saya berazam untuk menyambung pengajian saya pada peringkat PhD tahun ini. Kita berdoa bersama-sama agar dimudahkan.

Wednesday, January 5, 2011

SELAMAT DATANG TAHUN BARU

06/01/2011-KAPIT : Selamat datang tahun baru 2011. tahun ini ialah tahun kelima aku berada di sekolah pedalaman ini. Kadang-kadang rasa sangat bersemangat tetapi dalam masa yang sama turut berada dalam dilema.

Perkara pertama yang dipelajari pada awal tahun ini ialah perihal sakit tahun baru kebanyakan guru-guru di pedalaman ini. Mungkin terdapat para pembaca yang bersekolah di pedalaman sudah sedia maklum apa yang aku maksudkan. Ada tiga penyakit tahun baru yang sering berulang-ulang di sini dan hampir tiada penyelesaiannya.

Pertama : Sambutan perayaan tahun baru di hulu ini biasanya di sambut meriah sama ada di rumah panjang, jelatong, kem balak atau di pekan berhampiran. Kesudahannya ialah pesta mabuk yang tidak berkesudahan. Oleh sebab pesta tahun baru dan hari pertama persekolahan sering muncul serentak atau selisih sehari dua, maka terdapatlah guru yang ponteng gara-gara sakit tahun baru ini. tidak terkecuali di sekolahku sendiri.

Kedua : Masalah ponteng hari pertama. Sudah tentu penyumbang pertama ialah mana-mana guru yang mabuk pada hari sebelumnya gara-gara menyambut tahun baru dengan minuman keras atau tuak tradisional. Penyumbang kedua ialah golongan pendidik yang dijangkiti penyakit monday blues iaitu tiada motivasi untuk memulakan tugas hari pertama kerana jiwanya masih bercuti panjang. Akibatnya, pelbagai alasan diberi untuk menjustifikasikan kelewatan hadir ke sekolah. Biasanya mereka akan memberikan alasan sakit (MC), urusan persekolahan anak-anak, tertinggal bas, bot dan kapal terbang, menjaga orang tua yang sakit, kenduri kendara dan sebagainya. Sama ada mereka ini guru tempatan mahu pun yang datang dari semenanjung

Ketiga : Pentadbiran yang tidak bersedia. Kebanyakan sekolah masih belum bersedia untuk memulakan hari persekolahan yang pertama. Ketika itulah mesyuarat pertama baru hendak dibuat, jadual baru hendak diperbetulkan, person in charge untuk pelbagai perkara hilang dan tuding-menuding jari berlaku. Kelam kabut hari pertama walaupun biasa berlaku di kebanyakan sekolah namun masalah yang berlaku di pedalaman ini menurut pengamatanku lebih kepada sikap sambil lewa pentadbir sekolah.

Akhirnya, kesemua masalah ini akan menyebabkan sesi sebenar persekolahan hanya bermula pada minggu kedua. Minggu pertama benar-benar sakit. Kepada yang bermotivasi, inilah dilemanya dan ia mungkin akan memamah habis motivasi anda seperti saya.