06/01/2011-KAPIT : Selamat datang tahun baru 2011. tahun ini ialah tahun kelima aku berada di sekolah pedalaman ini. Kadang-kadang rasa sangat bersemangat tetapi dalam masa yang sama turut berada dalam dilema.
Perkara pertama yang dipelajari pada awal tahun ini ialah perihal sakit tahun baru kebanyakan guru-guru di pedalaman ini. Mungkin terdapat para pembaca yang bersekolah di pedalaman sudah sedia maklum apa yang aku maksudkan. Ada tiga penyakit tahun baru yang sering berulang-ulang di sini dan hampir tiada penyelesaiannya.
Pertama : Sambutan perayaan tahun baru di hulu ini biasanya di sambut meriah sama ada di rumah panjang, jelatong, kem balak atau di pekan berhampiran. Kesudahannya ialah pesta mabuk yang tidak berkesudahan. Oleh sebab pesta tahun baru dan hari pertama persekolahan sering muncul serentak atau selisih sehari dua, maka terdapatlah guru yang ponteng gara-gara sakit tahun baru ini. tidak terkecuali di sekolahku sendiri.
Kedua : Masalah ponteng hari pertama. Sudah tentu penyumbang pertama ialah mana-mana guru yang mabuk pada hari sebelumnya gara-gara menyambut tahun baru dengan minuman keras atau tuak tradisional. Penyumbang kedua ialah golongan pendidik yang dijangkiti penyakit monday blues iaitu tiada motivasi untuk memulakan tugas hari pertama kerana jiwanya masih bercuti panjang. Akibatnya, pelbagai alasan diberi untuk menjustifikasikan kelewatan hadir ke sekolah. Biasanya mereka akan memberikan alasan sakit (MC), urusan persekolahan anak-anak, tertinggal bas, bot dan kapal terbang, menjaga orang tua yang sakit, kenduri kendara dan sebagainya. Sama ada mereka ini guru tempatan mahu pun yang datang dari semenanjung
Ketiga : Pentadbiran yang tidak bersedia. Kebanyakan sekolah masih belum bersedia untuk memulakan hari persekolahan yang pertama. Ketika itulah mesyuarat pertama baru hendak dibuat, jadual baru hendak diperbetulkan, person in charge untuk pelbagai perkara hilang dan tuding-menuding jari berlaku. Kelam kabut hari pertama walaupun biasa berlaku di kebanyakan sekolah namun masalah yang berlaku di pedalaman ini menurut pengamatanku lebih kepada sikap sambil lewa pentadbir sekolah.
Akhirnya, kesemua masalah ini akan menyebabkan sesi sebenar persekolahan hanya bermula pada minggu kedua. Minggu pertama benar-benar sakit. Kepada yang bermotivasi, inilah dilemanya dan ia mungkin akan memamah habis motivasi anda seperti saya.
No comments:
Post a Comment