Friday, May 28, 2010

Selamat Hari Guru

16/05/2010 , KAPIT – SELAMAT HARI GURU ! Begitulah ucapan ringkas yang selalu dilaungkan apabila tarikh 16 Mei menjelang setiap tahun. Penulis terkenang pada sambutan kali ini kerana beberapa sebab. Ketika artikel ini ditulis, penulis bersendirian di rumah, di sebuah sekolah pedalaman yang senyap sunyi di tengah-tengah jantung hutan belantara yang tidak dapat ditinjau oleh satelit pada pekat malam.

Pada ketika ini, rakan-rakan di bandar sudah pasti sedang menunggu dan berbalas sms dan emel mengucapkan selamat hari guru kepada rakan seperjuangan. Tidak kurang juga yang menyambutnya dengan pelbagai cara. Terdapat yang mengikuti sambutan rasmi kerajaan, program anjuran sekolah dan sebagainya. Terdetik di hati, adakah sesiapa yang mengingati kami pendidik di tengah belantara ini ? Hanya Allah sahaja yang melihat kami pada malam ini. Semoga para malaikat akan memohon keampunan untuk setiap guru yang sudah menabur jasa di sini.

Kepada semua guru, sambutan hari guru bukanlah bertujuan untuk menerima pujian, anugerah mahupun sanjungan. Walaupun sambutan yang diberikan berfungsi sedemikian, namun sebagai pendidik maksud yang perlu difahami bukanlah begitu. Hari ini juga bukanlah satu hari yang mesti diraikan seolah-olah baru keluar dari penjara seperti yang ramai meraikan di panggung wayang, restoran 24 jam, pusat membeli belah atau paling kurang di depan peti televisyen menunggu-nunggu jika ada pengumuman insentif oleh kerajaan sempena sambutan hari guru.

Hakikatnya inilah sebuah hari yang diperuntukkan kepada para pendidik agar menilai kembali tanggungjawab yang telah diamanahkan. Pada hari inilah azam baru patut dibuat. Pada hari inilah semangat baru perlu dipupuk. Pada hari inilah juga para guru seharusnya menginsafi akan kemuliaan tugas mendidik. Orang di luar sana yang meraikan kita belum tentu memahami apa yang kita rasai. Sekadar melihat guru melalui kaca mata seorang yang pernah bergelar murid. Meraikannya bagi menunjukkan penghargaan kepada guru-guru yang berjasa kepada mereka pada zaman belajar dahulu ataupun guru yang mendidik anak-anak mereka sekarang.

Tidak kira siapa, semua orang meraikannya hari ini. Sama ada mereka itu pernah menyaman guru, pernah mencerca guru atau pernah menulis perkara yang tidak elok berkenaan guru di dada akhbar. Semuanya berubah pada hari ini. Begitulah hebatnya hari guru. Andaikata hari ini disambut selama 365 hari setiap tahun, alangkah indahnya.

Tarikh ini perlu diingati bukan sahaja oleh orang luar kepada komuniti guru, tetapi juga oleh guru itu sendiri. Sambutan yang ditunjukkan pada setiap tahun di kaca televisyen merujuk kepada penghargaan oleh orang luar kepada guru. Namun jarang ditunjukkan bagaimanakah guru sendiri meraikannya. Disebabkan itu, para pendidik sendiri terlepas pandang bagaimanakah mereka sendiri patut meraikannya dengan cara sebagai seorang ahli akademik yang diiktiraf.

Ia mudah. Jangan menyambutnya dengan keterlaluan dalam apa cara sekalipun. Begitulah imej seorang pendidik. Walaupun diraikan dengan kemuliaan, sentiasa merendah diri dan tidak mendabik dada seperti orang lain yang mungkin meraikan sesuatu. Ingatlah ! dalam banyak profesion yang ada, hanya guru yang mempunyai sambutannya tersendiri yang diberi nama hari guru pada tarikh 16 Mei setiap tahun. Pengamal perubatan pun tidak mempunyai hari doktor seperti kita. Begitu juga profesional lain seperti peguam, akauntan dan lain-lain. Mengapa ? Kerana siapa pun mereka, hebat bagaimana pun mereka, semuanya kerana jasa pendidik yang dipanggil guru.

Bantuan Bermusim dan Terpilih

26/04/2010, KAPIT - Kematian seseorang membawa rahmat kepada yang lain. Mungkin begitulah yang berlaku dalam arus perdana di negara Malaysia yang tercinta ini. Dalam sebulan dua ini akan berlangsung dua buah pilihan raya kecil iaitu di Hulu Selangor (sudah berlangsung ketika artikel ini ditulis) dan di bandar Sibu pada bulan Mei ini. Kedua-duanya kerana kematian ahli yang berhormat di kawasan tersebut akibat penyakit yang dihadapi sejak sekian lama. Takziah dan jutaan terima kasih di atas jasa kedua-dua tokoh tersebut.

Ironinya apabila berlaku kekosongan kerusi parlimen sama ada disebabkan kematian atau sebab yang lain, maka pilihan raya kecil mesti dilaksanakan segera. Ketika itulah ungkapan ‘rahmat diatas kematian’ semakin jelas kelihatan. Lihat sahaja bantuan yang mencurah-curah ketika kempen berlangsung yang tidak terfikir pun akan didapati ketika hayat ahli berhormatnya.

Jutaan ringgit disalurkan kepada kepada pelbagai projek untuk meraih undi. Selaku pendidik, penulis melihat bagaimana bantuan yang difokuskan mengalir kepada sebuah entiti yang bernama SEKOLAH. Tidak kurang 3 juta ringgit sudah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri kepada sekolah jenis kebangsaan di kedua-dua kawasan Hulu Selangor dan Sibu. Bahkan dijanjikan juga kerja-kerja pembuatan dan penyelengaraan yang begitu pantas untuk sekolah-sekolah tersebut.

Anehnya sekolah yang tegak berdiri kukuh itulah yang diberi bantuan sedangkan sekolah lain di sekelilingnya yang hampir runtuh langsung tidak dipedulikan. Gara-gara meraih undi kaum Cina, maka peruntukan jutaan ringgit disalurkan kepada sekolah mereka. Di Sibu contohnya, masih terdapat sekolah luar bandar yang lebih memerlukan bantuan bernilai jutaan ringgit itu.

Penulis ingin memberitahu para pembaca semua bahawa kawasan sekolah penulis terletak tiga jam dari Sibu. Sehingga ke hari ini, sekolah ini sudah menyambut hari jadinya yang keempat bulan semenjak terbakar hangus pada 26 Disember 2009 yang lalu. Tiada sekolah di negeri ini mahupun di Malaysia barangkali yang tidak memiliki sekolah di dalam sekolahnya. Apa yang ada ialah sekeping tanah berarang yang mengubahsuai baki pondok, dewan makan dan astakanya untuk djadikan kelas sementara. Tiada sebarang tanda bantuan kerajaan akan tiba walaupun beberapa orang besar seperti Pengarah JPN sendiri sudah datang ke sekolah ini.

Begitulah kadang-kadang terlintas di fikiran penulis dan rakan-rakan. Adakah perlu menunggu kematian ahli parlimen di kawasan sekolah penulis barulah peruntukan jutaan ringgit itu akan disalurkan dengan segera ? Itu baru sebuah sekolah yang hangus terbakar. Belum dikira sekolah-sekolah lain yang bangunannya sudah berusia puluhan tahun dan sudah reput dimakan anai-anai.

Masa Depan Pendidikan di Pedalaman

16/04/2010 KAPIT- Terlintas di kepala, sampai bilakah nasib sekolah di pedalaman akan begini ? Kerajaan sudah bertukar beberapa kali dalam tempoh 50 tahun sesudah merdeka. Namun rupa dan wajah sekolah di pedalaman masih tidak banyak beza berbanding 50 tahun dahulu. Sebagai rekod, sekolah di pedalaman (Sekolah rendah) hanya merangkumi tidak lebih daripada 30% keseluruhan daripada kira-kira 10,000 buah sekolah yang wujud di muka bumi Malaysia ini. Hanya kerana ia terletak di kawasan geografi yang terpencil, maka ia pun turut mundur bersama sama ada dari segi fizikal mahupun akademiknya.

Penulis sering terfikir bahawa jika kemajuan atau kemunduran sesebuah sekolah seiring dengan pembangunan kawasan persekitarannya, maka masalah ini tidak akan selesai sehinggalah kiamat. Mengapa ? Ada dua faktor iaitu :

1) Kewujudan kawasan pedalaman pasti akan terus dikekalkan oleh mana-mana kerajaan sebagai sebuah kawasan yang dianggap sebagai paru-paru bumi, kawasan tadahan hujan, tempat tinggal flora dan fauna dan seumpama dengannya. Justeru, tiada harapan kawasan pedalaman akan berubah wajah kerana kewujudannya akan dikekalkan disebabkan fungsinya yang begitu.

2) Penduduk di kawasan pedalaman yang tidak dapat melawan arus hidup di bandar dari sudut ekonomi dan budaya, pasti akan terus meninggalkan legasi mereka di pedalaman walaupun kerajaan membuat pelbagai inisiatif untuk menarik mereka tinggal di bandar. Legasi ini akan melahirkan keturunan yang terus menerus memerlukan pendidikan di kawasan pedalaman itu. Secara normalnya, pembinaan sebuah bandar (contohnya di semenanjung) yang sudah mmpunyai rangkaian jalan raya pun memerlukan 10-15 tahun, kerajaan manakah yang akan membuat sebuah bandar di kawasan pedalaman untuk mereka ? Jika di buat pun, mungkin akan siap sehari sebelum kiamat barangkali.

Justeru, usaha untuk memartabatkan sistem pendidikan di pedalaman tidak boleh menunggu arus kemodenan datang ke sana. Cadangan yang boleh dibuat ialah hanya dengan memodenkan entiti penting di kawasan tersebut iaitu sekolahnya. Mungkin itulah yang difikirkan oleh kerajaan kini jika melihat daripada perubahan yang ada. Walaupun jumlahnya terlalu kecil, sudah kelihatan sekolah batu yang wujud di tengah-tengah kawasan hutan tebal. Sudah muncul sekolah yang rupa fizikalnya sama seperti sekolah di bandar walaupun kawasan sekelilingnya hanyalah hutan belantara jika ditinjau dari ruang udara melalui helikopter.

Mungkin itulah cara yang paling efektif buat ketika ini. Andaikan jumlah sekolah kategori pedalaman ialah seribu buah dan proses mengubahnya menjadi sekolah batu yang lengkap sama seperti sekolah di bandar ialah 10 buah setahun. Maka untuk melihat kesemua sekolah di pedalaman Malaysia berubah wajah terpaksalah menunggu sehingga seratus tahun dari sekarang.

Artikel ini hanya bertujuan untuk membawa pemikiran para pembaca kepada cara untuk mengubah sekolah di pedalaman. Semua angka dan cadangan hanyalah khayalan penulis sahaja yang disandarkan dengan pemerhatian semasa. Sekiranya terdapat respon dan cadangan terhadap artikel ini, sila emelkan kepada penulis. Jumpa lagi.