Friday, February 26, 2010

BANGAU OH BANGAU !!!


20/02/10, Kapit - Masih segar dalam ingatan hujah yang diberikan oleh seorang pegawai Pejabat Pelajaran Daerah, PPD yang mendesak penulis agar menceritakan masalah prestasi sekolah yang sudah dua tahun berturut-turut SPR. Kepada pembaca yang mungkin tidak mengetahui apa itu SPR, ianya bermaksud Sekolah Berprestasi Rendah yang pencapaian UPSR di bawah 30%.

Beberapa kali penulis cuba mengelak apabila ditanya sehinggalah pegawai itu berkata, “Saya mahu dengar pandangan seorang cikgu yang mahu mengambil PhD,” di depan beberapa orang lain yang berurusan di pejabatnya. Kebetulan ketika itu saya menemuinya untuk bertanyakan urusan berkenaan cuti sambung belajar bagi peringkat kedoktoran. Kata-katanya itu membuatkan penulis sedikit tercabar apatah lagi dilontarkan di depan beberapa staf yang lain. Adakah ianya provokasi, sindiran atau ikhlas untuk mencari penyelesaian kepada persoalannya ?

Untuk rekod, selama tiga tahun setengah penulis berurusan dengan Pejabat Pelajaran Daerah ini, sudah ramai pegawai di pejabat itu yang bertanya soalan yang sama. Anehnya, soalan yang mempunyai jawapan di hujung hidung itu sering sahaja ditanya berulang kali dalam nada yang berlainan seolah-olah jawapannya mustahil untuk dijumpai.

Adakah mereka tidak pernah membaca kajian atau jurnal mengenai pengurusan pendidikan di pedalaman ? Tesis dan kajian oleh Syarifah Md. Nor 2000, Judge Howard Manning, McCullough dan Jerry Johnson 2007, Sinem Saban 2007, P. Kerim Friedman 2005 dan ramai lagi sudah memberi pelbagai penjelasan mengenainya. Mungkin juga pegawai ini sengaja bertanya untuk menguji kepekaan penulis terhadap sekolah sendiri.

Untuk meringkaskan hasil perbincangan kami berdua, penulis merumuskan begini. Bagi pihak pegawai itu, beliau sering menggunakan hujah bahawa sekolah penulis sudah dipenuhi dengan golongan siswazah (PPPS). “Bagaimana mungkin masih SPR kalau bukan gurunya tidak mengajar ? Sedangkan dahulu ketika belum ramai golongan berijazah berada di sekolah cikgu, keputusannya tidak begitu”.

Penulis tidak pasti apakah pandangan para pembaca apabila mendengar ucapan seperti itu. Beberapa saat sebelum menjawab, penulis memikirkan sekali lagi apakah maksud sebenar soalan itu. Adakah beliau menyalahkan keputusan kerajaan yang menghantar golongan PPPS untuk memenuhi sekolah-sekolah rendah atau menuduh guru-guru PPPS di sekolah penulis (termasuk saya sendiri) sebagai golongan pemalas ?

Penulis menjawab dengan turut melontarkan soalan kepada pegawai itu. Adakah berguna guru-guru PPPS yang ditempatkan di sekolah-sekolah sekiranya otak dan tenaga mereka tidak digunakan ? Sekali lagi penulis bertanya kepada beliau, golongan manakah yang mengajar keempat-empat subjek teras UPSR sepanjang dua tahun berturut-turut sekolah itu mendapat SPR ? Guru PPPS atau siapa ? Penulis memberitahu beliau bahawa guru yang mengajar subjek yang menyebabkan prestasi sekolah merosot bukanlah guru PPPS seperti yang disangkanya tetapi guru lama dari gred PPPLD (lepasan diploma) yang sudah mempunyai pengalaman mengajar belasan tahun.

Beliau terdiam sambil berfikir mencari hujah balas. Hujah beliau yang kedua pula terus menyalahkan guru PPPS dengan berkata, “ Tak kan guru-guru PPPS tidak membantu ? Tidakkah anda mendidik mereka dari darjah satu dan seterusnya. Di mana program KIA2M dan lain-lain” Hairan sungguh penulis dengan hujah dangkal sebegini yang jelas terus mahu menyalahkan guru PPPS.

Penulis menjawab begini. “ Sekolah saya mengamalkan sistem follow up kelas bagi subjek teras seperti kebanyakan sekolah lain yang juga mengamalkan sistem begini (guru yang mengajar sesuatu subjek teras akan terus mengajar subjek itu untuk kelas yang sama tahun demi tahun). Justeru, di manakah guna pakai tenaga guru PPPS ini jika guru yang sama (memiliki rekod buruk) terus menerus mengajar kelas yang sama saban tahun sehingga naik ke tahun enam ?

Persoalan siapakah yang bersalah terus diasak. Pada penulis, senang sahaja. Walaupun terdapat pelbagai faktor, ianya pasti bersabit dengan faktor utama iaitu kepimpinan sekolah. Letaklah guru yang berpengalaman puluhan tahun malah mempunyai ijazah sehingga PhD sekalipun. Tiada gunanya jika pentadbir sekolah tidak memanfaatkan mereka malah mengekalkan segelintir guru lama tertentu yang jelas terbukti prestasi merekalah yang menyebabkan prestasi sekolah runtuh.

Sekali lagi beliau terdiam. Ketika itu penulis terus menamatkan perbincangan yang sebenarnya agak panjang itu dengan ayat begini. “Tiada gunanya sekolah dipenuhkan dengan golongan PPPS dan guru berpengalaman puluhan tahun sekalipun sekiranya tenaga dan kelebihan mereka tidak digunakan. Dan tiada gunanya bilangan PPPS yang ramai itu dihantar ke sekolah jika sikap mereka sama sahaja atau lebih teruk lagi.

Penulis bukanlah mahu menyalahkan mana-mana guru terutamanya rakan-rakan PPPLD atau mempertahankan guru PPPS secara membuta tuli. Setiap guru termasuk PPPS sama sahaja. Semuanya bergantung kepada sikap. Guru yang memiliki pengalaman puluhan tahun atau ijazah berjela sekalipun, tiada gunanya jika mempunyai sikap sambil lewa. Malah guru ganti atau guru GSTT jauh lebih baik jika mereka mempunyai komitmen tinggi. Malangnya persepsi ramai orang tidak bagitu. Mereka hanya melihat kepada apa yang tertulis di atas kertas. Sudah pasti yang tertulis hanya yang baik-baik belaka. Namun SIKAP seseorang tidak akan dapat ditulis di atas kertas melainkan perlu dilihat sendiri.

Pegawai itu yang masih terdiam mendengar hujah penulis akhirnya membuat kesimpulan yang sungguh tidak disangka sama sekali. “ Pusing-pusing pun macam cerita bangau,” katanya. Maksudnya semua hujah yang diberi oleh penulis hanya merupakan satu helah bela diri dengan menyalahkan orang lain seperti cerita bangau yang dipelajarinya di bangku sekolah rendah dahulu. Mendengar kata-kata yang menyinggung hati itu, penulis hanya mendiamkan diri dan meminta diri selepas itu.

Begitulah sikap segelintir pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah yang penulis jumpa sepanjang tiga tahun setengah berkhidmat di sekolah pedalaman ini. APA GUNA BERTANYA SOALAN YANG JAWAPANNYA SUDAH DIKETAHUI JIKA TIDAK MAHU MENGAMBIL TINDAKAN. Ianya membazir air liur sahaja. Apa yang penulis sebut itu bukanlah sesuatu yang mereka tidak tahu atau baru, namun mereka buntu mencari penyelesaiannya sejak dari dulu kerana ia melibatkan faktor kepimpinan sekolah. Suatu perkara yang sukar bagi mereka untuk campur tangan. Penulis jamin, pada masa akan datang soalan yang sama juga akan dikemukakan kepada guru lain dan HUJAH BANGAU itu akan dihukumkan kepada mana-mana guru yang ikhlas menjawab.

No comments:

Post a Comment