Saturday, March 26, 2011

RESPON KEPADA PENDAPAT RAKAN-RAKAN

26/03/2011,Kapit : Alhamdulillah, terdapat rakan-rakan yang memberi cadangan mengenai entry untuk blog ini. Kebanyakannya menjurus kepada cadangan agar menulis berkaitan dengan aspek kehidupan, motivasi dan seumpamanya. Walaupun sudut itu menjadi kegemaran saya dan pernah menulis/menerbitkan buku mengenainya, namun buat masa ini saya tidak bercadang untuk menulis tema sebegitu di dalam blog ini. Insya Allah, saya percaya mungkin di lain masa akan turut dititipkan di sini.

Ketika ini, saya tidak menulis selain tema pendidikan kerana bimbang akan tergelincir dan terbabas daripada idea asal penghasilan blog ini. Saya hanya ingin memberikan pendapat khusus berkaitan dengan pendidikan dan bukan yang bersifat peribadi. Walaubagaimanapun, saya tidak menolak cadangan rakan-rakan pembaca semua begitu sahaja. Cuma mungkin pada masa akan datang khususnya jika saya ditakdirkan berpindah daripada kawasan pedalaman ini.
Terima kasih di atas cadangan semua.

Friday, March 25, 2011

SEKOLAH METROPOLITAN




25/03/2011-Sibu : Alhamdulillah sebuah entry ringkas untuk kali ini. Pada minggu lepas saya baru balik dari bercuti di negara China. Dalam tempoh seminggu, sempat mengunjungi Kotaraya Beijing dan Shanghai. Saya tak berniat untuk menceritakan keseronokan melancong ke pelbagai destinasi seperti Forbidden City, Summer Palace, naik cruise dan seumpamanya. Semua itu cuma pengalaman peribadi yang tidak perlu diceritakan di sini.

Hal yang menarik untuk dikongsi ialah kesempatan melihat bagaimana keadaan sekolah di sana. Walaupun agak sukar untuk melihat sekolah mereka dari jarak dekat kerana faktor perjalanan dan tujuan melancong, saya sempat mencuri pandang dan berfikir beberapa perkara mengenai sekolah dan persekitarannya di sana.

Sekadar maklumat, kota Beijing mempunyai 17 juta penduduk dan kota Shanghai mempunyai 20 juta penduduk. Diulang, kedua-duanya ialah kotaraya dan bukannya bandar seperti di Malaysia. Sekelip mata saja boleh sesat. Bayangkan pula murid-murid sekolah yang bersekolah dihimpit oleh bangunan pencakar langit. Saya sempat melihat bagaimana ibu bapa yang ramai setia menunggu di depan pagar sekolah menunggu anak-anak mereka balik.

Umum tahu negara China memiliki rekod kehilangan orang yang sangat tinggi. Sudah pasti kebimbangan bersekolah di kota sebesar itu menjadi satu isu besar. Orang dewasa pun mudah sesat, bayangkan pula kalau murid sekolah rendah. Saya pernah terserempak deretan murid yang terpaksa dibawa oleh guru sekolahnya untuk mengiringi perjalanan mereka pulang dari sekolah. Sejauh mana, tuhan saja yang tahu tetapi begitulah senarionya di sana. Justeru, jarang sekali saya terserempak dengan murid berpakaian sekolah berjalan-jalan di sekeliling kota ini bersendirian atau seperti murid-murid sekolah di Malaysia yang mudah dilihat merayau-rayau selepas waktu sekolah.

Mungkin juga kerana faktor saiz keluasan membuatkan aspek disiplin, keselamatan dan imej murid-murid sekolah di sana tidak seperti di Malaysia. Walaubagaimanapun, semua ini hanyalah anggapan saya berdasarkan pemerhatian singkat selama 7 hari di sana. Mungkin ada rakan-rakan pembaca yang lebih kerap ke sana atau mempunyai maklumat berkenaan sistem pendidikan dan persekolahan di sana, bolehlah berkongsi pada masa akan datang.

Insya Allah, entry seterusnya nanti akan terus bersambung dalam area perbincangan ini..Jumpa lagi. Wassalam


Friday, February 25, 2011

PERKAITAN DI ANTARA PENDIDIKAN JEPUN DAN PENDIDIKAN DI PEDALAMAN

27/02/2011-Kapit : Assalamualaikum....semoga semua sihat. Sambungan entry saya kali ini masih mengenai perbezaan di antara pendidikan di Barat dan Jepun. Dalam entry yang lepas, saya ada mengatakan bahawa pendidikan di pedalaman lebih mirip dengan pendidikan di Jepun. Menurut pemerhatian saya, ia berlaku kerana beberapa faktor khususnya kerana pendidikan di pedalaman majoritinya ialah sekolah rendah. Justeru, pembangunan murid bermula daripada bawah berbanding sekolah menengah yang menerima produk daripada murid sekolah rendah.

Apabila difikirkan dengan lebih mendalam, budaya kerja pendidikan Jepun sepatutnya diteroka ke dalam sistem pendidikan di Malaysia yang masih lagi berkiblatkan Barat. Pendidik di pedalaman Malaysia mempunyai kelebihan dari aspek persekitaran untuk mengguna pakai sistem pendidikan Jepun yang mengutamakan pembangunan menyeluruh murid. Berbeza dengan di bandar yang majoritinya sudah melangkaui apa yang dipanggil 'mengangkasakan pendidikan', berkisar kepada persoalan pembangunan kognitif, kreatif, inovatif, persaingan, anugerah, penghargaan dan seumpamanya.

Di Sarawak ini, saya dimaklumkan bahawa terdapat IPG (kalau tidak silap IPG Rejang) yang melahirkan bakal guru khusus untuk pedalaman sejak 2 tahun lepas. Saya masih belum berkesempatan untuk menganalisis bentuk modul, pendidikan dan rangka pengajaran bagi pelatih-pelatih guru di sana. Cuma diharapkan perbezaan yang ingin dibentuk terhaap guru khas pedalaman ini mestilah mempunyai hala tuju yang jelas dan bukannya hanya untuk memenuhi kouta atau permintaan guru yang sering berganti di pedalaman. Jika tidak, tiada apa yang boleh diharapkan kepada perubahan di sekolah-sekolah pedalaman ini.

Budaya pendidikan Jepun yang mengutamakan setiap murid daripada tercicir sangat penting untuk diimplimentasikan di pedalaman Malaysia. Saban tahun, jumlah keciciran murid di pedalaman terlalu tinggi dan pastinya faktor utama bukanlah kerana kemiskinan atau masalah pembelajaran. Walaupun dua masalah ini wujud, namun bantuan daripada kerajaan sudah memadai. Apa yang tinggal ialah bagaimana faktor guru pula untuk mengubah landskap pemikiran murid dan ibu bapa terhadap akademik. Asasnya para murid dan ibu bapa di kebanyakan pedalaman tidak yakin bahawa pendidikan dapat mengubah nasib hidup mereka yang sudah puluhan, malah ratusan tahun yang hidup di bawah garis kemodenan atau arus kebangsaan.

Di sinilah peranan yang dituntut kepada guru-guru yang bertugas di pedalaman. Sudah tentu perkara ini perlu dijadikan asas kepada modul latihan perguruan di IPG dan universiti. Jangan tunggu atau mengharapkan guru-guru yang dipostingkan ke sini belajar sendiri daripada pengalaman. Perkara ini seharusnya dijadikan pengajaran formal kepada semua pelatih di IPG dan universiti. Justeru, menurut pendangan saya, pendidikan Jepun yang terbaik berbanding segala teori pendidikan Barat.

Jika, para pembaca mempunyai komen, sila emelkan kepada saya agar entry ini boleh diperbaiki pada masa akan datang.




Saturday, February 19, 2011

18/02/2011-Kapit : Assalamualaikum...semoga semua sihat. Saya baru sahaja selesai membaca beberapa buah buku berkaitan pendidikan untuk membuat proposal pengajian. Insya Allah, ada beberapa ilmu yang saya ingin kongsikan bersama untuk semua pendidik khususnya guru-guru di pedalaman.

Berdasarkan pembacaan saya, terdapat dua cara pendidikan yang berpengaruh di dunia ini iaitu konsep pendidikan barat (US) dan konsep pendidikan Timur (Jepun). Kedua-duanya mempunyai perbezaan yang jelas (itu pun kalau diperhalusi dengan teliti). Pendidikan di barat mementingkan aspek pembangunan kognitif dan menganggap proses pembangunan diri murid secara keseluruhannya bukanlah tanggungjawab atau kerja guru. Justeru, mereka ini memang pakar dalam menghasilkan pelbagai bentuk metod pembelajaran sehingga menyamaratakan eksperimen yang menggunakan haiwan untuk dibandingkan dengan manusia.

Jika pembaca masih ingat mengenai pelbagai konsep dan mazhab yang telah dipelajari ketika di IPG dahulu, semuanya berasal daripada area sana. Masih ingat lagi chimpanzi bernama Sultan yang digunakan dalam kajian pendidikan di barat, termasuklah anjing dan burung ? Secara ringkasnya, kajian pendidikan begitu menunjukkan hasil yang jua dicapai oleh guru-guru yang mempelajarinya. Jika difikir2x, metod sebegini selalu diamalkan oleh guru-guru di bandar. Majoriti lebih mementingkan keupayaan kognitif, pencapaian akademik dan kokurikulum, anugerah dan seumpamanya.

Pendidikan di jepun pula, lebih mementingkan aspek pembangunan diri murid secara menyeluruh. Jika pembaca semua pernah menonton drama jepun Great Teacher Onizuka (GTO), begitulah yang saya maksudkan. Di sana, guru akan follow up muridnya sehinggalah ke rumah dan perjumpaan dgn ibu bapa serta murid di dalam rumah murid sendiri merupakan satu budaya. Jadi anda semua boleh bayangkan bagaimanakah bentuk dan konsep pendidikan di jepun. Berdasarkan pengalaman di pedalaman ni, saya rasakan konsep pendidikan di pedalaman lebih mirip ke arah pendidikan Jepun. Walaupun mungkin secara tidak langsung.

Disebabkan pendidikan di pedalaman masih mengejar unsur 3M, budaya persekolahan asrama sejak kecil, sinergi sekolah dan rumah panjang, maka metod follow up murid seperti di jepun itu turut berlaku di sini. Sikap terlalu mengejar kejayaan akademik tidak menjadi budaya sangat tetapi lebih kepada pendidikan untuk menyelamatkan setiap murid daripada tercicir persekolahan.

Buat masa ini, ilmu ringkas ini sahaja yang ingin dikongsikan. Akan datang, saya akan ceritakan kajian yang lain pula, Insya Allah. Wassalam






Saturday, February 5, 2011

ALAHAI GURU BARU PELAPIS BANGSA !

05/02/2011-Kapit : Salam sejahatera...minggu ini telefon saya bertalu-talu diserang oleh ramai bakal guru-guru. Maklumlah, keputusan posting dah keluar dan bayak persoalan yang ingin ditanyakan. Seperti yang diduga, majoriti juniorku dahulu ditempatkan di Sabah dan Sarawak. Bahkan ramai yang dipostingkan di pedalaman sarawak berdekatan Kapit juga.

Satu perkara yang menarik ialah terdapat dua kelompok daripada ramai mereka ini yang menelefonku. Pertama golongan yang sentiasa pandang ke hadapan untuk melalui cabaran yang bakal ditempuh. Sentiasa meminta nasihat, galakan dan informasi berkenaan pedalaman. Satu golongan lagi ialah mereka yang merungut, ketakutan, kerisauan dan ingin menolak tawaran posting yang sudah diberikan.

Jika dilihat sekali imbas, kelihatan golongan pertama ini yang lebih baik berbanding golongan kedua. Namun ada sedikit kebimbangan berdasarkan pengalamanku dahulu. Mengapa ? kerana sebenarnya saya sendiri berada di golongan kedua satu ketika dahulu. Namun apa yang berlaku ialah seiring dengan peredaran masa, golongan yang merungut dan ketakutan inilah yang semakin cintakan pedalaman. Berbeza dengan golongan yang kelihatan sangat beria-ria pada awalnya, namun tidak sampai setahun, mental down.

Justeru, saya ingin berpesan kepada semua bakal guru yang ditugaskan ke pedalaman. Akan berlaku banyak perbezaan pada watak anda sepanjang berada di pedalaman kelak. Daripada seorang yang mungkin bencikan pedalaman, akhirnya melekat dan bekerja lama di sana. Begitu juga kepada yang sukakan pedalaman pada awalnya, akhirnya merekalah yang sentiasa merungut dan meminta pindah saban tahun.

Oleh itu, kekalkan momentum motivasi anda. Tidak perlu terlalu teruja mahupun terlalu menolak. Segalanya mungkin berubah. Cabaran yang paling penting ialah mengekalkan motivasi sepanjang berada di sekolah pedalaman itu kelak. Kepada yang pernah membaca buku saya, Jom Ke Pedalaman. Syabas saya ucapkan dan welcome to the club. Bukan semua orang bertuah dapat ke pedalaman.

Hari ini mungkin anda mencemuh, "Apa yang bertuahnya", namun percayalah, 10 tahun kelak ada pasti akan terkenang dan ingin kembali merasai pengalaman yang bakal anda lalui ini. Sekalung tahniah daripada saya kepada sesiapa yang berjaya ke pedalaman.

Friday, January 14, 2011

JOM MENYAMBUNG PENGAJIAN

15/01/2011-KAPIT: Semoga anda semua sihat. Hari ini dalam kesempatan yang sangat singkat, saya hanya ingin mengingatkan kepada para pendidik yang membaca blog ini mengenai pengumuman KPM berkenaan cuti belajar bergaji penuh. Anda boleh melayari dan mengisi borang permohonan mulai 19 januari 2011 hingga 18 februari 2011.

Harapan saya agar para pendidik yang ingin mengisi dan berhajat menyambung pelajaran kali ini, sila perbetulkan niat anda. Terlalu sukar untuk menemui mana-mana guru yang menyambung pelajaran hanya untuk kepuasan belajar. Rata-rata semuanya tipikal untuk mengejar kenaikan pangkat, menjadi pensyarah IPG atau universiti atau apa sahaja yang bersifat materialistik.

Marilah kita bersama-sama mengubah tanggapan orang bahawa masih ada orang yang mahu menyambung belajar solid hanya untuk kepuasan belajar dan mengisi ilmu di dada. Usahlah mencampur adukkan niat belajar dengan perkara-perkara yang melibatkan urusan gaji, nama dan pangkat. Semua itu akan datang dengan sendiri, percayalah.

Walaupun masih jauh di pedalaman ini, saya berazam untuk menyambung pengajian saya pada peringkat PhD tahun ini. Kita berdoa bersama-sama agar dimudahkan.

Wednesday, January 5, 2011

SELAMAT DATANG TAHUN BARU

06/01/2011-KAPIT : Selamat datang tahun baru 2011. tahun ini ialah tahun kelima aku berada di sekolah pedalaman ini. Kadang-kadang rasa sangat bersemangat tetapi dalam masa yang sama turut berada dalam dilema.

Perkara pertama yang dipelajari pada awal tahun ini ialah perihal sakit tahun baru kebanyakan guru-guru di pedalaman ini. Mungkin terdapat para pembaca yang bersekolah di pedalaman sudah sedia maklum apa yang aku maksudkan. Ada tiga penyakit tahun baru yang sering berulang-ulang di sini dan hampir tiada penyelesaiannya.

Pertama : Sambutan perayaan tahun baru di hulu ini biasanya di sambut meriah sama ada di rumah panjang, jelatong, kem balak atau di pekan berhampiran. Kesudahannya ialah pesta mabuk yang tidak berkesudahan. Oleh sebab pesta tahun baru dan hari pertama persekolahan sering muncul serentak atau selisih sehari dua, maka terdapatlah guru yang ponteng gara-gara sakit tahun baru ini. tidak terkecuali di sekolahku sendiri.

Kedua : Masalah ponteng hari pertama. Sudah tentu penyumbang pertama ialah mana-mana guru yang mabuk pada hari sebelumnya gara-gara menyambut tahun baru dengan minuman keras atau tuak tradisional. Penyumbang kedua ialah golongan pendidik yang dijangkiti penyakit monday blues iaitu tiada motivasi untuk memulakan tugas hari pertama kerana jiwanya masih bercuti panjang. Akibatnya, pelbagai alasan diberi untuk menjustifikasikan kelewatan hadir ke sekolah. Biasanya mereka akan memberikan alasan sakit (MC), urusan persekolahan anak-anak, tertinggal bas, bot dan kapal terbang, menjaga orang tua yang sakit, kenduri kendara dan sebagainya. Sama ada mereka ini guru tempatan mahu pun yang datang dari semenanjung

Ketiga : Pentadbiran yang tidak bersedia. Kebanyakan sekolah masih belum bersedia untuk memulakan hari persekolahan yang pertama. Ketika itulah mesyuarat pertama baru hendak dibuat, jadual baru hendak diperbetulkan, person in charge untuk pelbagai perkara hilang dan tuding-menuding jari berlaku. Kelam kabut hari pertama walaupun biasa berlaku di kebanyakan sekolah namun masalah yang berlaku di pedalaman ini menurut pengamatanku lebih kepada sikap sambil lewa pentadbir sekolah.

Akhirnya, kesemua masalah ini akan menyebabkan sesi sebenar persekolahan hanya bermula pada minggu kedua. Minggu pertama benar-benar sakit. Kepada yang bermotivasi, inilah dilemanya dan ia mungkin akan memamah habis motivasi anda seperti saya.