Saturday, April 3, 2010

29/03/2010, Kapit - Alhamdulillah, kita masih dalam tajuk realiti di pedalaman. Sebagai sambungan kepada artikel minggu lepas, penulis mengulang kembali mengenai perbezaan sekolah di pedalaman Malaysia dan luar negara (negara maju).

Di Malaysia, sekolah rendah khususnya di pedalaman masih di tahap mengisi guru siswazah dan menaik taraf kualiti guru lepasan diploma kepada siswazah. Namun di sekolah pedalaman negara maju, sekolahnya bukan sahaja dipenuhi lepasan ijazah namun turut mempunyai pengalaman luas. Bagaimana mereka dapat membuat perkara sebegitu ? Faktor-faktor ini akan dibincangkan kemudian kerana ianya berkait dengan peranan kerajaan masing-masing.

Pengalaman penulis di kawasan pedalaman di sini mendapati bahawa selain faktor turnover guru-gurunya, kepimpinan sekolahnya juga turut pincang. Isu perpindahan ini bukan sahaja difikirkan atau terjadi kepada guru-guru muda khususnya yang datang dari luar daerah, malah kepada guru-guru lama yang merupakan anak tempatan juga. Bayangkan anak tempatan sendiri mengelak untuk bertugas di pedalaman ? Bagaimanakah orang luar yang bersandar kepada akujanji ketika di maktab dahulu mampu untuk menggalas tugas yang berat ini ?

Bahkan terdapat guru besar dan penolong kanan yang juga memohon pindah sehingga sekolah pedalaman menjadi sekolah transit semata-mata. Kebanyakan guru-guru besar yang mengisi kekosongan jawatan di sekolah pedalaman pun kebanyakannya kerana terpaksa sahaja. Begitu juga guru-guru yang baru dinaikkan pangkat menjadi penolong kanan tetapi terpaksa mengisi jawatan itu di sekolah rendah pedalaman. Percayalah. selagi namanya ‘terpaksa’, tiada apa yang boleh diharapkan kepada kepimpinan sekolah seperti ini. Sekolah pedalaman akan terus menjadi pedalaman dari segala sudut.

Di sinilah kekalahan besar aspek pendidikan pedalaman Malaysia berbanding pengurusan sekolah pedalaman di negara maju. Walaupun insentif seperti elaun yang tinggi telah diberikan, ianya tidak mampu dan tidak akan mampu untuk mengubah keadaan ini kerana duit bukanlah segala-galanya. Sudah ramai guru-guru di pedalaman yang penulis jumpa mengatakan akan tetap berpindah walaupun elaun dinaikkan sebanyak mana pun.

Semuanya berkait rapat dan kembali kepada faktor asal yang penulis kupas pada artikel pertama dahulu iaitu kualiti guru dari sudut personaliti. Hanya guru yang mempunyai keikhlasan yang tinggi sahaja akan betah di pedalaman dan yang lebih penting menjalankan kewajipannya seperti guru di bandar. Terdapat juga guru yang bertahan lama tinggal di pedalaman, namun gagal menjalankan kewajipan seperti yang sepatutnya.

Justeru pada pandangan penulis, sekolah pedalaman di Malaysia memerlukan sebuah model untuk ditiru sepertimana sekolah-sekolah di bandar mempunyai banyak sekolah kluster, SBP dan Bestari yang boleh dijadikan contoh. Begitu juga sekolah pedalaman. Sekolah jenis ini memerlukan model yang juga berada dalam kelompoknya. Kita tidak boleh meminta sekolah di pedalaman menjadikan sekolah berprestasi tinggi di bandar sebagai model ikutannya. Hal itu satu perkara yang mengarut yang hanya difikirkan oleh seseorang yang tidak tahu apa-apa tentang pendidikan di pedalaman.

Malangnya perkara ini tidak ditekankan oleh sesiapa dari kalangan pemimpin pendidikan di Kementerian Pelajaran. Walhal terdapat sekolah kluster dari kelompok pedalaman seperti SK Ulu Lubai di Limbang Sarawak. Mengapa tidak sekolah ini ditonjolkan sebagai model bagi sekolah pedalaman yang lain ? Kenapa tiada tumpuan media atau program khas untuk menyebarluaskan pengalaman sekolah ini kepada sekolah pedalaman yang lain ? Alangkah ruginya. Sekolah pedalaman memerlukan idola dan sebuah model yang realistik untuk dicapai.

Sekiranya guru-guru diminta untuk mencontohi sikap guru cemerlang yang lain, maka kepimpinan sekolah juga perlu mencontohi kepimpinan sekolah cemerlang yang lain. Pastinya perbandingan itu mestilah setara iaitu jika bandar dengan bandar, maka pedalaman mestilah dengan pedalaman yang cemerlang. Jika sebaliknya, maka tiada apa yang akan berubah.

No comments:

Post a Comment