Friday, March 19, 2010

Realiti Di Pedalaman

REALITI DI PEDALAMAN

16/03/2010, KAPIT – Artikel ini akan membincangkan beberapa isu berkaitan realiti pendidikan di pedalaman. Sebahagiannya sudah pernah ditulis di dalam buku ‘Jom Ke Pedalaman’ karya penulis sendiri. Cuma kali ini penulis akan membuat sedikit perbandingan antara pendidikan di pedalaman Malaysia dan pedalaman di luar negara.

Untuk mengupas semua isu dan faktor dalam satu artikel adalah mustahil. Justeru dalam entry ini hanya membicarakan mengenai kualiti guru. Sebagai respon kepada isu yang ditimbulkan oleh seorang pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah yang penulis siarkan pada artikel yang lepas, subjek kualiti guru akan membuka tirai perbincangan kita.

Jika pegawai tersebut atau ada sesiapa yang masih berfikir bahawa kualiti guru terletak pada sijil mereka, sila fikirkan semula dan lihat bagaimana perspektif negara maju menguruskan guru di pedalaman mereka dan bandingkan dengan pengurusan guru pedalaman di Malaysia. Adakah kualiti guru di pedalaman kurang bermutu atau sedikit bilangannya ?

Untuk memahami perkara ini, istilah kualiti guru itu sendiri perlu diperhalusi. Terdapat pelbagai tafsiran mengenai kualiti guru sama ada yang dikeluarkan oleh ahli akademik, aktivis, ahli politik, pentadbir jabatan dan ramai lagi golongan yang lain. Sesiapapun bebas mengemukakan pendapat masing-masing. Tiada siapa yang betul mahupun salah. Cuma kita perlu mencari yang terbaik sahaja di antara tafsiran itu.

Pihak pentadbir pendidikan di mana-mana negara sekalipun pasti akan meletakkan elemen ijazah sebagai komponen nombor satu kriteria kualiti guru mereka. Itulah yang dipamerkan dalam kajian Jerry Johnson dan rakan-rakannya di Amerika Syarikat. Di Malaysia, lebih 90% sekolah pedalamannnya ialah kategori sekolah rendah yang majoriti gurunya berkelulusan diploma. Dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti guru, maka program pengisian guru siswazah dan pensiswazahan guru lama lepasan diploma sedang giat dijalankan. Menurut sasaran kerajaan, guru-guru di sekolah rendah secara keseluruhannya tanpa mengira bandar atau luar bandar akan diisi oleh …….% guru siswazah menjelang ………..

Berdasarkan perspektif penulis, kualiti guru perlu dinilai melalui dua komponen yang seimbang iaitu akademik dan personaliti. Mengapa ? Kerana dua komponen ini yang akan digunapakai oleh guru untuk melahirkan murid. Walaupun pandangan penulis ini bukanlah perkara baru bahkan sudah acapkali dilaungkan di media, namun realiti yang berlaku adalah sebaliknya. Mungkin pembaca akan beranggapan, jangankan pedalaman, guru di bandar pun memerlukan kedua-dua komponen itu juga.

Memang benar tetapi yang menjadikan keperluan itu semakin sangat kritikal di pedalaman ialah kerana hampir tiada pengawasan ke atas tingkahlaku guru di sana. Hal ini kerana faktor geografi yang sangat jauh khususnya daripada pemantauan PPD dan JPN, ibu bapa yang kurang berpendidikan dan tidak tahu asas undang-undang, kepimpinan sekolah yang lemah dan bermasalah. Fenomena ini sangat berbeza berbanding di bandar yang gerak geri guru sentiasa menjadi perhatian masyarakat yang educated, media yang sentiasa mencari bahan berita, ibu bapa yang sentiasa menggunakan undang-undang untuk mengajar guru, pemantauan yang mudah oleh PPD dan JPN serta kepimpinan sekolah yang tegas (kerana pimpinan sekolah sering menjaga imej sekolah).

Untuk mencari guru bermasalah di pedalaman jauh lebih senang berbanding mencari guru bermasalah di bandar. Pengakuan penulis ini mungkin agak kontroversi tetapi itulah pengalaman sepanjang hampir 4 tahun di pedalaman. Di sekolah pedalaman, guru-guru khususnya yang bukan anak tempatan sangat rendah motivasi keguruannya kerana sentiasa menyibukkan diri dengan isu perpindahan. Manakala guru-guru tempatan pula seringkali berasimilasi dengan sebahagian budaya buruk masyarakat pedalaman khususnya alkohol dan hiburan melampau sehingga meleret-leret kepada masalah sosial lain yang dibawa oleh kesan alkohol itu.

Akhirnya fenomena bekerja sambil lewa, datang kerja lambat, balik kerja awal, ponteng kelas, ponteng sekolah, bekerja ikut mood, hiburan melampau dan seumpamanya sentiasa terjadi. Inilah asas mengapa komponen akademik dan personaliti yang seimbang sangat diperlukan khususnya di pedalaman. Malangnya, komponen personaliti guru yang sangat penting ini tenggelam lantaran fokus yang terlalu ditumpukan kepada kelayakan akademik guru. Ditambah pula dengan mitos ‘sekolah cemerlang kerana dipenuhi oleh guru siswazah dan berpengalaman’, masalah murid-murid di sekolah pedalaman tidak akan selesai jika kualiti guru ditakrifkan sebegitu.

Setelah memahami bagaimana isu takrifan kualiti guru membawa implikasi besar kepada sekolah, seterusnya penulis membuat perbandingan realiti pendidikan di pedalaman Malaysia dan pedalaman di luar negara khususnya negara maju seperti Amerika Syarikat dan Australia secara umum.

Perbezaan utama yang menjadikan padang pembelajaran pedalaman kita tidak sama dengan negara maju ialah :

· Pendidikan di Malaysia masih dalam proses melengkapkan sekolah-sekolah rendah di pedalamannya (termasuk bandar) dengan guru siswazah (yang dianggap berkualiti dari sudut sijil mereka). Manakala pengurusan di negara maju sudah melangkah ke tahap merekrut, dan mengekalkan guru-guru terbaik bahkan pengurusan sekolah terbaik mereka di sekolah pedalaman.

Justeru, adalah tidak adil jika kita hendak membandingkan pencapaian murid di pedalaman Malaysia dengan pencapaian murid di pedalaman Amerika Syarikat (walaupun mungkin murid kita lebih cemerlang dalam beberapa aspek pembelajaran).

Menurut kajian Jerry Johnson, kadar pertukaran guru di pedalaman adalah tinggi. Pengalaman ini turut dikongsi oleh Malaysia dan negara-negara lain. Pertukaran guru perlu difahami dalam pelbagai perspektif khususnya implikasinya ke atas sekolah dan bukannya sekadar keluar masuk seseorang guru ke sekolah yang berbeza.

Kesan besar pertukaran guru yang tinggi membawa maksud bahawa kepimpinan sekolah terpaksa melaburkan lebih banyak masa, tenaga dan kos untuk membina semula pasukan akademik di sekolahnya. Pembangunan staf sekolah yang sepatutnya berjalan lancar akan terencat disebabkan proses turnover ini. Murid-murid pula terpaksa berhadapan dengan prospek yang tidak mengetahui latar belakang diri dan komuniti mereka sehingga mungkin mencetuskan implikasi emosi yang negatif.

Jangan lupa kepimpinan sekolah di pedalaman bukanlah sebagus yang disangka. Sekolah-sekolah yang hanya mempunyai seorang guru besar dan seorang penolong kanan sudah menjadi perkara biasa di pedalaman. Semuanya gara-gara menolak tawaran mengisi jawatan ini jika ianya terletak di pedalaman. Bahkan terdapat juga sekolah yang tidak mempunyai guru besar dan kerani. Pembaca fikirkan, Bagaimanakah kepimpinan yang lemah dapat membina sebuah pasukan akademik yang sering bertukar ?

Ikuti entry seterusnya pada masa akan datang …..

Friday, February 26, 2010

PENDIDIKAN DI BAWAH MENTERI PELAJARAN BARU


21/02/2010, KAPIT – Beberapa minggu lepas penulis telah membuka portal laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengetahui tarikh permohonan untuk Hadiah Biasiswa Kementerian, 2010. Biasiswa ini merupakan sesuatu yang telah lama penulis idamkan sejak mula bertugas lagi kerana cita-cita untuk terus belajar tidak pernah padam. Namun agak aneh apabila perkara yang ditunggu-tunggu saban tahun ini tidak dibuka lagi pada tahun ini.

Alasan yang diberikan ialah kerana peruntukan yang diberi kepada Kementerian Pelajaran telah dikurangkan. Justeru, Hadiah Biasiswa ini dan beberapa kursus dalam perhidmatan yang lain juga dihentikan buat tahun ini sehingga diberitahu semula. Sebagai ganti, pegawai yang ingin menyambung belajar (untuk permohonan Sarjana dan Kedoktoran) diminta untuk memohon Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa (CBBPTB). Penulis sangat hampa dengan perkara ini tetapi cuba untuk memahami masalah kewangan yang sedang dihadapi oleh kerajaan.

Dalam tempoh beberapa hari kemudian, timbul pula isu Kementerian Pelajaran tidak akan menyediakan lagi makanan ala buffer untuk guru-guru yang pergi ke kursus anjurannya. Sebagai ganti, nasi bungkus akan diberikan kepada setiap peserta kursus atau seminar. Alasan yang diberikan ialah untuk berjimat cermat.

Tidak lama kemudian, keluar cadangan untuk menghadkan kursus di hotel dan digantikan dengan kursus secara in house di dalam kawasan sekolah. Beberapa hari selepas itu, cadangan yang sama diperluaskan lagi kepada program kokurikulum murid agar dibuat sahaja di dalam kawasan sekolah berbanding di luar kawasan atas keselamatan dan berjimat cermat.

Pada mulanya tiada apa yang menghairankan. Namun apabila difikirkan semula, penulis mula terfikir mengenai alasan yang diberikan oleh Kementerian dan kesannya kepada warga sekolah. Jangan lupa pada awal tahun ini pun Skim Bantuan Tuisyen sudah tiada lagi. Entah apa alasan yang diberikan. Adakah kelima-lima contoh ini merupakan petanda kepada banyak lagi aktiviti lain bakal dihadkan atau dihapuskan ?

Pada masa yang sama, pelbagai cadangan dikemukakan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyidin Yasin seperti membuat prasekolah di rumah panjang dan mengembalikan kegemilangan sukan di sekolah-sekolah. Sesiapa yang waras pasti tahu kos yang terlibat sudah pasti mencecah jutaan ringgit dengan peruntukan kepada pembinaan sekolah, penyediaan guru-guru dan elaun yang terbabit.

Penulis sangat khuatir melihat cara sistem pendidikan di negara ini diurus sedemikian. Hal ini bukan kerana masalah remeh temeh yang melibatkan soal makanan atau yang seumpama dengannya. Perkara yang meresahkan ialah ke mana hala tuju Pelan Induk Pembangunan Pelajaran, PIPP 2006-2010 yang dibangunkan ketika era Menteri Pelajaran terdahulu, Dato Seri Hishammudin ? Malah sehingga ke hari ini, berapa kalikah soal PIPP ini disentuh oleh Menteri Pelajaran yang baru ?

Jika Wawasan 2020 yang dilhamkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sentiasa disebut-sebut dan dibawa kemas oleh kedua-dua Perdana Menteri selepasnya, mengapa PIPP tidak seperti itu ? Secara peribadi, penulis amat mengagumi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan itu dan percaya ianya merupakan Road Map To Vision 2020. Malangnya kepimpinan dan program Kementerian Pendidikan di bawah Menteri Pelajaran yang baru, Tan Sri Muhyidin Yasin agak hambar, terlalu perlahan dan kabur hala tujunya. Bahkan beberapa cadangan yang dikemukakan kelihatan ad hoc dan tidak melalui analisis kritikal sebelum diluahkan.

Walaubagaimanapun, masih terlalu awal untuk mengkritik kepimpinan Menteri Pelajaran yang baru ini. Hanya kegusaran dihati sahaja boleh disampaikan buat masa ini agar beberapa kesilapan lalu di dalam sistem pendidikan negara tidak lagi berulang.

BANGAU OH BANGAU !!!


20/02/10, Kapit - Masih segar dalam ingatan hujah yang diberikan oleh seorang pegawai Pejabat Pelajaran Daerah, PPD yang mendesak penulis agar menceritakan masalah prestasi sekolah yang sudah dua tahun berturut-turut SPR. Kepada pembaca yang mungkin tidak mengetahui apa itu SPR, ianya bermaksud Sekolah Berprestasi Rendah yang pencapaian UPSR di bawah 30%.

Beberapa kali penulis cuba mengelak apabila ditanya sehinggalah pegawai itu berkata, “Saya mahu dengar pandangan seorang cikgu yang mahu mengambil PhD,” di depan beberapa orang lain yang berurusan di pejabatnya. Kebetulan ketika itu saya menemuinya untuk bertanyakan urusan berkenaan cuti sambung belajar bagi peringkat kedoktoran. Kata-katanya itu membuatkan penulis sedikit tercabar apatah lagi dilontarkan di depan beberapa staf yang lain. Adakah ianya provokasi, sindiran atau ikhlas untuk mencari penyelesaian kepada persoalannya ?

Untuk rekod, selama tiga tahun setengah penulis berurusan dengan Pejabat Pelajaran Daerah ini, sudah ramai pegawai di pejabat itu yang bertanya soalan yang sama. Anehnya, soalan yang mempunyai jawapan di hujung hidung itu sering sahaja ditanya berulang kali dalam nada yang berlainan seolah-olah jawapannya mustahil untuk dijumpai.

Adakah mereka tidak pernah membaca kajian atau jurnal mengenai pengurusan pendidikan di pedalaman ? Tesis dan kajian oleh Syarifah Md. Nor 2000, Judge Howard Manning, McCullough dan Jerry Johnson 2007, Sinem Saban 2007, P. Kerim Friedman 2005 dan ramai lagi sudah memberi pelbagai penjelasan mengenainya. Mungkin juga pegawai ini sengaja bertanya untuk menguji kepekaan penulis terhadap sekolah sendiri.

Untuk meringkaskan hasil perbincangan kami berdua, penulis merumuskan begini. Bagi pihak pegawai itu, beliau sering menggunakan hujah bahawa sekolah penulis sudah dipenuhi dengan golongan siswazah (PPPS). “Bagaimana mungkin masih SPR kalau bukan gurunya tidak mengajar ? Sedangkan dahulu ketika belum ramai golongan berijazah berada di sekolah cikgu, keputusannya tidak begitu”.

Penulis tidak pasti apakah pandangan para pembaca apabila mendengar ucapan seperti itu. Beberapa saat sebelum menjawab, penulis memikirkan sekali lagi apakah maksud sebenar soalan itu. Adakah beliau menyalahkan keputusan kerajaan yang menghantar golongan PPPS untuk memenuhi sekolah-sekolah rendah atau menuduh guru-guru PPPS di sekolah penulis (termasuk saya sendiri) sebagai golongan pemalas ?

Penulis menjawab dengan turut melontarkan soalan kepada pegawai itu. Adakah berguna guru-guru PPPS yang ditempatkan di sekolah-sekolah sekiranya otak dan tenaga mereka tidak digunakan ? Sekali lagi penulis bertanya kepada beliau, golongan manakah yang mengajar keempat-empat subjek teras UPSR sepanjang dua tahun berturut-turut sekolah itu mendapat SPR ? Guru PPPS atau siapa ? Penulis memberitahu beliau bahawa guru yang mengajar subjek yang menyebabkan prestasi sekolah merosot bukanlah guru PPPS seperti yang disangkanya tetapi guru lama dari gred PPPLD (lepasan diploma) yang sudah mempunyai pengalaman mengajar belasan tahun.

Beliau terdiam sambil berfikir mencari hujah balas. Hujah beliau yang kedua pula terus menyalahkan guru PPPS dengan berkata, “ Tak kan guru-guru PPPS tidak membantu ? Tidakkah anda mendidik mereka dari darjah satu dan seterusnya. Di mana program KIA2M dan lain-lain” Hairan sungguh penulis dengan hujah dangkal sebegini yang jelas terus mahu menyalahkan guru PPPS.

Penulis menjawab begini. “ Sekolah saya mengamalkan sistem follow up kelas bagi subjek teras seperti kebanyakan sekolah lain yang juga mengamalkan sistem begini (guru yang mengajar sesuatu subjek teras akan terus mengajar subjek itu untuk kelas yang sama tahun demi tahun). Justeru, di manakah guna pakai tenaga guru PPPS ini jika guru yang sama (memiliki rekod buruk) terus menerus mengajar kelas yang sama saban tahun sehingga naik ke tahun enam ?

Persoalan siapakah yang bersalah terus diasak. Pada penulis, senang sahaja. Walaupun terdapat pelbagai faktor, ianya pasti bersabit dengan faktor utama iaitu kepimpinan sekolah. Letaklah guru yang berpengalaman puluhan tahun malah mempunyai ijazah sehingga PhD sekalipun. Tiada gunanya jika pentadbir sekolah tidak memanfaatkan mereka malah mengekalkan segelintir guru lama tertentu yang jelas terbukti prestasi merekalah yang menyebabkan prestasi sekolah runtuh.

Sekali lagi beliau terdiam. Ketika itu penulis terus menamatkan perbincangan yang sebenarnya agak panjang itu dengan ayat begini. “Tiada gunanya sekolah dipenuhkan dengan golongan PPPS dan guru berpengalaman puluhan tahun sekalipun sekiranya tenaga dan kelebihan mereka tidak digunakan. Dan tiada gunanya bilangan PPPS yang ramai itu dihantar ke sekolah jika sikap mereka sama sahaja atau lebih teruk lagi.

Penulis bukanlah mahu menyalahkan mana-mana guru terutamanya rakan-rakan PPPLD atau mempertahankan guru PPPS secara membuta tuli. Setiap guru termasuk PPPS sama sahaja. Semuanya bergantung kepada sikap. Guru yang memiliki pengalaman puluhan tahun atau ijazah berjela sekalipun, tiada gunanya jika mempunyai sikap sambil lewa. Malah guru ganti atau guru GSTT jauh lebih baik jika mereka mempunyai komitmen tinggi. Malangnya persepsi ramai orang tidak bagitu. Mereka hanya melihat kepada apa yang tertulis di atas kertas. Sudah pasti yang tertulis hanya yang baik-baik belaka. Namun SIKAP seseorang tidak akan dapat ditulis di atas kertas melainkan perlu dilihat sendiri.

Pegawai itu yang masih terdiam mendengar hujah penulis akhirnya membuat kesimpulan yang sungguh tidak disangka sama sekali. “ Pusing-pusing pun macam cerita bangau,” katanya. Maksudnya semua hujah yang diberi oleh penulis hanya merupakan satu helah bela diri dengan menyalahkan orang lain seperti cerita bangau yang dipelajarinya di bangku sekolah rendah dahulu. Mendengar kata-kata yang menyinggung hati itu, penulis hanya mendiamkan diri dan meminta diri selepas itu.

Begitulah sikap segelintir pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah yang penulis jumpa sepanjang tiga tahun setengah berkhidmat di sekolah pedalaman ini. APA GUNA BERTANYA SOALAN YANG JAWAPANNYA SUDAH DIKETAHUI JIKA TIDAK MAHU MENGAMBIL TINDAKAN. Ianya membazir air liur sahaja. Apa yang penulis sebut itu bukanlah sesuatu yang mereka tidak tahu atau baru, namun mereka buntu mencari penyelesaiannya sejak dari dulu kerana ia melibatkan faktor kepimpinan sekolah. Suatu perkara yang sukar bagi mereka untuk campur tangan. Penulis jamin, pada masa akan datang soalan yang sama juga akan dikemukakan kepada guru lain dan HUJAH BANGAU itu akan dihukumkan kepada mana-mana guru yang ikhlas menjawab.

Monday, February 15, 2010

WAHAI PENDIDIK

WAHAI PENDIDIK

Dulu suaramu didengar pemimpin

Kini muridmu sendiri meluat mendengarnya

Dulu kata-katamu menggegarkan negara

Kini kata-katamu umpama dengungan lalat

Dulu bahasamu berkisar isu bangsa, agama dan negara

Kini lisanmu berzikir hiburan, perpindahan, gaji dan cuti

Dulu minatmu menjurus kepada membela anak bangsa

Kini kamu lebih cenderung membela perut dan keluargamu

Dulu perlakuanmu menjadi penanda aras akhlak mulia

Kini tabiatmu lebih keji dari haiwan

Dulu kamu menjadi rujukan sesiapapun

Kini kamu yang terpaksa merujuk lantaran kebebalanmu

Masih adakah pendidik di bumi ini ?

Masih wujudkah insan yang layak digelar pendidik di tanah ini ?

Aku malu menjadi pendidik dalam dunia begini

Bukan mahu mendabik dada aku pendidik mulia

Namun aku sunyi belum ketemu pendidik sejati

Yang mampu membimbing diriku

(Majalah Pendidik,Dis 09)

Saturday, February 13, 2010

SELAMAT DATANG KE ALAM AKADEMIK

Blog ini saya dedikasikan untuk semua pencinta ilmu dan ahli akademik. Semoga anda semua mendapat manfaat daripadanya.