Saturday, July 2, 2011

MENJANA MOTIVASI DIRI

02/07/2011 Kapit : Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Saya teringat beberapa minggu dahulu, ada rakan guru di kawasan terpencil ini yang mengadu motivasinya merosot teruk walaupun baru ditugaskan beberapa bulan sahaja di sini. Berikut jawapan saya terhadap masalah yang dikongsi oleh ratusan lagi guru-guru yang menerima nasib sama ditugaskan di pedalaman.

FAQ : Saya sering merasakan bahawa diri sendiri ketinggalan berbanding rakan-rakan guru di bandar. Di sini, diri terasa terpenjara dan tidak dapat meningkatkan merit diri kerana peluang yang terbatas dalam serba serbi keadaan. Ketiadaan kemudahan komunikasi, internet, jalan raya dan lain-lain menyebabkan jiwa saya benar-benar tertekan. Apa komen anda ?

Jawapan : Saya juga merasakan hal yang sama selama setahun pertama bertugas di sini. Kini saya sudah hampir lima tahun di pedalaman dan Alhamdulillah, mental dan motivasi diri masih maintain dan berkembang. Apa yang saya lakukan ? Pada saya, terpenjara atau tidak...mempunyai peluang atau tidak, boleh kembangkan merit diri atau tidak, semuanya bergantung kepada tuan badan. Selama saya mengalami depresi mental dahulu, saya membandingkan diri saya dengan rakan-rakan guru di bandar yang pada anggapan saya sudah melangkah jauh dalam kehidupan mereka berbanding diri sendiri.

Telahan saya jauh meleset. Ternyata rakan seperjuangan di bandar yang dilengkapi prasarana dan kemudahan canggih juga tidak sampai ke mana. Hendak dikatakan bergelar jutawan, bergelar guru cemerlang, mempunyai bisnes hebat atau penerbitan yang banyak, majoritinya tiada semua itu. Mereka masih lagi orang yang sama seperti saya yang berada jauh di hutan belantara ini. Cukup bulan terima gaji dan kemudian bayar itu dan ini. Itulah putaran hidup mereka setiap bulan.

Masuk tahun kedua, saya mulai menambah bahan bacaan dan memulakan penulisan. Hari demi hari, sedikit demi sedikit akhirnya minda terasa bebas dan berkembang. Melihat satu persatu hasil tulisan saya diterbitkan di majalah dan surat khabar, kajian tindakan dan jurnal saya diterbitkan hingga peringkat antarabangsa, buku-buku yang saya tulis diterbitkan dan konsultan yang diasaskan berkembang, semuanya bukti bahawa perasaan terperangkap di pedalaman hanya ilusi semata-mata. Semua hasil kerja (walaupun tidaklah terlalu hebat berbanding rakan lain) dan pengurusan konsultan, saya lakukan daripada sebuah bilik tidur kecil di tengah hutan banat dan sebulan sekali apabila turun ke bandar. Selain saya dan syarikat balak, mungkin orang gila saja yang menguruskan syarikat dari hutan.

Sesiapapun boleh berkembang asalkan ada kemahuan. Cuma cara sahaja yang perlu dicari. Saya menemui cara saya sendiri iaitu dalam bidang pembacaan, kajian, penulisan, pelaburan dan bisnes motivasi. Orang lain perlu mencari cara mereka sendiri. Hakikatnya ungkapan 'terpenjara' atau 'terperangkap' di pedalaman ini sesuatu yang boleh dicabar kebenarannya. Saya berusaha untuk membuktikan kenyataan itu salah dan anda pun boleh.

Majoriti rakan-rakan guru yang bekerja di bandar sana pun tidak berkembang seperti yang kita sangkakan. Mereka lebih banyak alpa kerana tidak menyedari hakikat kepentingan segala kemudahan yang ada di depan mata. Saya hanya menyedari kepentingan telefon, internet, jalan raya dan segala kemudahan lain apabila dicampakkan ke pedalaman. Hasilnya, saya berusaha gigih menggunakan semua fasiliti ini apabila mempunyai peluang turun ke bandar dan ketika musim cuti sekolah. Kualiti masa yang sangat penting.

Saya tidak berniat untuk bercakap besar atau bersikap takabbur dan riak. Sekadar berkongsi cebisan pengalaman dan semoga ia dapat memberikan motivasi kepada rakan-rakan yang berada 'dalam perahu yang sama'.

Wednesday, June 8, 2011

ANGKA GORILA YANG MENGARUT

09/06/2011,Perak : Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Saya ingin mengulas sedikit mengenai isu penghantaran guru-guru Semenanjung yang dikatakan berjumlah 80,000 orang ke Sarawak yang sedang hangat diperkatakan. Mungkin ada kalangan pembaca yang turut mengikuti isu ini. Saya tertarik dengan isu ini kerana ia melibatkan stesen bertugas di pedalaman secara langsung. Sesiapapun tahu, apabila disebutkan negeri Sabah dan Sarawak, sekolah pedalaman akan muncul di minda.

Secara umumnya, hal ini bermula apabila media mengeluarkan kenyataan bahawa pihak KPM akan menghantar sejumlah 80,000 orang guru Semenanjung ke Sarawak pada tahun depan. Akibatnya, orang politik di Sarawak seperti Dr James Masing dan Presiden Sarawak Teachers Union (STU) dengan segera membalas kenyataan terbabit. Belum pun sempat angka itu disahkan kebenarannya oleh KPM, banyak pihak terus menghentamnya. Kononnya angka sebesar itu akan menutup pintu rezeki anak tempatan Sarawak. Isu ini dengan mudah saja boleh dijadikan isu politik dan perkauman walaupun mempunyai asas untuk dibimbangkan. Namun akhirnya isu ini reda apabila KPM mengesahkan angka itu tidak benar dan salah.

Apa yang menarik mengenai isu ini walaupun telah berakhir ialah mengenai sensitiviti masyarakat tempatan terhadap kemasukan guru daripada negeri lain khususnya Semenanjung. Bukan rahsia bagi sesiapa yang sudah lama berkhidmat di negeri Sarawak dan Sabah (kerana saya dibesarkan di Sabah dan sekarang berkhidmat di Sarawak) mengenai unsur berat sebelah dan penerimaan yang tidak seratus peratus daripada birokrat tempatan. Begitu juga sebaliknya berlaku di Semenanjung.

Umum mengetahui bahawa kemasukan banyak guru daripada negeri lain ke Sarawak adalah untuk memenuhi kekosongan sekolah-sekolah khususnya di pedalaman dan option terpilih seperti guru agama. Hal ini sesuatu yang sangat kurang dan tidak akan terisi oleh anak tempatan untuk sekurang-kurangnya beberapa tahun lagi. Mengapa ? Itu isu yang melibatkan proses penghasilan guru di IPG, permohonan anak tempatan, kelayakan dan option dan perkara-perkara yang melibatkan merit dan undang-undang. Saya tidak berminat untuk mengulasnya di sini.

Saya teringat mengenai keluhan yang sama oleh guru-guru di Perak mengenai betapa ramainya guru daripada Kelantan yang sama ada ditugaskan ke sini mahupun yang memohon berpindah ke sini gara-gara sukar untuk berpindah ke Kelantan. Hal ini memberi impak yang besar terhadap permohonan pindah dan permohonan kali pertama anak tempatan sendiri di negeri ini. Namun, ia tidak menjadi isu besar apatah lagi dijadikan sensasi oleh mana-mana pihak. Jika dikaji, isunya lebih kurang sama sahaja dengan apa yang sedang berlaku di Sarawak baru-baru ini.

Saya pasti dengan timbulnya isu ini walaupun sudah reda, ia menimbulkan rasa kurang selesa, pandangan curiga dan cakap-cakap belakang yang tidak elok terhadap guru-guru Semenanjung yang telah sedia berkhidmat kini. Justeru, jika ada di kalangan pembaca semua yang berkhidmat di sana, fikir dan bertindaklah dengan cermat pasca-isu ini. Sedikit sebanyak ia akan memberi kesan terhadap hubungan kerja antara guru-guru Semenanjung dan Sarawak. Semoga artikel ini membuka sedikit pandangan kita mengenai kepelbagaian isu yang sebenarnya menyentuh secara langsung terhadap guru di pedalaman.

Monday, June 6, 2011

ARTIKEL LAMA UNTUK BACAAN SEMULA

Berikut merupakan sebuah artikel saya yang pernah diterbitkan akhbar suatu masa dahulu.

LANDSKAP PENDIDIKAN DI PEDALAMAN

Syabas dan tahniah kepada warga Dewan Masyarakat yang mengetengahkan isu “Cabaran Pendidikan di Pedalaman”, seperti yang ditulis oleh saudara Padilah Haji Ali pada keluaran Julai 2008. Selaku guru yang bertugas di pedalaman, artikel tersebut sangat dinantikan apatah lagi ketika negara sedang lemas dengan isu-isu politik tanahair yang tiada kesudahan.

Berdasarkan fakta yang beliau kemukakan, pastinya ia adalah statistik terkini. Walaubagaimanapun, rekod di atas kertas yang dipenuhi oleh nombor dan graf sahaja tidak dapat menggambarkan cabaran sebenar pendidikan di pedalaman. Harapan kami agar laporan khas ini dipanjangkan lagi dengan suara-suara para guru yang bertugas di sana. Hanya guru yang bertugas di pedalaman lebih mengetahui dan merasai cabaraan sebenar berbanding pegawai kolar putih ataupun ahli politik.

Rencana utama yang ditulis oleh Mohd Shukri Mohd Ariff, Aninah Janag dan A. Zaidel yang bertajuk, ‘Nasib Anak-anak Pendatang Asing Tanpa Izin’ juga sebenarnya mempunyai kaitan di dalam isu ini. Saya sendiri dibesarkan dalam alam persekolahan bersama anak-anak pendatang tanpa izin (PATI) yang banyak di Sabah khususnya di daerah Kota Kinabalu. Kini setelah bertugas sebagai guru di daerah pedalaman Sarawak, saya melihat isu pendidikan ini mempunyai hubungkaitnya yang tersendiri. Dari satu sudut, bagaimanakah kerajaan ingin menyediakan program pendidikan kepada anak-anak pendatang asing ini yang dibelenggu masalah kerakyatan ? Di sudut yang lain pula bagaimanakah kerajaan menyelesaikan isu pendidikan anak-anak tempatan yang jauh terpinggir di pedalaman walaupun mereka adalah warganegara kita sendiri ?

Pengalaman zaman pembelajaran saya dahulu bersama anak-anak pendatang asing dan setelah bertugas menjadi guru di pedalaman kini memberi paradigma baru. Daripada pengamatan, terdapat sebilangan anak-anak PATI yang mendapat pendidikan lebih baik berbanding anak-anak tempatan sendiri khususnya yang berada di pedalaman. Walaubagaimanapun, dalam masa yang sama tidak dapat dinafikan anak-anak tempatan di pedalaman masih menikmati pelbagai keistimewaan berbanding rakan-rakan sebaya dari golongan PATI tersebut. Mengapakah jadi begitu ? Anak-anak pendatang asing yang bersekolah khususnya di pekan atau bandar tidak mempunyai masalah besar dari sudut prasarana, guru atau keperluan pembelajaran lain, melainkan bebanan wang yuran yang boleh mereka cari dengan bekerja sambilan.

Berbeza dengan anak-anak tempatan di pedalaman yang bergelut dengan masalah lain seperti masalah jarak rumah yang jauh dari sekolah, pengangkutan yang mahal, kemiskinan, kesedaran terhadap pendidikan yang rendah, bahkan lebih rendah berbanding sebahagian anak-anak PATI sendiri. Ada antara mereka juga tidak mempunyai pengenalan diri seperti rakyat asing disebabkan masalah dokumentasi ibu bapa sendiri yang rata-ratanya buta huruf. Akibatnya, ramai daripada mereka yang keciciran. Suatu hakikat yang sukar diterima apabila dibandingkan dengan keciciran anak-anak PATI.

Untuk bekerja sambilan seperti anak-anak PATI di bandar adalah sesuatu yang mustahil kerana tiada apa yang mereka boleh lakukan di kawasan pedalaman. Jika kanak-kanak PATI boleh merempat di pasar-pasar dengan mengambil upah menjual plastik dan mengangkat barang, apakah yang boleh dibuat oleh kanak-kanak di pedalaman yang tinggal jauh di dalam hutan ? Sekadar mencari hasil hutan dan membantu ibu bapa menanam sayur dan padi bukit untuk dimakan sendiri sahaja.

Hal-hal umum seperti itu hanyalah isu yang biasa dikupas sejak dahulu. Bagaimana pula dengan isu terselindung yang hanya diketahui oleh pihak sekolah, ibu bapa dan murid ? Pernahkah sesiapa mempersoalkan tentang ketirisan agihan peruntukan pendidikan di pedalaman yang bernilai berbilion tersebut ? Daripada beratus-ratus projek yang bernilai ratusan juta, berapa banyakkah penyelewangan yang berlaku menerusi kontraktornya ? Cukuplah sekadar mengambil isu penghantaran makanan untuk murid asrama di pedalaman. Peruntukan perkapita yang telah ditambah bagaikan tiada maknanya apabila makanan yang sampai ke sekolah seringkali berbeza dan berkurang daripada jumlah tempahan. Beribu-ribu duit kerajaan hangus begitu sahaja pada setiap bulan di tangan kontraktor yang tidak bertanggungjawab. Melalui rumus mudah, semakin banyak projek maka akan semakin banyaklah penyelewengan berlaku. Siapapun yang terlibat, akhirnya murid juga yang menerima impaknya dan seterusnya menjadi cabaran kepada pendidikan di pedalaman.

Pastinya pelbagai isu baru melanda sebagai cabaran pendidikan di pedalaman dengan kenaikan harga minyak baru-baru ini. Semoga kupasan isu-isu di sekolah pedalaman dikaji hingga ke akar umbi agar pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) memberikan hasil yang signifikan.

Mohd Zaim Bin Jaafar,

Kapit, Sarawak.

Saturday, May 14, 2011

GURU PENJANA TRANSFORMASI NEGARA

14/05/2011 KAPIT : Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua rakan yang masih setia melayari blog ini. Alhamdulillah, melihat kepada perkembangan trafik walaupun masih baru dan tidaklah terlalu ramai, namun sudah cukup bagi saya sebagai motivasi untuk terus menulis. Jika blog-blog mengenai hal ehwal peribadi, politik dan bisnes yang kerap mengungguli carta hits, sekurang-kurangnya peluang yang anda berikan untuk melayari blog ini merupakan satu sumbangan kepada dunia pendidikan juga.

Pada bulan Mei ini, terlalu banyak sambutan hari-hari istimewa yang diraikan. Antaranya Hari Pekerja, Hari Ibu, Hari Belia, Hari Polis, Hari Guru, Hari Jururawat, Hari Wesak dan lain-lain lagi. Sebagai pendidik, sudah tentulah Hari Guru yang bakal disambut kelak memberi signifikasi yang tertentu. Mungkin di kalangan pendidik sendiri, ada yang berharap atau mungkin sudah diberitahu terpilih sebagai calon tokoh guru barangkali, sama ada di peringkat sekolah, daerah, bahagian, negeri atau peringkat kebangsaan.

Sebelum terlewat akibat peluang untuk menggunakan internet ini amat terbatas kepada saya, SELAMAT HARI GURU diucapkan kepada semua rakan seperjuangan. Semoga Allah memberi ganjaran untuk setiap usaha kita membuka minda manusia dan mengeluarkan manusia daripada kebodohan. Tiada ganjaran pahala yang lebih berangkai berbanding satu ilmu yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya dan daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Asalkan niat ikhlas dan betul caranya.

Saya terkenang kembali ayat sama yang saya katakan pada tahun lalu dalam entry atau artikel majalah yang lepas (sudah terlupa). Pada sambutan Hari Guru, lebih ramai pendidik yang menunggu di kaca televisyen sambil mengharapkan pengumuman insentif, hadiah atau khabar gembira daripada sama ada Perdana Menteri atau Menteri Pelajaran kepada warga pendidik. Seperti juga warga kakitangan awam yang lain apabila setia menunggu di akhir tahun kelak mengenai kemungkinan pengumuman bonus oleh kerajaan.

Pada masa yang sama, segala kritikan, kutukan dan limpahan ayat-ayat negatif kepada warga pendidik di ruangan surat pembaca atau komen sms di dada akhbar perdana dan tabloid serta merta bertukar menjadi ucapan tahniah. Saya selalu memerhatikan perubahan ini hinggakan hanya perbezaan sehari akan menyaksikan perubahan nada komen yang seratus peratus berubah. Contohnya, jika pada tarikh 15hb Mei nanti, komen negatif terhadap guru sarat di dada akhbar, maka pada 16 Mei keesokan harinya nanti penuh pulalah pujian melambung kepada para pendidik ini.

Begitulah realiti yang perlu dihadapi oleh warga pendidik sekarang. Masyarakat bebas berkata-kata sehingga terlupa pendidik jugalah yang satu masa dahulu mengajar mereka cara untuk bercakap. Selain itu, godaan profesion lain di luar sana amat kuat. Terlalu banyak pilihan kerjaya yang lebih mudah, tidak menyakitkan kepala dan hati, gaji dan pendapatan yang jauh lebih tinggi berbanding profesion perguruan. Harapan saya agar warga pendidik tidak patah semangat untuk terus berada dalam profesion ini.

Dugaan yang disebutkan di atas itu sudah banyak meragut bakat-bakat guru. Ada yang patah semangat dan bertukar kerjaya. Ada yang berhenti kerja kerana mendapat tawaran kerja yang lebih lumayan dan seumpamanya. Jika semua bakat terbaik ini hilang, maka tinggallah warga pendidik yang biasa-biasa saja. Justeru sempena sambutan Hari Guru ini juga, marilah kita sama-sama perbaharui azam masing-masing terhadap kerjaya agung ini. Jumpa lagi.

Saturday, April 2, 2011

IMPAK : BERPINDAH ATAU SAMBUNG BELAJAR ?

02/04/2011-Kapit : Assalamualaikum...Semoga semua sihat. Hari ini saya berkesempatan turun ke bandar kapit untuk menyelesaikan beberapa urusan peribadi. Peluang online di bandar ini memberi saya dua khabar terkini yang ditunggu oleh ramai pendidik. Pertama permohonan perpindahan secara online sudah dibuka sehingga 22 April dan keduanya panggilan temuduga kepada guru-guru yang pernah memohon biasiswa HLP dan cuti belajar bergaji penuh bagi program sarjana dan doktor falsafah.

Alhamdulillah sememangnya saya menunggu kedua-dua berita ini tetapi panggilan temuduga untuk biasiswa HLP lebih mengujakan. Sekian lama dan saban tahun saya memohon untuk menyambung pelajaran. Pelbagai kerenah birokrasi dan prosedur yang ditempuh selama ini akhirnya selesai dengan panggilan temuduga ini. Namun saya belum berjumpa dengan sesiapa daripada kalangan rakan-rakan guru yang mengenali saya berkongsi keterujaan ini. Apa yang berlaku ialah lebih ramai guru berkongsi rasa gembira dan teruja untuk memohon pindah khususnya dari lembah pedalaman ini. Bagaimana dengan anda rakan pembaca semua ?

Sekadar berkongsi maklumat yang saya tahu, terdapat 434 calon yang dipanggil untuk temuduga bagi program PhD dan terdapat enam ratus lebih bagi program sarjana pendidikan pada tahun ini. Persaingan dikira sengit untuk mendapatkan bantuan biaya daripada kerajaan agar hasrat menyambung pelajaran tercapai. Pastinya dana yang ada untuk setiap program sama ada sarjana atau PhD tidak sampai seratus orang. Berbeza dengan permohonan perpindahan. Walaupun saya tidak mempunyai statistik yang betul namun anggaran biasa yang pernah saya baca di majalah, angkanya melebihi 4 ribu orang. Begitulah perbezaan jumlah guru yang ingin melanjutkan pelajaran dan guru yang ingin berpindah.

Jika dilihat dari sudut yang lain, impak bilangan kedua-dua permohonan ini pastinya memberi kesan yang berbeza kepada sekolah-sekolah seluruh negara. Pengalaman saya di pedalaman ini menyatakan bahawa kadar turn over atau perpindahan guru saban tahun sangat besar walaupun sukar sehingga perlu mendapatkan kabel. Kesan perpindahan inilah yang sering dijadikan alasan oleh pakar-pakar mahupun yang bukan pakar mengaitkannya dengan kemerosotan akademik murid di pedalaman. Walaupun saya tidak bersetuju seratus peratus, namun ada kebenarannya.

Berbeza dengan impak akibat permohonan sambung belajar. Walaupun turut menyebabkan keseimbangan guru di sekolah terjejas, namun dalam jangka masa panjang hal ini membawa banyak kebaikan. Dari sudut motivasi warga sekolah yang meningkat melalui teladan dan ilmu yang bakal dibawa balik ke sekolah setelah tamat belajar kelak, pasti akan melonjakkan pencapaian sekolah dalam jangka masa panjang. Justeru, perbandingan dua permohonan ini sangat menarik perhatian saya.

Saya sendiri lebih mengharapkan dan sering berdoa agar permohonan biasiswa untuk menyambung belajar tercapai berbanding permohonan pindah. Sekiranya ada antara rakan pembaca yang berfikiran serupa, silalah berkongsi pandangan anda dengan saya.

Saturday, March 26, 2011

RESPON KEPADA PENDAPAT RAKAN-RAKAN

26/03/2011,Kapit : Alhamdulillah, terdapat rakan-rakan yang memberi cadangan mengenai entry untuk blog ini. Kebanyakannya menjurus kepada cadangan agar menulis berkaitan dengan aspek kehidupan, motivasi dan seumpamanya. Walaupun sudut itu menjadi kegemaran saya dan pernah menulis/menerbitkan buku mengenainya, namun buat masa ini saya tidak bercadang untuk menulis tema sebegitu di dalam blog ini. Insya Allah, saya percaya mungkin di lain masa akan turut dititipkan di sini.

Ketika ini, saya tidak menulis selain tema pendidikan kerana bimbang akan tergelincir dan terbabas daripada idea asal penghasilan blog ini. Saya hanya ingin memberikan pendapat khusus berkaitan dengan pendidikan dan bukan yang bersifat peribadi. Walaubagaimanapun, saya tidak menolak cadangan rakan-rakan pembaca semua begitu sahaja. Cuma mungkin pada masa akan datang khususnya jika saya ditakdirkan berpindah daripada kawasan pedalaman ini.
Terima kasih di atas cadangan semua.

Friday, March 25, 2011

SEKOLAH METROPOLITAN




25/03/2011-Sibu : Alhamdulillah sebuah entry ringkas untuk kali ini. Pada minggu lepas saya baru balik dari bercuti di negara China. Dalam tempoh seminggu, sempat mengunjungi Kotaraya Beijing dan Shanghai. Saya tak berniat untuk menceritakan keseronokan melancong ke pelbagai destinasi seperti Forbidden City, Summer Palace, naik cruise dan seumpamanya. Semua itu cuma pengalaman peribadi yang tidak perlu diceritakan di sini.

Hal yang menarik untuk dikongsi ialah kesempatan melihat bagaimana keadaan sekolah di sana. Walaupun agak sukar untuk melihat sekolah mereka dari jarak dekat kerana faktor perjalanan dan tujuan melancong, saya sempat mencuri pandang dan berfikir beberapa perkara mengenai sekolah dan persekitarannya di sana.

Sekadar maklumat, kota Beijing mempunyai 17 juta penduduk dan kota Shanghai mempunyai 20 juta penduduk. Diulang, kedua-duanya ialah kotaraya dan bukannya bandar seperti di Malaysia. Sekelip mata saja boleh sesat. Bayangkan pula murid-murid sekolah yang bersekolah dihimpit oleh bangunan pencakar langit. Saya sempat melihat bagaimana ibu bapa yang ramai setia menunggu di depan pagar sekolah menunggu anak-anak mereka balik.

Umum tahu negara China memiliki rekod kehilangan orang yang sangat tinggi. Sudah pasti kebimbangan bersekolah di kota sebesar itu menjadi satu isu besar. Orang dewasa pun mudah sesat, bayangkan pula kalau murid sekolah rendah. Saya pernah terserempak deretan murid yang terpaksa dibawa oleh guru sekolahnya untuk mengiringi perjalanan mereka pulang dari sekolah. Sejauh mana, tuhan saja yang tahu tetapi begitulah senarionya di sana. Justeru, jarang sekali saya terserempak dengan murid berpakaian sekolah berjalan-jalan di sekeliling kota ini bersendirian atau seperti murid-murid sekolah di Malaysia yang mudah dilihat merayau-rayau selepas waktu sekolah.

Mungkin juga kerana faktor saiz keluasan membuatkan aspek disiplin, keselamatan dan imej murid-murid sekolah di sana tidak seperti di Malaysia. Walaubagaimanapun, semua ini hanyalah anggapan saya berdasarkan pemerhatian singkat selama 7 hari di sana. Mungkin ada rakan-rakan pembaca yang lebih kerap ke sana atau mempunyai maklumat berkenaan sistem pendidikan dan persekolahan di sana, bolehlah berkongsi pada masa akan datang.

Insya Allah, entry seterusnya nanti akan terus bersambung dalam area perbincangan ini..Jumpa lagi. Wassalam