Monday, June 6, 2011

ARTIKEL LAMA UNTUK BACAAN SEMULA

Berikut merupakan sebuah artikel saya yang pernah diterbitkan akhbar suatu masa dahulu.

LANDSKAP PENDIDIKAN DI PEDALAMAN

Syabas dan tahniah kepada warga Dewan Masyarakat yang mengetengahkan isu “Cabaran Pendidikan di Pedalaman”, seperti yang ditulis oleh saudara Padilah Haji Ali pada keluaran Julai 2008. Selaku guru yang bertugas di pedalaman, artikel tersebut sangat dinantikan apatah lagi ketika negara sedang lemas dengan isu-isu politik tanahair yang tiada kesudahan.

Berdasarkan fakta yang beliau kemukakan, pastinya ia adalah statistik terkini. Walaubagaimanapun, rekod di atas kertas yang dipenuhi oleh nombor dan graf sahaja tidak dapat menggambarkan cabaran sebenar pendidikan di pedalaman. Harapan kami agar laporan khas ini dipanjangkan lagi dengan suara-suara para guru yang bertugas di sana. Hanya guru yang bertugas di pedalaman lebih mengetahui dan merasai cabaraan sebenar berbanding pegawai kolar putih ataupun ahli politik.

Rencana utama yang ditulis oleh Mohd Shukri Mohd Ariff, Aninah Janag dan A. Zaidel yang bertajuk, ‘Nasib Anak-anak Pendatang Asing Tanpa Izin’ juga sebenarnya mempunyai kaitan di dalam isu ini. Saya sendiri dibesarkan dalam alam persekolahan bersama anak-anak pendatang tanpa izin (PATI) yang banyak di Sabah khususnya di daerah Kota Kinabalu. Kini setelah bertugas sebagai guru di daerah pedalaman Sarawak, saya melihat isu pendidikan ini mempunyai hubungkaitnya yang tersendiri. Dari satu sudut, bagaimanakah kerajaan ingin menyediakan program pendidikan kepada anak-anak pendatang asing ini yang dibelenggu masalah kerakyatan ? Di sudut yang lain pula bagaimanakah kerajaan menyelesaikan isu pendidikan anak-anak tempatan yang jauh terpinggir di pedalaman walaupun mereka adalah warganegara kita sendiri ?

Pengalaman zaman pembelajaran saya dahulu bersama anak-anak pendatang asing dan setelah bertugas menjadi guru di pedalaman kini memberi paradigma baru. Daripada pengamatan, terdapat sebilangan anak-anak PATI yang mendapat pendidikan lebih baik berbanding anak-anak tempatan sendiri khususnya yang berada di pedalaman. Walaubagaimanapun, dalam masa yang sama tidak dapat dinafikan anak-anak tempatan di pedalaman masih menikmati pelbagai keistimewaan berbanding rakan-rakan sebaya dari golongan PATI tersebut. Mengapakah jadi begitu ? Anak-anak pendatang asing yang bersekolah khususnya di pekan atau bandar tidak mempunyai masalah besar dari sudut prasarana, guru atau keperluan pembelajaran lain, melainkan bebanan wang yuran yang boleh mereka cari dengan bekerja sambilan.

Berbeza dengan anak-anak tempatan di pedalaman yang bergelut dengan masalah lain seperti masalah jarak rumah yang jauh dari sekolah, pengangkutan yang mahal, kemiskinan, kesedaran terhadap pendidikan yang rendah, bahkan lebih rendah berbanding sebahagian anak-anak PATI sendiri. Ada antara mereka juga tidak mempunyai pengenalan diri seperti rakyat asing disebabkan masalah dokumentasi ibu bapa sendiri yang rata-ratanya buta huruf. Akibatnya, ramai daripada mereka yang keciciran. Suatu hakikat yang sukar diterima apabila dibandingkan dengan keciciran anak-anak PATI.

Untuk bekerja sambilan seperti anak-anak PATI di bandar adalah sesuatu yang mustahil kerana tiada apa yang mereka boleh lakukan di kawasan pedalaman. Jika kanak-kanak PATI boleh merempat di pasar-pasar dengan mengambil upah menjual plastik dan mengangkat barang, apakah yang boleh dibuat oleh kanak-kanak di pedalaman yang tinggal jauh di dalam hutan ? Sekadar mencari hasil hutan dan membantu ibu bapa menanam sayur dan padi bukit untuk dimakan sendiri sahaja.

Hal-hal umum seperti itu hanyalah isu yang biasa dikupas sejak dahulu. Bagaimana pula dengan isu terselindung yang hanya diketahui oleh pihak sekolah, ibu bapa dan murid ? Pernahkah sesiapa mempersoalkan tentang ketirisan agihan peruntukan pendidikan di pedalaman yang bernilai berbilion tersebut ? Daripada beratus-ratus projek yang bernilai ratusan juta, berapa banyakkah penyelewangan yang berlaku menerusi kontraktornya ? Cukuplah sekadar mengambil isu penghantaran makanan untuk murid asrama di pedalaman. Peruntukan perkapita yang telah ditambah bagaikan tiada maknanya apabila makanan yang sampai ke sekolah seringkali berbeza dan berkurang daripada jumlah tempahan. Beribu-ribu duit kerajaan hangus begitu sahaja pada setiap bulan di tangan kontraktor yang tidak bertanggungjawab. Melalui rumus mudah, semakin banyak projek maka akan semakin banyaklah penyelewengan berlaku. Siapapun yang terlibat, akhirnya murid juga yang menerima impaknya dan seterusnya menjadi cabaran kepada pendidikan di pedalaman.

Pastinya pelbagai isu baru melanda sebagai cabaran pendidikan di pedalaman dengan kenaikan harga minyak baru-baru ini. Semoga kupasan isu-isu di sekolah pedalaman dikaji hingga ke akar umbi agar pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) memberikan hasil yang signifikan.

Mohd Zaim Bin Jaafar,

Kapit, Sarawak.

No comments:

Post a Comment