Saturday, July 31, 2010


01/08/2010,KAPIT- Baru-baru ini artikel saya ada diterbitkan di dalam majalah Pendidik keluaran Julai mengenai peta minda. Berikut pula merupakan artikel seterusnya yang telah saya hantarkan. Semoga turut diterbitkan kemudian.


MITOS DALAM PENDIDIKAN

Proses pembelajaran sering menjadi subjek utama dalam kajian pembangunan manusia. Terdapat banyak isu yang diteliti dan dibangunkan untuk menambah baik sistem pendidikan. Pelbagai kekangan, faktor dan alasan pada setiap isu tersebut cuba dirungkai dan ditambahbaik. Walaubagaimanapun, masalah besar yang bermain di fikiran sesetengah pengkaji sendiri kadang-kadang terlepas pandang. Itulah yang penulis maksudkan mitos dalam pembelajaran.

Hal ini sentiasa berlegar sama ada di dalam minda pengkaji, pendidik mahu pun pelajar. Mitos dalam pembelajaran ialah apa sahaja pandangan, idea atau falsafah yang tidak pernah dibuktikan tetapi diterima seolah-olah ia adalah perkara yang benar. Disampaikan dari satu generasi kepada generasi seterusnya tanpa hujah dan bukti melainkan hasil kerja peribadi sebagai ukuran kepercayaannya.

Perkara ini tidak membawa banyak kesan buruk jika berada dalam kotak pemikiran masyarakat awam. Malangnya ia akan menjadi bencana yang dahsyat sekiranya berlegar di dalam minda pendidik khususnya di peringkat sekolah. Mengapa ? Hal seperti ini akan mempengaruhi pemikiran para pendidik sehingga mereka hilang keyakinan untuk mengajar dan tidak percaya pada kemampuan diri. Perkara ini menjadi semakin genting apabila golongan guru yang terpengaruh dengan mitos pendidikan mulai meragui keupayaan pelajar, menyisihkan dan mengabaikan pelajar mereka sendiri.

Sekadar memetik dua buah mitos yang banyak membelenggu bahkan dipertahankan oleh ramai pendidik pada peringkat sekolah ialah :

1 – Sesetengah subjek sukar difahami berbanding subjek lain (Contohnya Bahasa Melayu lebih mudah berbanding Matematik, Bahasa Inggeris lebih susah berbanding Sains, Seni lebih mudah berbanding Sains dan Matematik )

2 – Terdapat murid yang pintar dan juga murid yang bodoh secara semulajadi dan tiada apa-apa yang mampu dilakukan ke atas mereka lagi (khususnya yang sudah berada pada peringkat peperiksaan umum)

Dua mitos di atas merupakan antara berpuluh daripada mitos yang masih didukung sehingga kini. Bahkan tidak sukar untuk berjumpa ramai pendidik yang bermati-matian mempertahankan perkara-perkara di atas itu tanpa sebarang hujah dan bukti yang kukuh. Jika ada pun, ia adalah bukti remeh yang langsung tidak boleh dikaitkan dengan kegagalan murid sama sekali. Contohnya, keputusan peperiksaan subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di sekolahnya sering sahaja rendah atau pun keputusan Bahasa Melayu sering sahaja tinggi setiap tahun.

Jika para pembaca juga mempunyai pendapat yang serupa, cuba tanya diri sendiri berapa banyak pula sekolah lain yang mempunyai keputusan hebat bagi subjek yang sama ? Bandingkan pada peringkat daerah, negeri, negara dan sehingga ke peringkat antarabangsa. Semakin dibandingkan, semakin jelas mitos itu kelihatan. Hal ini seolah-olah mengembalikan ingatan kita kepada banyak nasihat orang tua-tua lama yang tidak pernah pun dibuktikan sehingga kini tetapi masih diamalkan tanpa usul periksa.

Anehnya mitos-mitos ini memang kelihatan seperti benar jika mendengar pada hujah semata-mata. Begitulah yang banyak berlaku kepada ramai orang khususnya kelompok yang tidak mahu atau malas berdebat panjang mengenainya atau membuktikannya secara saintifik. Tetapi jika dikaji lebih mendalam, dibuat perbandingan, dirujuk pada pakar dan jurnal-jurnal yang terbabit, langsung tidak dijumpai asas mengenainya. Hal yang sebenar berlaku ialah kepercayaan semata-mata. Ia umpama sesetengah adat budaya yang terpaksa ditelan tanpa boleh dipertikaikan.

Kebanyakan golongan pendidik yang mempertahankan mitos tersebut mempunyai beberapa persamaan personaliti, antaranya :

1 – Mempunyai latar belakang pembelajaran sama ada akademik atau ikhtisas dalam satu disiplin ilmu sahaja

2 – Cepat berputus asa dan kurang berusaha dalam mempelbagaikan konsep pedagogi, malah sentiasa terikat dengan kaedah P&P lama

3 – Menjadikan mitos-mitos ini sebagai helah bela diri apabila murid yang diajar mereka kurang berjaya

Untuk memahami mengapa kedua-dua perkara ini adalah mitos, semua orang perlu kembali kepada fitrah kejadian manusia dan memahami bagaimana akal berfungsi. Para pembaca mungkin pernah mendengar kata-kata hikmat berikut “Tiada murid yang bodoh melainkan guru yang tidak pandai mengajar’. Itulah fitrahnya manusia.

Secara umumnya disiplin ilmu dalam sebarang bidang mempunyai anatomi dan orbit tersendiri untuk menuju ke puncak kefahaman. Jika jalan yang dipilih tidak betul, maka berlakulah salah faham iaitu penuntut merasakan diri mereka memang bodoh pada sesuatu mata pelajaran itu. Bagi pendidik disiplin ilmu itu pula, mereka dengan mudahnya percaya bahawa usaha yang dilaburkan memang sudah sampai ke kemuncak sehingga tidak dapat mengubah lagi pencapaian muridnya.

Hal yang sedang berlaku sebenarnya ialah gabungan perasaan gopoh, putus asa dan kepercayaan terhadap mitos inilah yang menyebabkan berlaku dakwaan sesetengah mata pelajaran lebih susah daripada yang lain. Kajian mengenai otak yang semakin berkembang pada abad ini sudah membuktikan banyak perkara di mana semuanya terpulang kepada empunya diri untuk menggunakan sama ada sebelah atau kedua-dua hemisfera otak.

Mitos kedua yang mempercayai kepada kewujudan murid pandai dan bodoh secara semulajadi pula lebih banyak disandarkan kepada faktor genetik. Memang benar faktor genetik semulajadi murid yang mewarisinya daripada keluarga mungkin menyebabkan sesetengah mereka menjadi murid lembam. Walaubagaimanapun mitos yang diperkatakan ini tidak tertakluk kepada segolongan insan istimewa seperti yang dikatakan ‘budak pintar cerdas’ (contohnya program Permata Negara) atau ‘budak lembam secara klinikal’.

Namun hal yang menjadi kepercayaan mereka ini melangkaui aspek ini. Sasaran golongan pendukung mitos ini meletakkan mangsa mereka dari kalangan bukan kelompok yang diperkatakan di atas. Dalam perkataan lain, murid-murid yang lemah, lambat dan lulus-gagal dalam peperiksaan sahaja. Disebabkan kurang berpuas hati dengan pencapaian murid seperti ini, mereka terus dilabel sebagai budak yang dikategori lembam lalu disebut-sebut mitos ini sebagai nas pandangan mereka.

Golongan yang terpengaruh dengan mitos ini langsung tidak mengaitkan semua keputusan yang diperoleh itu dengan hasil kerja masing-masing. Persediaan mengajar sambil lewa, sikap acuh tak acuh, tiada inisiatif mencuba pelbagai kaedah dan sikap cepat putus asa itulah yang sebenarnya berlaku. Bayangkan sahaja di sekolah lain yang memiliki murid cacat, lembam, masalah pembelajaran dan seumpamanya pun dapat diasuh oleh guru-guru di sana. Jika dikaji ternyata perkara yang membezakan pendidik itu ialah sikap dedikasi dan kepercayaan diri mereka.

Justeru, pihak pendidik di negara ini mestilah mengikis mitos seperti ini dari minda mereka. Bahkan apa sahaja kepercayaan dalam pendidikan yang tidak pernah pun dibuktikan melainkan hanya cakap-cakap kosong sahaja. Ada berpuluh malah beratus lagi mitos yang berbentuk negatif sedang berlegar-legar dalam ruang minda guru. Malanglah apabila sebuah mutiara bersalut kerak dilempar begitu sahaja gara-gara sikap sambil lewa pelombongnya.

Untuk membahaskan perkara seperti ini memang terlalu panjang dan terlalu banyak buku yang perlu dibaca untuk memahaminya. Justeru, untuk memendekkan proses itu, para pembaca dicadagkan mengambil langkah berikut untuk memendekkan masa kajian :

1 – Baca dan kaji latar belakang ilmuan hebat dalam liku-liku kejayaan mereka

2- Lakukan kepelbagaian P&P pada setiap mata pelajaran untuk membuktikannya sendiri. Dalam perkataan lain, buat kajian tindakan atau kajian sendiri terhadap kepercayaan yang didukung itu.

3- Buat perbandingan sepadan antara sekolah di kebanyakan tempat yang lain

No comments:

Post a Comment