Saturday, October 30, 2010

BAKUN MENGERINGKAN AIR

29/10/2010, Sibu : Assalamualaikum semua... Menjelang tiga minggu lagi sebelum sekolah melabuhkan tirai, terdapat beberapa isu di kawasan pedalaman ni.. Mungkin pembaca semua sedang mengikuti perkembangan isu bakun yang kerap keluar di media kini. Sekolahku antara yang terjejas secara langsung disebabkan projek bakun itu.
Berdasarkan surat khabar Borneo hari rabu lepas, kemungkinan sekolahku dan empat buah lagi sekolah lain yang terjejas akibat paras air sungai batang rajang yang semakin surut, ditutup atau berpindah. Hai...apa dah berlaku. Surat khabar hari ini pula menjelaskan lagi bagaimana kesan paras air sungai batang rajang yang semakin susut akibat takungan oleh empangan bakun menjejaskan banyak pihak. Ada lebih kurang 20 rumah panjang, 5 buah sekolah dan pelbagai urusan dan aktiviti manusia yang menggunakan sepanjang sungai ini akan terjejas teruk.
Pengalamanku sendiri sehingga kini sudah mulai memeritkan. Bot ekspres dan tongkang juga sudah tidak lagi beroperasi melainkan jika paras air naik sedikit jika hujan. Namun sampai bila mahu mengharapkan hujan ? Ada hujan adalah bot ekpres, tiada hujan tiadalah bot ekspres..Memang menyeksakan. Jalan kem balak pula kerap tiada kenderaan yang baik untuk beroperasi disebabkan terlalu ramai orang yang menggunakannya.
Sehingga kini sekolahku sudah tidak menghantar wakil untuk 5 buah kursus gara-gara tiada pengangkutan air akibat sungai yang semakin kering. Walaupun sebahagian pegawai dari PPD menganggap sekolah yang terletak di kawasan tebing sungai besar lebih baik berbanding sekolah-sekolah yang berada di sungai kecil, hakikatnya dalam keadaan begini kami lebih terasa kesannya. Jika kebanyakan sekolah lain masih mempunyai jalan kem balak, namun kami agak jauh dan terpaksa menunggu giliran yang kerap kali tidak berpihak kepada kami.
Mungkin catatatnku kali ini masih berterabur. Ini kerana aku terpaksa mencuri-curi waktu keluar yang terhad ini untuk menulis sambil menguruskan banyak perkara lain. Insya Allah, pada waktu cuti sekolah kelak, aku akan cuba berikan entry yang lebih baik untuk pembaca semua. Jumpa lagi
29/10/2010, Sibu : Assalamualaikum semua... Menjelang tiga minggu lagi sebelum sekolah melabuhkan tirai, terdapat beberapa isu di kawasan pedalaman ni.. Mungkin pembaca semua sedang mengikuti perkembangan isu bakun yang kerap keluar di media kini. Sekolahku antara yang terjejas secara langsung disebabkan projek bakun itu.
Berdasarkan surat khabar Borneo hari rabu lepas, kemungkinan sekolahku dan empat buah lagi sekolah lain yang terjejas akibat paras air sungai batang rajang yang semakin surut, ditutup atau berpindah. Hai...apa dah berlaku. Surat khabar hari ini pula menjelaskan lagi bagaimana kesan paras air sungai batang rajang yang semakin susut akibat takungan oleh empangan bakun menjejaskan banyak pihak. Ada lebih kurang 20 rumah panjang, 5 buah sekolah dan pelbagai urusan dan aktiviti manusia yang menggunakan sepanjang sungai ini akan terjejas teruk.
Pengalamanku sendiri sehingga kini sudah mulai memeritkan. Bot ekspres dan tongkang juga sudah tidak lagi beroperasi melainkan jika paras air naik sedikit jika hujan. Namun sampai bila mahu mengharapkan hujan ? Ada hujan adalah bot ekpres, tiada hujan tiadalah bot ekspres..Memang menyeksakan. Jalan kem balak pula kerap tiada kenderaan yang baik untuk beroperasi disebabkan terlalu ramai orang yang menggunakannya.
Sehingga kini sekolahku sudah tidak menghantar wakil untuk 5 buah kursus gara-gara tiada pengangkutan air akibat sungai yang semakin kering. Walaupun sebahagian pegawai dari PPD menganggap sekolah yang terletak di kawasan tebing sungai besar lebih baik berbanding sekolah-sekolah yang berada di sungai kecil, hakikatnya dalam keadaan begini kami lebih terasa kesannya. Jika kebanyakan sekolah lain masih mempunyai jalan kem balak, namun kami agak jauh dan terpaksa menunggu giliran yang kerap kali tidak berpihak kepada kami.
Mungkin catatatnku kali ini masih berterabur. Ini kerana aku terpaksa mencuri-curi waktu keluar yang terhad ini untuk menulis sambil menguruskan banyak perkara lain. Insya Allah, pada waktu cuti sekolah kelak, aku akan cuba berikan entry yang lebih baik untuk pembaca semua. Jumpa lagi

Friday, October 8, 2010

APA YANG BERLAKU ?


08/10/2010-KAPIT- Sekiranya para pembaca membaca atau mengikuti perkembangan isu 'aneh tapi benar' yang berlaku di sepanjang sungai Batang Rajang di kawasan Kapit dan Sibu, ianya sangat mengejutkan. Menurut surat khabar perdana kelmarin dan hari ini, sungai Batang Rajang tidak dapat dilalui oleh bot ekspress dan pengangkutan air yang lain kerana permukaan sungai yang dilimpahi oleh ribuan kayu balak terapung. Sambil menyifatkan peristiwa itu sebagai yang terburuk dalam sejarah, kertas siasatan bencana sudah dimulakan.

Jika ada pembaca yang belum melihat gambar peristiwa tersebut, sila surf internet untuk mendapatkan gambar yang lebih baik. Ketika perkara itu berlaku jumaat yang lalu, aku baru sahaja menaiki bot ekspress untuk ke sibu pada hari sebelumnya dan akan kembali ke Kapit pada hari ini. Mungkin kuasa tuhan untuk menyelematkanku daripada bencana alam yang dahsyat ini. Para pembaca juga boleh melihat peristiwa ini di dalam laman youtube.

Semoga entry yang tidak disangka ini akan membuatkan lebih ramai orang membuka mata mengenai masalah yang dihadapi di kawasan pedalaman. Aku tidak dapat bayangkan berapa ramaikah pihak yang akan terjejas dengan bencana buatan manusia ini. Pihak sekolah, penduduk kampung dan pengguna sepanjang sungai itu jauh melebihi dengan semua pembalak di hutan sana. Fikir-fikirkanlah.

Tuesday, October 5, 2010


05/10/2010 Kapit - Assalamualaikum...apa khabar semua ? Setelah lama tenggelam dalam pelbagai masalah, akhirnya hari ini dapat juga menghasilkan satu lagi entry untuk pembaca semua. Hari ini saya menghadiri kursus 3 hari tentang pedagogi Sains dalam bahasa Melayu. Kursus ini sebenarnya satu hadiah kemenangan bagiku kerana setelah menentang program PPSMI selama beberapa tahun sebelum ini, akhirnya ia telah dimansuhkan dan ditukar pula kepada dasar baru yang dipanggil dasar memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris atau MBMMBI.

Walau apapun implikasi dasar ini kelak, aku percaya ia lebih baik berbanding dasar PPSMI yang lalu. Terlalu banyak komen yang aku dengar daripada peserta di belakang kursus yang mengatakan perubahan dasar begini hanya membazir duit sahaja. Ya...aku tidak nafikan bahkan bersetuju. Cuma dalam masa kita berkira-kira tentang kerugian duit, jangan lupa untuk mengira untung nasib anak bangsa kita juga.

Dalam tempoh lebih kurang 2 bulan dari sekarang pula dijangka satu lagi keputusan berkaitan dasar kerajaan akan diputuskan iaitu pemansuhan peperiksaan awam sekolah. Malaysia ni mungkin suka mansuh memansuh barangkali !!! Bagi isu ini, aku sudah mulai menulis topik kecil yang berkaitan dengannya di dalam buku Jom Ke Pedalaman yang kedua, Insya Allah. Secara ringkasnya aku masih bersikap berhati-hati dalam menilai semua baik buruk kesan yang bakal dihadapi oleh keputusan itu kelak. Setakat ini, aku beranggapan sama ada dimansuhkan atau tidak, kedua-duanya akan memberi implikasi pro dan kontra yang seimbang. Bagaimana dengan anda ?

Selain dasar-dasar yang dibincangkan secara meluas atau atas meja bulat itu, semua orang juga tidak patut cuai dalam meneliti beberapa dasar halus yang sedang berjalan tanpa perlu mendapat keputusan ramai. Jika para pembaca sedar atau tidak, sudah ada semacam dasar berjimat cermat di dalam Kementerian Pelajaran. Bunyinya kelihatan bagus di dengar tetapi mengundang banyak persoalan dan implikasi negatif berbanding kebaikannya. Apakah ia ? Para guru semua seharusnya mencari sendiri dan peka pada setiap isu yang berlaku dalam dunia pendidikan seperti pengendalian kursus, elaun dan tuntutan, peruntukan perkapita, peruntukan untuk panitia dan aktiviti sekolah, biasiswa, peraturan dan pekeliling semasa, perpindahan, tender dan kontraktor serta lain-lain lagi.

Entah kenapa setiap kali aku turun ke bandar, banyak isu dan rungutan berkaitan dengan 'dasar berjimat cermat' ini. Disebabkan ia tidak mendapat liputan media, maka ia hanya berlegar-legar kepada sesiapa atau guru yang terkena sahaja. Dalam perkataan lain, apabila sudah terkena baru perasan perkara seperti itu wujud. Kadang-kadang terfikirkah kita ke mana semua lebihan jimat cermat itu hilang ? Daripada persoalan inilah, seribu satu soalan lain akan datang.

Semoga dengan entry ringkas ini, para pembaca semua akan mulai terfikir dan perasan akan perubahan-perubahan ganjil yang berlaku pada tahun ini dengan tahun-tahun yang lalu. Jumpa lagi.Wassalam

Tuesday, September 7, 2010

SELAMAT HARI RAYA

08092010/Kapit- Selamat berpuasa dan menyambut hari raya.Sudah terlalu lama tiada entry baru buat tatapan pembaca semua. Saya mohon maaf kerana beberapa kelemahan ini. Mungkin kerana saya banyak menumpukan kepada murid-murid tahun 6 yang bakal mengambil upsr tidak lama lagi sehingga tidak terfikir untuk memberi entry baru. Selain itu, saya juga menumpukan kepada penulisan untuk majalah pendidik dan beberapa buah buku sendiri.

Insyaallah, saya akan cuba masukkan entry yang baru selepas hari raya aidilfitri ini...Maaf zahir dan batin...

Saturday, July 31, 2010


01/08/2010,KAPIT- Baru-baru ini artikel saya ada diterbitkan di dalam majalah Pendidik keluaran Julai mengenai peta minda. Berikut pula merupakan artikel seterusnya yang telah saya hantarkan. Semoga turut diterbitkan kemudian.


MITOS DALAM PENDIDIKAN

Proses pembelajaran sering menjadi subjek utama dalam kajian pembangunan manusia. Terdapat banyak isu yang diteliti dan dibangunkan untuk menambah baik sistem pendidikan. Pelbagai kekangan, faktor dan alasan pada setiap isu tersebut cuba dirungkai dan ditambahbaik. Walaubagaimanapun, masalah besar yang bermain di fikiran sesetengah pengkaji sendiri kadang-kadang terlepas pandang. Itulah yang penulis maksudkan mitos dalam pembelajaran.

Hal ini sentiasa berlegar sama ada di dalam minda pengkaji, pendidik mahu pun pelajar. Mitos dalam pembelajaran ialah apa sahaja pandangan, idea atau falsafah yang tidak pernah dibuktikan tetapi diterima seolah-olah ia adalah perkara yang benar. Disampaikan dari satu generasi kepada generasi seterusnya tanpa hujah dan bukti melainkan hasil kerja peribadi sebagai ukuran kepercayaannya.

Perkara ini tidak membawa banyak kesan buruk jika berada dalam kotak pemikiran masyarakat awam. Malangnya ia akan menjadi bencana yang dahsyat sekiranya berlegar di dalam minda pendidik khususnya di peringkat sekolah. Mengapa ? Hal seperti ini akan mempengaruhi pemikiran para pendidik sehingga mereka hilang keyakinan untuk mengajar dan tidak percaya pada kemampuan diri. Perkara ini menjadi semakin genting apabila golongan guru yang terpengaruh dengan mitos pendidikan mulai meragui keupayaan pelajar, menyisihkan dan mengabaikan pelajar mereka sendiri.

Sekadar memetik dua buah mitos yang banyak membelenggu bahkan dipertahankan oleh ramai pendidik pada peringkat sekolah ialah :

1 – Sesetengah subjek sukar difahami berbanding subjek lain (Contohnya Bahasa Melayu lebih mudah berbanding Matematik, Bahasa Inggeris lebih susah berbanding Sains, Seni lebih mudah berbanding Sains dan Matematik )

2 – Terdapat murid yang pintar dan juga murid yang bodoh secara semulajadi dan tiada apa-apa yang mampu dilakukan ke atas mereka lagi (khususnya yang sudah berada pada peringkat peperiksaan umum)

Dua mitos di atas merupakan antara berpuluh daripada mitos yang masih didukung sehingga kini. Bahkan tidak sukar untuk berjumpa ramai pendidik yang bermati-matian mempertahankan perkara-perkara di atas itu tanpa sebarang hujah dan bukti yang kukuh. Jika ada pun, ia adalah bukti remeh yang langsung tidak boleh dikaitkan dengan kegagalan murid sama sekali. Contohnya, keputusan peperiksaan subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di sekolahnya sering sahaja rendah atau pun keputusan Bahasa Melayu sering sahaja tinggi setiap tahun.

Jika para pembaca juga mempunyai pendapat yang serupa, cuba tanya diri sendiri berapa banyak pula sekolah lain yang mempunyai keputusan hebat bagi subjek yang sama ? Bandingkan pada peringkat daerah, negeri, negara dan sehingga ke peringkat antarabangsa. Semakin dibandingkan, semakin jelas mitos itu kelihatan. Hal ini seolah-olah mengembalikan ingatan kita kepada banyak nasihat orang tua-tua lama yang tidak pernah pun dibuktikan sehingga kini tetapi masih diamalkan tanpa usul periksa.

Anehnya mitos-mitos ini memang kelihatan seperti benar jika mendengar pada hujah semata-mata. Begitulah yang banyak berlaku kepada ramai orang khususnya kelompok yang tidak mahu atau malas berdebat panjang mengenainya atau membuktikannya secara saintifik. Tetapi jika dikaji lebih mendalam, dibuat perbandingan, dirujuk pada pakar dan jurnal-jurnal yang terbabit, langsung tidak dijumpai asas mengenainya. Hal yang sebenar berlaku ialah kepercayaan semata-mata. Ia umpama sesetengah adat budaya yang terpaksa ditelan tanpa boleh dipertikaikan.

Kebanyakan golongan pendidik yang mempertahankan mitos tersebut mempunyai beberapa persamaan personaliti, antaranya :

1 – Mempunyai latar belakang pembelajaran sama ada akademik atau ikhtisas dalam satu disiplin ilmu sahaja

2 – Cepat berputus asa dan kurang berusaha dalam mempelbagaikan konsep pedagogi, malah sentiasa terikat dengan kaedah P&P lama

3 – Menjadikan mitos-mitos ini sebagai helah bela diri apabila murid yang diajar mereka kurang berjaya

Untuk memahami mengapa kedua-dua perkara ini adalah mitos, semua orang perlu kembali kepada fitrah kejadian manusia dan memahami bagaimana akal berfungsi. Para pembaca mungkin pernah mendengar kata-kata hikmat berikut “Tiada murid yang bodoh melainkan guru yang tidak pandai mengajar’. Itulah fitrahnya manusia.

Secara umumnya disiplin ilmu dalam sebarang bidang mempunyai anatomi dan orbit tersendiri untuk menuju ke puncak kefahaman. Jika jalan yang dipilih tidak betul, maka berlakulah salah faham iaitu penuntut merasakan diri mereka memang bodoh pada sesuatu mata pelajaran itu. Bagi pendidik disiplin ilmu itu pula, mereka dengan mudahnya percaya bahawa usaha yang dilaburkan memang sudah sampai ke kemuncak sehingga tidak dapat mengubah lagi pencapaian muridnya.

Hal yang sedang berlaku sebenarnya ialah gabungan perasaan gopoh, putus asa dan kepercayaan terhadap mitos inilah yang menyebabkan berlaku dakwaan sesetengah mata pelajaran lebih susah daripada yang lain. Kajian mengenai otak yang semakin berkembang pada abad ini sudah membuktikan banyak perkara di mana semuanya terpulang kepada empunya diri untuk menggunakan sama ada sebelah atau kedua-dua hemisfera otak.

Mitos kedua yang mempercayai kepada kewujudan murid pandai dan bodoh secara semulajadi pula lebih banyak disandarkan kepada faktor genetik. Memang benar faktor genetik semulajadi murid yang mewarisinya daripada keluarga mungkin menyebabkan sesetengah mereka menjadi murid lembam. Walaubagaimanapun mitos yang diperkatakan ini tidak tertakluk kepada segolongan insan istimewa seperti yang dikatakan ‘budak pintar cerdas’ (contohnya program Permata Negara) atau ‘budak lembam secara klinikal’.

Namun hal yang menjadi kepercayaan mereka ini melangkaui aspek ini. Sasaran golongan pendukung mitos ini meletakkan mangsa mereka dari kalangan bukan kelompok yang diperkatakan di atas. Dalam perkataan lain, murid-murid yang lemah, lambat dan lulus-gagal dalam peperiksaan sahaja. Disebabkan kurang berpuas hati dengan pencapaian murid seperti ini, mereka terus dilabel sebagai budak yang dikategori lembam lalu disebut-sebut mitos ini sebagai nas pandangan mereka.

Golongan yang terpengaruh dengan mitos ini langsung tidak mengaitkan semua keputusan yang diperoleh itu dengan hasil kerja masing-masing. Persediaan mengajar sambil lewa, sikap acuh tak acuh, tiada inisiatif mencuba pelbagai kaedah dan sikap cepat putus asa itulah yang sebenarnya berlaku. Bayangkan sahaja di sekolah lain yang memiliki murid cacat, lembam, masalah pembelajaran dan seumpamanya pun dapat diasuh oleh guru-guru di sana. Jika dikaji ternyata perkara yang membezakan pendidik itu ialah sikap dedikasi dan kepercayaan diri mereka.

Justeru, pihak pendidik di negara ini mestilah mengikis mitos seperti ini dari minda mereka. Bahkan apa sahaja kepercayaan dalam pendidikan yang tidak pernah pun dibuktikan melainkan hanya cakap-cakap kosong sahaja. Ada berpuluh malah beratus lagi mitos yang berbentuk negatif sedang berlegar-legar dalam ruang minda guru. Malanglah apabila sebuah mutiara bersalut kerak dilempar begitu sahaja gara-gara sikap sambil lewa pelombongnya.

Untuk membahaskan perkara seperti ini memang terlalu panjang dan terlalu banyak buku yang perlu dibaca untuk memahaminya. Justeru, untuk memendekkan proses itu, para pembaca dicadagkan mengambil langkah berikut untuk memendekkan masa kajian :

1 – Baca dan kaji latar belakang ilmuan hebat dalam liku-liku kejayaan mereka

2- Lakukan kepelbagaian P&P pada setiap mata pelajaran untuk membuktikannya sendiri. Dalam perkataan lain, buat kajian tindakan atau kajian sendiri terhadap kepercayaan yang didukung itu.

3- Buat perbandingan sepadan antara sekolah di kebanyakan tempat yang lain

Friday, July 2, 2010


03/07/2010, Kapit - Cerita-cerita mengenai pemansuhan UPSR dan PMR sedang giat berlegar di sekeliling kita. Apa pun keputusannya nanti, tidak semuanya akan membawa kebaikan atau keburukan semata-mata. Pasti akan ada pro dan kontranya. Setakat ini saja isu ini sudah menarik perhatian warga akademik dan orang awam. Belum lagi sektor industri. Penulis tertarik untuk membincangkan masalah ini dari pelbagai sudut dan pastinya kesannya terhadap warga pendidik di pedalaman.

Setakat ini para penggiat pusat tuisyen sudah mulai menyuarakan protes mereka berkenaan hal ini kerana bakal merugikan perniagaan mereka yang dianggarkan berjumlah jutaan ringgit dan sekaligus menutup langsung syarikat mereka. Apa yang belum didengar dan mungkin akan menjelang tidak lama lagi ialah rungutan daripada industri buku negara.

Dimanakah hendak diletak bisnes para syarikat penerbit buku akademik seperti sasbadi, oxford, PNI, cerdik, pelanduk dan sebagainya itu ? Bayangkan kesannya kepada seluruh entiti syarikat terbabit termasuk pekerjanya yang mungkin dibuang akibat keputusan kerajaan kelak. Itu belum termasuk mereka yang terlibat dalam industri ini secara online di internet. Penulis bukanlah memihak kepada pihak industri tetapi sekadar mengajukan kemungkinan yang berlaku.

Bagi pihak institusi pendidikan pula, memanglah ia memberi banyak faedah kepada murid yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Hampir pasti padang yang tidak sama rata sejak lama dulu pasti akan rata tidak lama lagi. Namun bagaimana pula dengan guru ? Penulis hanya ingin memetik satu isu sahaja iaitu berkaitan dengan disiplin dan moral guru khususnya di pedalaman.

Apakah yang akan guru lakukan di sekolah nanti ? Kebanyakan guru di pedalaman bertungkus lumus hanya pada peperiksaan UPSR semata-mata. Jika orang mengatakan bahawa murid terlalu exam oriented, maka guru pula dua kali lebih exam oriented (walaupun bukan semua). Penulis sangat bimbang sekiranya keputusan membatalkan UPSR hanya akan mengundang sikap malas guru menjadi lebih parah. Itu hakikat yang berlaku di sesetengah kawasan pedalaman yang kurang pemantauan. Lihat sahaja baru-baru ini bagaimana menteri pendidikan menegur segelintir guru di pedalaman sarawak yang ponteng kerja. Jika diselidik lebih terperinci jangan terkejut jika pembaca mengetahui bahawa terdapat guru yang hilang berbulan lamanya dalam setahun jika dihitung rekod kehadiran tahunan mereka.

Insyaallah pada entry akan datang penulis akan sambung lagi sedikit perkara berkaitan hal ini. Sampai jumpa lagi