Friday, February 25, 2011

PERKAITAN DI ANTARA PENDIDIKAN JEPUN DAN PENDIDIKAN DI PEDALAMAN

27/02/2011-Kapit : Assalamualaikum....semoga semua sihat. Sambungan entry saya kali ini masih mengenai perbezaan di antara pendidikan di Barat dan Jepun. Dalam entry yang lepas, saya ada mengatakan bahawa pendidikan di pedalaman lebih mirip dengan pendidikan di Jepun. Menurut pemerhatian saya, ia berlaku kerana beberapa faktor khususnya kerana pendidikan di pedalaman majoritinya ialah sekolah rendah. Justeru, pembangunan murid bermula daripada bawah berbanding sekolah menengah yang menerima produk daripada murid sekolah rendah.

Apabila difikirkan dengan lebih mendalam, budaya kerja pendidikan Jepun sepatutnya diteroka ke dalam sistem pendidikan di Malaysia yang masih lagi berkiblatkan Barat. Pendidik di pedalaman Malaysia mempunyai kelebihan dari aspek persekitaran untuk mengguna pakai sistem pendidikan Jepun yang mengutamakan pembangunan menyeluruh murid. Berbeza dengan di bandar yang majoritinya sudah melangkaui apa yang dipanggil 'mengangkasakan pendidikan', berkisar kepada persoalan pembangunan kognitif, kreatif, inovatif, persaingan, anugerah, penghargaan dan seumpamanya.

Di Sarawak ini, saya dimaklumkan bahawa terdapat IPG (kalau tidak silap IPG Rejang) yang melahirkan bakal guru khusus untuk pedalaman sejak 2 tahun lepas. Saya masih belum berkesempatan untuk menganalisis bentuk modul, pendidikan dan rangka pengajaran bagi pelatih-pelatih guru di sana. Cuma diharapkan perbezaan yang ingin dibentuk terhaap guru khas pedalaman ini mestilah mempunyai hala tuju yang jelas dan bukannya hanya untuk memenuhi kouta atau permintaan guru yang sering berganti di pedalaman. Jika tidak, tiada apa yang boleh diharapkan kepada perubahan di sekolah-sekolah pedalaman ini.

Budaya pendidikan Jepun yang mengutamakan setiap murid daripada tercicir sangat penting untuk diimplimentasikan di pedalaman Malaysia. Saban tahun, jumlah keciciran murid di pedalaman terlalu tinggi dan pastinya faktor utama bukanlah kerana kemiskinan atau masalah pembelajaran. Walaupun dua masalah ini wujud, namun bantuan daripada kerajaan sudah memadai. Apa yang tinggal ialah bagaimana faktor guru pula untuk mengubah landskap pemikiran murid dan ibu bapa terhadap akademik. Asasnya para murid dan ibu bapa di kebanyakan pedalaman tidak yakin bahawa pendidikan dapat mengubah nasib hidup mereka yang sudah puluhan, malah ratusan tahun yang hidup di bawah garis kemodenan atau arus kebangsaan.

Di sinilah peranan yang dituntut kepada guru-guru yang bertugas di pedalaman. Sudah tentu perkara ini perlu dijadikan asas kepada modul latihan perguruan di IPG dan universiti. Jangan tunggu atau mengharapkan guru-guru yang dipostingkan ke sini belajar sendiri daripada pengalaman. Perkara ini seharusnya dijadikan pengajaran formal kepada semua pelatih di IPG dan universiti. Justeru, menurut pendangan saya, pendidikan Jepun yang terbaik berbanding segala teori pendidikan Barat.

Jika, para pembaca mempunyai komen, sila emelkan kepada saya agar entry ini boleh diperbaiki pada masa akan datang.




No comments:

Post a Comment