Saturday, February 25, 2012

SELEPAS PIPP ?

25/02/2012,SIBU : Assalamualaikum dan salam sejahtera. Entry kali ini akan membincangkan sedikit tentang masa hadapan sekolah pedalaman di Malaysia. Melihat kepada perkembangan kemajuan sekolah di pedalaman, sesiapapun yang berada di dalam komuniti pedalaman sama ada yang masih berada di sini, veteren atau yang sudah berpindah tidak dapat menyangkal sumbangan PIPP 2006-2011 dahulu.

Namun itu cerita dulu. Sekarang PIPP sudah tiada dan sejak itu belum ada lagi satu pelan konkrit mengenai masa hadapan sekolah pedalaman walaupun isu mengenainya seringkali dibincangkan. Tidak tahu di mana silapnya tetapi itulah hakikat yang saya nampak sejak berakhirnya PIPP. Memang ada usaha ke arah itu namun tidak sampai kepada pelaksanaan jangka masa panjang melainkan usaha jangka pendek dan sederhana. Perkara ini sangat membimbangkan apatah lagi jurang kepesatan pembangunan pelajaran murid di bandar semakin lebar.

Saya masih tertunggu-tunggu daripada mana-mana kesatuan guru yang ada di seluruh Malaysia ini yang menyuarakan mengenai masalah ini. Malangnya tidak kedengaran sama ada langsung tidak disuarakan atau sekadar berbisik melepas batuk di tangga sahaja. Di ruangan ini, saya ingin mengajak rakan-rakan bersama-sama memberi buah fikiran kepada kerajaan atau mana-mana pihak yang dapat membantu mencapai aspirasi ini. Hal ini kerana saya dapati kritikan daripada warga pedalaman cukup banyak namun cadangan yang mereka utarakan tidak seimbang.

Mungkin beberapa cadangan yang saya utarakan berikut boleh dicambahkan dan dikembangkan oleh para pembaca semua. Seharusnya dalam pelan pembangunan pendidikan di pedalaman ini, setiap pihak perlu memandang kepada dua aspek besar yang menjadi komposisi utamanya iaitu warga sekolah dan prasarana sekolah.

Pertamanya, warga sekolah di pedalaman mesti diisi oleh guru yang benar-benar energetik. Ketika ini, penempatan guru di sekolah pedalaman sangat caca marba. Bermula daripada kesilapan opsyen sehinggalah guru yang mengalami masalah disiplin , kesihatan dan motivasi. Sekiranya kerajaan benar-benar ingin melihat masa hadapan sekolah pedalaman berubah, maka selesaikan dahulu masalah ini.

Kedua, isu prasarana yang tidak selesai. Seminggu sebelum entry ini ditulis, asrama murid sebuah sekolah yang terletak bersebelahan dengan sekolah saya telah pun runtuh. Ramai murid yang cedera dan mengalami patah tulang. Lebih malang lagi apabila kebanyakannya ialah murid tahun 6 yang bakal menduduki UPSR. Mungkin kejadian ini nampak kebetulan tapi percayalah, semuanya rentetan daripada masalah pengabaian prasarana yang sudah bertahun-tahun tidak selesai. Hal itu belum termasuk proses pembinaan sekolah baru yang sering terbengkalai sehingga bertahun-tahun menjejaskan proses pembelajaran.

Dua isu ini akan melahirkan banyak cabang masalah lain. Saya pasti para guru di pedalaman sedia makum mengenainya. Insyaallah, dalam entry seterusnya, saya akan cuba suarakan masalah lain yang lahir daripada dua isu pertama ini. Semoga dengan bantuan komen, pengalaman dan pendapat rakan-rakan dapat membantu mengupas isu ini.

Monday, December 26, 2011

PENDIDIKAN NEGARA MAJU

27/12/2011/Perak : Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Seperti yang saya katakan pada entry yang lepas, ada sedikit perkongsian ilmu sekembali saya dari Hong Kong awal bulan ini. Walaupun tidak banyak mengenai sistem pendidikan yang boleh saya amati di sana disebabkan jadual perjalanan yang padat, namun perkara asas dalam pendidikan tetap dapat diintai.

Sebelum ini dalam entry yang lepas, saya sempat berkunjung di Beijing dan Shanghai. Berdasarkan pengalaman itu, saya dapati tidak banyak bezanya dengan sekolah-sekolah yang saya temui di bandaraya Hong Kong ini. Sukar untuk ditemukan pelajar yang bersiar-siar di jalanan dengan berpakaian sekolah. Bahkan untuk menemui sekolah di jalanan pun sukar kerana sekolah-sekolah di sana dihimpit dengan bangunan pencakar langit. Tidak seperti kita di Malaysia di mana kawasan sekolahnya memiliki tanah halaman yang luas.

Keadaan begitulah yang menyebabkan saya sukar meninjau sistem persekolahan di sana untuk dikongsi di dalam entry ini. Satu perkara yang saya perasan ialah tiada sekolah pedalaman di Hong Kong ini kerana pulau ini bagaikan Singapura yang serba maju dan tiada tanah berpenduduk yang terpinggir. Berbeza dengan Wilayah China yang terlalu luas menyebabkan penduduk di kawasan pedalaman sana memiliki sekolah seperti kita di Malaysia. Dengan anggaran gaji guru RM6000 sebulan di Hong Kong, bayangkan sahaja sistem persekolahan di sana yang pastinya efisyen selari dengan kadar gaji guru yang tinggi.

Sesungguhnya pengalaman melihat negara luar dan sistem persekolahan di sana memberi gambaran luas kepada saya sebagai seorang guru. Walaupun kita semua mesti bersyukur dengan apa yang sedia ada di Malaysia ini, namun sistem persekolahan di Malaysia masih lagi ketinggalan berbanding sekolah di negara maju. Jangan diukur dengan mudah angka-angka yang dikeluarkan oleh pihak KPM semata-mata tetapi bandingkanlah dengan realiti sebenar yang hanya dapat dibuat melalui pembacaan atau pergi sendiri ke negara luar. Semoga entry ini memberi manfaat kepada pembaca semua.

Sepanjang cuti ini, saya bangga melihat perubahan watak rakan-rakan guru yang lain apabila lebih ramai yang menghabskan masa cuti sekolah mereka dengan aktiviti berfaedah khususnya mengembara ke negara luar. Apabila saya membaca komen rakan-rakan di facebook, ada beberapa rakan guru yang menjejakkan kaki ke beberapa negara luar. Harapan saya mereka akan gunakan penilaian yang lebih syumul apabila kembali ke sekolah masing-masing kelak. Jumpa lagi, wassalam.

Thursday, November 24, 2011

CUTI SEKOLAH : ANDA BUAT APA ?

24/11/2011 - Perak : Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sudah hampir tiga bulan blog ini tidak menerima entry baru. Kesibukan menulis, perkahwinan dan kerja-kerja seharian menyebabkan saya gagal menulis mengikut jadual. Semoga rakan pembaca semua masih setia mengikuti blog ini dan turut menyumbang idea dalam penulisan saya.

Ketika ini musim cuti akhir tahun sekolah baru sahaja bermula. Hal ini juga bermakna keputusan pertukaran yang sering ditunggu-tunggu oleh ribuan guru baru sahaja memberikan jawapannya. Ada yang tersenyum gembira, ada yang terduduk menangis dan tidak kurang yang geram marah. Saya sendiri tidak berjaya dalam permohonan ini. Ya ! Dahulu saya begitu ingin menetap di pedalaman ini selama yang boleh namun apabila sudah mendirikan rumahtangga, senarionya turut berubah. Ternyata paradigma minda berubah seiiring dengan masa.

Walaubagaimanapun, kecintaan saya terhadap pedalaman ini tidak pernah berubah. Hanya perjuangan saja berubah. Mungkin pada satu masa nanti saya akan berkongsi entry mengenai sekolah pedalaman tetapi dari sekolah bandar apabila ditakdirkan berjaya berpindah kelak. Semoga saya mendapat sokongan rakan-rakan untuk terus istiqamah.

Pada esok pagi, saya akan bertolak bercuti ke Hongkong selama 5 hari. Walaupun di bawah label 'melancong', namun saya akan gunakan sepenuhnya peluang menjelajah ke negara orang ini untuk menambah idea dan ilmu yang akan saya titipkan dalam entry seterusnya. Bagaimana pula dengan anda wahai guru-guru semua ? Jangan hanya mengulang-ulang rutin yang sama. Balik kampung makan tidur seperti kebanyakan orang. Gunakan sepenuhnya masa cuti ini untuk menajamkan minda, skil, mencari peluang baru dan meningkatkan merit diri.

Baru-baru ini seorang bekas murid tahun enam saya pada 2008 dahulu ada menelefon dan bertanya khabar. Betapa terujanya murid ini apabila berjaya menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur dari pedalaman sana untuk mengikut pakciknya bekerja di sini pada musim cuti sekolah. Murid beginilah yang sepatutnya dicontohi oleh orang lain. Kisahnya mungkin 'simple', namun pada ceritanya tergambar betapa seorang murid pedalaman ini mulai meneroka dunia baru, mengubah paradigma mindanya, keluar daripada zon selesa, mencari peluang baru dan menambah ilmu serta pengalaman hidupnya sendiri.

Jika seorang murid hulu ini mampu melakukannya, bagaimana pula dengan para pendidik kita ? Agaknya berapa ramai mereka yang kini melakukan perkara yang sama atau sebaliknya 'mengular' di rumah sahaja. Semoga entry ini dapat mengetuk minda kita semua. Doakan perjalanan saya dan dikurniakan ilmu serta pengalaman yang memberi manfaat kepada kita semua. Wassalam.

Wednesday, August 3, 2011

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN ALMUBARAK

03/08/2011, Sibu : Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Alhamdulillah sekali lagi kita dipanjangkan umur untuk bertemu bulan mulia Ramadhan Almubarak. Kepada semua rakan-rakan muslim yang bertugas di kawasan pedalaman sana pastinya mengalami ujian berganda. Rakan-rakan guru yang baru ditugaskan ke sana pula pasti akan merasai semacam perasaan yang sukar digambarkan. Sedih, syahdu, sunyi dan lain-lain. Itulah lumrah hidup di pedalaman. Semoga catatan saya berkenaan Ramadhan di dalam buku Jom Ke Pedalaman dahulu memberi sedikit sebanyak gambaran sambutan Ramadhan di sana.
Syukur kerana saya berkesempatan menyambut Ramadhan kali ini di bandar Sibu kerana menghadiri kursus MBMMBI fasa 3 dan 4 selama seminggu. Kemeriahan menyambut Ramadhan termasuk berpuasa, bertarawikh dan bazaar Ramadhan sambil dikelilingi rakan-rakan guru yang turut berpuasa. Bertambah lagi kesyukuran kerana menyambut puasa ini di sebuah hotel mewah yang serba serbi selesa.
Satu perkara yang saya teringat berkenaan puasa di pedalaman ini ialah sikap rakan-rakan guru non muslim yang sangat bertimbangrasa. Bukan setakat pernah berpuasa bersama malah sanggup memasak dan meraikan guru muslim berbuka bersama-sama. Begitulah kenangan saya ketika berada di sekolah pedalaman. Pada malamnya, bersolat terawikh bersama-sama rakan muslim yang senasib ditugaskan di sini. Syahdunya tidak terkira tatkala orang lain di bandar bersolat bersama keluarga dan berjemaah beramai-ramai di masjid. Mendengar alunan zikir munajat melalui pembesar suara di masjid dan surau serta pelbagai lagi syiar Islam yang lain. Begitulah pengorbanan emosi dan rohani para pendidik muslim di pedalaman. Semoga ibadah kita semua dikira berganda di sisi Allah.
Namun terdapat juga kisah sedih yang pernah saya dengar apabila terdapat guru atau staf muslim yang hanyut tidak berpuasa di kawasan hulu ini. Jika setakat tidak berpuasa masih biasa lagi, namun apabila turut makan dan minum secara terbuka seolah-olah tiada hukum tuhan dan hukum penguatkuasa maka itu sudah melampau batas. Tidak dapat dinafikan keadaan persekitaran yang tiada roh puasa, hidup dihimpit dengan persekitaran berlainan agama, tiada penguatkuasaan penguasa agama dan iman yang nipis menyebabkan perkara seperti ini terjadi. Malangnya contoh buruk ini dilihat oleh majoriti guru dan masyarakat sekitar yang bukan beragama Islam tetapi lebih mengetahui hukum agama Islam itu sendiri.
Kadang-kadang berpuasa di pedalaman ini boleh jadi sangat indah dan boleh jadi sebaliknya. Keadaan inilah yang memerlukan kepada keperluan ilmu dan penghayatan agar keadaan kawasan persekitaran tidak memamah iman di dada. Semoga berjumpa lagi pada entry akan datang. Wassalam

Saturday, July 16, 2011

PENGORBANAN YANG TIDAK DIDENDANG

16/07/2011, Kapit : Assalamualaikum dan salam sejahtera..Alhamdulillah saya baru sahaja selesai mengikuti kursus MBMMBI fasa 1 dan 2 selama seminggu baru-baru ini. Terdapat lebih daripada 20 orang peserta daripada kira-kira 20 buah sekolah yang majoritinya ialah sekolah pedalaman. Di celah-celah kepadatan masa berkursus, saya mendapat beberapa ilmu tidak formal melalui pengalaman guru-guru di pedalaman yang boleh dikongsi bersama.
Ramai orang di luar sana tidak mengetahui satu perkara berkaitan pengorbanan guru di pedalaman yang jarang diperkatakan. Berkait rapat dengan golongan yang sudah mendirikan rumahtangga khususnya guru-guru wanita. Kisah-kisah sedih mengenai pengorbanan mereka jarang keluar di media kerana mudah sahaja mengundang kontroversi. Isu yang biasa kita dengar mengenai masalah mereka ialah terpaksa berjauhan dengan suami jika bertugas di pedalaman. Bunyinya simple sahaja tetapi konotasi 'berjauhan' itulah yang tidak dapat digambarkan dengan betul.
Menurut sumber yang hanya baru berlaku dua tahun kebelakangan ini, sudah ada dua kes guru wanita di pedalaman di kapit dan sebuah kawasan pedalaman lain (saya kurang pasti) mengalami keguguran. Bukan keguguran biasa, tetapi keguguran kembar. Seorang keguguran bayi kembar tiga dan seorang lagi keguguran bayi kembar dua. Sungguh sukar untuk dibayangkan penderitaan guru tersebut.
Guru yang keguguran bayi kembar tiga itu khabarnya berlaku ketika dalam perjalanan dari sekolah ke hospital di bandar. Beliau dikatakan mengalami pendarahan dan menjalani satu perjalanan yang cukup sukar iaitu menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan kem balak. Hentakan yang kerap daripada kenderaan tersebut menjadi punca keguguran kesemua bayi yang dikandungnya. Semoga Allah membalas jasa dan budi guru ini. Manakala sebab musabab keguguran bayi kembar dua guru wanita yang satu lagi itu tidak dapat dipastikan pula.
Cerita begini pasti jarang kedengaran di akhbar kerana mudah sahaja untuk dieksploitasi oleh banyak pihak. Apatah lagi kes-kes tentang kesukaran pertukaran guru-guru di pedalaman dan yang telah lama bertugas di Sabah dan Sarawak ke Semenanjung kerap diperkatakan. Sebelum ini, saya pernah mendengar kes mengenai proses kelahiran bayi yang sukar oleh guru-guru wanita di pedalaman seperti di dalam perahu panjang dan ketika dalam perjalanan. Namun, cerita tentang keguguran kembar begini baru pertama kali.
Inilah wira yang tidak didendang. Jika ramai orang di luar sana memahami maksud kesukaran hidup di pedalaman ialah 'tolak perahu, naik perahu berjam-jam, tiada hiburan dan seumpamanya', kini perlu memikirkan semula. Semoga kisah pendek ini akan membuka mata ramai pihak berkenaan isu dan pengorbanan guru-guru di pedalaman.
Jumpa lagi pada entry yang seterusnya.

Saturday, July 2, 2011

MENJANA MOTIVASI DIRI

02/07/2011 Kapit : Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Saya teringat beberapa minggu dahulu, ada rakan guru di kawasan terpencil ini yang mengadu motivasinya merosot teruk walaupun baru ditugaskan beberapa bulan sahaja di sini. Berikut jawapan saya terhadap masalah yang dikongsi oleh ratusan lagi guru-guru yang menerima nasib sama ditugaskan di pedalaman.

FAQ : Saya sering merasakan bahawa diri sendiri ketinggalan berbanding rakan-rakan guru di bandar. Di sini, diri terasa terpenjara dan tidak dapat meningkatkan merit diri kerana peluang yang terbatas dalam serba serbi keadaan. Ketiadaan kemudahan komunikasi, internet, jalan raya dan lain-lain menyebabkan jiwa saya benar-benar tertekan. Apa komen anda ?

Jawapan : Saya juga merasakan hal yang sama selama setahun pertama bertugas di sini. Kini saya sudah hampir lima tahun di pedalaman dan Alhamdulillah, mental dan motivasi diri masih maintain dan berkembang. Apa yang saya lakukan ? Pada saya, terpenjara atau tidak...mempunyai peluang atau tidak, boleh kembangkan merit diri atau tidak, semuanya bergantung kepada tuan badan. Selama saya mengalami depresi mental dahulu, saya membandingkan diri saya dengan rakan-rakan guru di bandar yang pada anggapan saya sudah melangkah jauh dalam kehidupan mereka berbanding diri sendiri.

Telahan saya jauh meleset. Ternyata rakan seperjuangan di bandar yang dilengkapi prasarana dan kemudahan canggih juga tidak sampai ke mana. Hendak dikatakan bergelar jutawan, bergelar guru cemerlang, mempunyai bisnes hebat atau penerbitan yang banyak, majoritinya tiada semua itu. Mereka masih lagi orang yang sama seperti saya yang berada jauh di hutan belantara ini. Cukup bulan terima gaji dan kemudian bayar itu dan ini. Itulah putaran hidup mereka setiap bulan.

Masuk tahun kedua, saya mulai menambah bahan bacaan dan memulakan penulisan. Hari demi hari, sedikit demi sedikit akhirnya minda terasa bebas dan berkembang. Melihat satu persatu hasil tulisan saya diterbitkan di majalah dan surat khabar, kajian tindakan dan jurnal saya diterbitkan hingga peringkat antarabangsa, buku-buku yang saya tulis diterbitkan dan konsultan yang diasaskan berkembang, semuanya bukti bahawa perasaan terperangkap di pedalaman hanya ilusi semata-mata. Semua hasil kerja (walaupun tidaklah terlalu hebat berbanding rakan lain) dan pengurusan konsultan, saya lakukan daripada sebuah bilik tidur kecil di tengah hutan banat dan sebulan sekali apabila turun ke bandar. Selain saya dan syarikat balak, mungkin orang gila saja yang menguruskan syarikat dari hutan.

Sesiapapun boleh berkembang asalkan ada kemahuan. Cuma cara sahaja yang perlu dicari. Saya menemui cara saya sendiri iaitu dalam bidang pembacaan, kajian, penulisan, pelaburan dan bisnes motivasi. Orang lain perlu mencari cara mereka sendiri. Hakikatnya ungkapan 'terpenjara' atau 'terperangkap' di pedalaman ini sesuatu yang boleh dicabar kebenarannya. Saya berusaha untuk membuktikan kenyataan itu salah dan anda pun boleh.

Majoriti rakan-rakan guru yang bekerja di bandar sana pun tidak berkembang seperti yang kita sangkakan. Mereka lebih banyak alpa kerana tidak menyedari hakikat kepentingan segala kemudahan yang ada di depan mata. Saya hanya menyedari kepentingan telefon, internet, jalan raya dan segala kemudahan lain apabila dicampakkan ke pedalaman. Hasilnya, saya berusaha gigih menggunakan semua fasiliti ini apabila mempunyai peluang turun ke bandar dan ketika musim cuti sekolah. Kualiti masa yang sangat penting.

Saya tidak berniat untuk bercakap besar atau bersikap takabbur dan riak. Sekadar berkongsi cebisan pengalaman dan semoga ia dapat memberikan motivasi kepada rakan-rakan yang berada 'dalam perahu yang sama'.

Wednesday, June 8, 2011

ANGKA GORILA YANG MENGARUT

09/06/2011,Perak : Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Saya ingin mengulas sedikit mengenai isu penghantaran guru-guru Semenanjung yang dikatakan berjumlah 80,000 orang ke Sarawak yang sedang hangat diperkatakan. Mungkin ada kalangan pembaca yang turut mengikuti isu ini. Saya tertarik dengan isu ini kerana ia melibatkan stesen bertugas di pedalaman secara langsung. Sesiapapun tahu, apabila disebutkan negeri Sabah dan Sarawak, sekolah pedalaman akan muncul di minda.

Secara umumnya, hal ini bermula apabila media mengeluarkan kenyataan bahawa pihak KPM akan menghantar sejumlah 80,000 orang guru Semenanjung ke Sarawak pada tahun depan. Akibatnya, orang politik di Sarawak seperti Dr James Masing dan Presiden Sarawak Teachers Union (STU) dengan segera membalas kenyataan terbabit. Belum pun sempat angka itu disahkan kebenarannya oleh KPM, banyak pihak terus menghentamnya. Kononnya angka sebesar itu akan menutup pintu rezeki anak tempatan Sarawak. Isu ini dengan mudah saja boleh dijadikan isu politik dan perkauman walaupun mempunyai asas untuk dibimbangkan. Namun akhirnya isu ini reda apabila KPM mengesahkan angka itu tidak benar dan salah.

Apa yang menarik mengenai isu ini walaupun telah berakhir ialah mengenai sensitiviti masyarakat tempatan terhadap kemasukan guru daripada negeri lain khususnya Semenanjung. Bukan rahsia bagi sesiapa yang sudah lama berkhidmat di negeri Sarawak dan Sabah (kerana saya dibesarkan di Sabah dan sekarang berkhidmat di Sarawak) mengenai unsur berat sebelah dan penerimaan yang tidak seratus peratus daripada birokrat tempatan. Begitu juga sebaliknya berlaku di Semenanjung.

Umum mengetahui bahawa kemasukan banyak guru daripada negeri lain ke Sarawak adalah untuk memenuhi kekosongan sekolah-sekolah khususnya di pedalaman dan option terpilih seperti guru agama. Hal ini sesuatu yang sangat kurang dan tidak akan terisi oleh anak tempatan untuk sekurang-kurangnya beberapa tahun lagi. Mengapa ? Itu isu yang melibatkan proses penghasilan guru di IPG, permohonan anak tempatan, kelayakan dan option dan perkara-perkara yang melibatkan merit dan undang-undang. Saya tidak berminat untuk mengulasnya di sini.

Saya teringat mengenai keluhan yang sama oleh guru-guru di Perak mengenai betapa ramainya guru daripada Kelantan yang sama ada ditugaskan ke sini mahupun yang memohon berpindah ke sini gara-gara sukar untuk berpindah ke Kelantan. Hal ini memberi impak yang besar terhadap permohonan pindah dan permohonan kali pertama anak tempatan sendiri di negeri ini. Namun, ia tidak menjadi isu besar apatah lagi dijadikan sensasi oleh mana-mana pihak. Jika dikaji, isunya lebih kurang sama sahaja dengan apa yang sedang berlaku di Sarawak baru-baru ini.

Saya pasti dengan timbulnya isu ini walaupun sudah reda, ia menimbulkan rasa kurang selesa, pandangan curiga dan cakap-cakap belakang yang tidak elok terhadap guru-guru Semenanjung yang telah sedia berkhidmat kini. Justeru, jika ada di kalangan pembaca semua yang berkhidmat di sana, fikir dan bertindaklah dengan cermat pasca-isu ini. Sedikit sebanyak ia akan memberi kesan terhadap hubungan kerja antara guru-guru Semenanjung dan Sarawak. Semoga artikel ini membuka sedikit pandangan kita mengenai kepelbagaian isu yang sebenarnya menyentuh secara langsung terhadap guru di pedalaman.