08/12/2010, Perak : Assalamualaikum...Selamat menyambut maal hijrah kepada semua pembaca. Hari ini kita sudah memasuki tahun baru 1432 hijrah dalam kalender Islam dan hanya lebih kurang 3 minggu lagi memasuki tahun baru 2011 dalam kalender masihi. Kedatangan tahun baru sentiasa dirai dan memberi makna tersendiri kepada setiap orang. Selaku pengendali blog ini, saya mengucapkan selamat berhijrah kepada semua warga pendidik khususnya di kawasan pedalaman sana.
Seruan hijrah sentiasa dituntut di dalam kehidupan agar berubah kepada yang lebih baik. Justeru, sebagai kesinambungan kepada entry saya yang lepas, sudahkah anda merancang masa depan semasa cuti ini ? Apakah yang mahu kita lakukan kepada murid-murid yang sedang menunggu kita di sekolah ? Tak kanlah sama macam tahun-tahun dahulu.
Ingatlah..apa pun perancangan yang kita ingin lakukan, silalah buat secara bertulis. Secara peribadi, semua kejayaan yang saya miliki kini, 90% daripadanya adalah kerana saya menulis setiap perancangan yang ingin dilakukan. Menurut mana-mana pakar motivasi atau pakar kewangan, sebarang azam atau perancangan seharusnya ditulis dan tidak diungkapkan semata-mata. Walaupun perkara ini kerap disebutkan, namun hanya beberapa orang sahaja yang mahu menulisnya.
Justeru, saya menyeru diri sendiri dan semua rakan pembaca, tulislah semua perancangan dan azam kita untuk tahun baru ini. Saya dah cukup yakin dengan kuasa menulis sehingga hampir tiada dalam kehidupan seharian saya tanpa menulis. Mungkin inilah rasanya perkongsian ilmu saya yang terbaik untuk warga pendidik.
Jika tahun ini anda berazam untuk menjadi seorang guru cemerlang, tulislah semua yang berkaitan dengannya. Andaikata anda ingin menjadi jutawan, tulislah apa yang diperlukan dan langkah-langkahnya. Begitu juga apa sahaja yang anda inginkan. Semoga kita semua beroleh apa yang kita impikan, Insya Allah.
No comments:
Post a Comment