Tuesday, October 5, 2010


05/10/2010 Kapit - Assalamualaikum...apa khabar semua ? Setelah lama tenggelam dalam pelbagai masalah, akhirnya hari ini dapat juga menghasilkan satu lagi entry untuk pembaca semua. Hari ini saya menghadiri kursus 3 hari tentang pedagogi Sains dalam bahasa Melayu. Kursus ini sebenarnya satu hadiah kemenangan bagiku kerana setelah menentang program PPSMI selama beberapa tahun sebelum ini, akhirnya ia telah dimansuhkan dan ditukar pula kepada dasar baru yang dipanggil dasar memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris atau MBMMBI.

Walau apapun implikasi dasar ini kelak, aku percaya ia lebih baik berbanding dasar PPSMI yang lalu. Terlalu banyak komen yang aku dengar daripada peserta di belakang kursus yang mengatakan perubahan dasar begini hanya membazir duit sahaja. Ya...aku tidak nafikan bahkan bersetuju. Cuma dalam masa kita berkira-kira tentang kerugian duit, jangan lupa untuk mengira untung nasib anak bangsa kita juga.

Dalam tempoh lebih kurang 2 bulan dari sekarang pula dijangka satu lagi keputusan berkaitan dasar kerajaan akan diputuskan iaitu pemansuhan peperiksaan awam sekolah. Malaysia ni mungkin suka mansuh memansuh barangkali !!! Bagi isu ini, aku sudah mulai menulis topik kecil yang berkaitan dengannya di dalam buku Jom Ke Pedalaman yang kedua, Insya Allah. Secara ringkasnya aku masih bersikap berhati-hati dalam menilai semua baik buruk kesan yang bakal dihadapi oleh keputusan itu kelak. Setakat ini, aku beranggapan sama ada dimansuhkan atau tidak, kedua-duanya akan memberi implikasi pro dan kontra yang seimbang. Bagaimana dengan anda ?

Selain dasar-dasar yang dibincangkan secara meluas atau atas meja bulat itu, semua orang juga tidak patut cuai dalam meneliti beberapa dasar halus yang sedang berjalan tanpa perlu mendapat keputusan ramai. Jika para pembaca sedar atau tidak, sudah ada semacam dasar berjimat cermat di dalam Kementerian Pelajaran. Bunyinya kelihatan bagus di dengar tetapi mengundang banyak persoalan dan implikasi negatif berbanding kebaikannya. Apakah ia ? Para guru semua seharusnya mencari sendiri dan peka pada setiap isu yang berlaku dalam dunia pendidikan seperti pengendalian kursus, elaun dan tuntutan, peruntukan perkapita, peruntukan untuk panitia dan aktiviti sekolah, biasiswa, peraturan dan pekeliling semasa, perpindahan, tender dan kontraktor serta lain-lain lagi.

Entah kenapa setiap kali aku turun ke bandar, banyak isu dan rungutan berkaitan dengan 'dasar berjimat cermat' ini. Disebabkan ia tidak mendapat liputan media, maka ia hanya berlegar-legar kepada sesiapa atau guru yang terkena sahaja. Dalam perkataan lain, apabila sudah terkena baru perasan perkara seperti itu wujud. Kadang-kadang terfikirkah kita ke mana semua lebihan jimat cermat itu hilang ? Daripada persoalan inilah, seribu satu soalan lain akan datang.

Semoga dengan entry ringkas ini, para pembaca semua akan mulai terfikir dan perasan akan perubahan-perubahan ganjil yang berlaku pada tahun ini dengan tahun-tahun yang lalu. Jumpa lagi.Wassalam

No comments:

Post a Comment