Tuesday, September 7, 2010

SELAMAT HARI RAYA

08092010/Kapit- Selamat berpuasa dan menyambut hari raya.Sudah terlalu lama tiada entry baru buat tatapan pembaca semua. Saya mohon maaf kerana beberapa kelemahan ini. Mungkin kerana saya banyak menumpukan kepada murid-murid tahun 6 yang bakal mengambil upsr tidak lama lagi sehingga tidak terfikir untuk memberi entry baru. Selain itu, saya juga menumpukan kepada penulisan untuk majalah pendidik dan beberapa buah buku sendiri.

Insyaallah, saya akan cuba masukkan entry yang baru selepas hari raya aidilfitri ini...Maaf zahir dan batin...

Saturday, July 31, 2010


01/08/2010,KAPIT- Baru-baru ini artikel saya ada diterbitkan di dalam majalah Pendidik keluaran Julai mengenai peta minda. Berikut pula merupakan artikel seterusnya yang telah saya hantarkan. Semoga turut diterbitkan kemudian.


MITOS DALAM PENDIDIKAN

Proses pembelajaran sering menjadi subjek utama dalam kajian pembangunan manusia. Terdapat banyak isu yang diteliti dan dibangunkan untuk menambah baik sistem pendidikan. Pelbagai kekangan, faktor dan alasan pada setiap isu tersebut cuba dirungkai dan ditambahbaik. Walaubagaimanapun, masalah besar yang bermain di fikiran sesetengah pengkaji sendiri kadang-kadang terlepas pandang. Itulah yang penulis maksudkan mitos dalam pembelajaran.

Hal ini sentiasa berlegar sama ada di dalam minda pengkaji, pendidik mahu pun pelajar. Mitos dalam pembelajaran ialah apa sahaja pandangan, idea atau falsafah yang tidak pernah dibuktikan tetapi diterima seolah-olah ia adalah perkara yang benar. Disampaikan dari satu generasi kepada generasi seterusnya tanpa hujah dan bukti melainkan hasil kerja peribadi sebagai ukuran kepercayaannya.

Perkara ini tidak membawa banyak kesan buruk jika berada dalam kotak pemikiran masyarakat awam. Malangnya ia akan menjadi bencana yang dahsyat sekiranya berlegar di dalam minda pendidik khususnya di peringkat sekolah. Mengapa ? Hal seperti ini akan mempengaruhi pemikiran para pendidik sehingga mereka hilang keyakinan untuk mengajar dan tidak percaya pada kemampuan diri. Perkara ini menjadi semakin genting apabila golongan guru yang terpengaruh dengan mitos pendidikan mulai meragui keupayaan pelajar, menyisihkan dan mengabaikan pelajar mereka sendiri.

Sekadar memetik dua buah mitos yang banyak membelenggu bahkan dipertahankan oleh ramai pendidik pada peringkat sekolah ialah :

1 – Sesetengah subjek sukar difahami berbanding subjek lain (Contohnya Bahasa Melayu lebih mudah berbanding Matematik, Bahasa Inggeris lebih susah berbanding Sains, Seni lebih mudah berbanding Sains dan Matematik )

2 – Terdapat murid yang pintar dan juga murid yang bodoh secara semulajadi dan tiada apa-apa yang mampu dilakukan ke atas mereka lagi (khususnya yang sudah berada pada peringkat peperiksaan umum)

Dua mitos di atas merupakan antara berpuluh daripada mitos yang masih didukung sehingga kini. Bahkan tidak sukar untuk berjumpa ramai pendidik yang bermati-matian mempertahankan perkara-perkara di atas itu tanpa sebarang hujah dan bukti yang kukuh. Jika ada pun, ia adalah bukti remeh yang langsung tidak boleh dikaitkan dengan kegagalan murid sama sekali. Contohnya, keputusan peperiksaan subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di sekolahnya sering sahaja rendah atau pun keputusan Bahasa Melayu sering sahaja tinggi setiap tahun.

Jika para pembaca juga mempunyai pendapat yang serupa, cuba tanya diri sendiri berapa banyak pula sekolah lain yang mempunyai keputusan hebat bagi subjek yang sama ? Bandingkan pada peringkat daerah, negeri, negara dan sehingga ke peringkat antarabangsa. Semakin dibandingkan, semakin jelas mitos itu kelihatan. Hal ini seolah-olah mengembalikan ingatan kita kepada banyak nasihat orang tua-tua lama yang tidak pernah pun dibuktikan sehingga kini tetapi masih diamalkan tanpa usul periksa.

Anehnya mitos-mitos ini memang kelihatan seperti benar jika mendengar pada hujah semata-mata. Begitulah yang banyak berlaku kepada ramai orang khususnya kelompok yang tidak mahu atau malas berdebat panjang mengenainya atau membuktikannya secara saintifik. Tetapi jika dikaji lebih mendalam, dibuat perbandingan, dirujuk pada pakar dan jurnal-jurnal yang terbabit, langsung tidak dijumpai asas mengenainya. Hal yang sebenar berlaku ialah kepercayaan semata-mata. Ia umpama sesetengah adat budaya yang terpaksa ditelan tanpa boleh dipertikaikan.

Kebanyakan golongan pendidik yang mempertahankan mitos tersebut mempunyai beberapa persamaan personaliti, antaranya :

1 – Mempunyai latar belakang pembelajaran sama ada akademik atau ikhtisas dalam satu disiplin ilmu sahaja

2 – Cepat berputus asa dan kurang berusaha dalam mempelbagaikan konsep pedagogi, malah sentiasa terikat dengan kaedah P&P lama

3 – Menjadikan mitos-mitos ini sebagai helah bela diri apabila murid yang diajar mereka kurang berjaya

Untuk memahami mengapa kedua-dua perkara ini adalah mitos, semua orang perlu kembali kepada fitrah kejadian manusia dan memahami bagaimana akal berfungsi. Para pembaca mungkin pernah mendengar kata-kata hikmat berikut “Tiada murid yang bodoh melainkan guru yang tidak pandai mengajar’. Itulah fitrahnya manusia.

Secara umumnya disiplin ilmu dalam sebarang bidang mempunyai anatomi dan orbit tersendiri untuk menuju ke puncak kefahaman. Jika jalan yang dipilih tidak betul, maka berlakulah salah faham iaitu penuntut merasakan diri mereka memang bodoh pada sesuatu mata pelajaran itu. Bagi pendidik disiplin ilmu itu pula, mereka dengan mudahnya percaya bahawa usaha yang dilaburkan memang sudah sampai ke kemuncak sehingga tidak dapat mengubah lagi pencapaian muridnya.

Hal yang sedang berlaku sebenarnya ialah gabungan perasaan gopoh, putus asa dan kepercayaan terhadap mitos inilah yang menyebabkan berlaku dakwaan sesetengah mata pelajaran lebih susah daripada yang lain. Kajian mengenai otak yang semakin berkembang pada abad ini sudah membuktikan banyak perkara di mana semuanya terpulang kepada empunya diri untuk menggunakan sama ada sebelah atau kedua-dua hemisfera otak.

Mitos kedua yang mempercayai kepada kewujudan murid pandai dan bodoh secara semulajadi pula lebih banyak disandarkan kepada faktor genetik. Memang benar faktor genetik semulajadi murid yang mewarisinya daripada keluarga mungkin menyebabkan sesetengah mereka menjadi murid lembam. Walaubagaimanapun mitos yang diperkatakan ini tidak tertakluk kepada segolongan insan istimewa seperti yang dikatakan ‘budak pintar cerdas’ (contohnya program Permata Negara) atau ‘budak lembam secara klinikal’.

Namun hal yang menjadi kepercayaan mereka ini melangkaui aspek ini. Sasaran golongan pendukung mitos ini meletakkan mangsa mereka dari kalangan bukan kelompok yang diperkatakan di atas. Dalam perkataan lain, murid-murid yang lemah, lambat dan lulus-gagal dalam peperiksaan sahaja. Disebabkan kurang berpuas hati dengan pencapaian murid seperti ini, mereka terus dilabel sebagai budak yang dikategori lembam lalu disebut-sebut mitos ini sebagai nas pandangan mereka.

Golongan yang terpengaruh dengan mitos ini langsung tidak mengaitkan semua keputusan yang diperoleh itu dengan hasil kerja masing-masing. Persediaan mengajar sambil lewa, sikap acuh tak acuh, tiada inisiatif mencuba pelbagai kaedah dan sikap cepat putus asa itulah yang sebenarnya berlaku. Bayangkan sahaja di sekolah lain yang memiliki murid cacat, lembam, masalah pembelajaran dan seumpamanya pun dapat diasuh oleh guru-guru di sana. Jika dikaji ternyata perkara yang membezakan pendidik itu ialah sikap dedikasi dan kepercayaan diri mereka.

Justeru, pihak pendidik di negara ini mestilah mengikis mitos seperti ini dari minda mereka. Bahkan apa sahaja kepercayaan dalam pendidikan yang tidak pernah pun dibuktikan melainkan hanya cakap-cakap kosong sahaja. Ada berpuluh malah beratus lagi mitos yang berbentuk negatif sedang berlegar-legar dalam ruang minda guru. Malanglah apabila sebuah mutiara bersalut kerak dilempar begitu sahaja gara-gara sikap sambil lewa pelombongnya.

Untuk membahaskan perkara seperti ini memang terlalu panjang dan terlalu banyak buku yang perlu dibaca untuk memahaminya. Justeru, untuk memendekkan proses itu, para pembaca dicadagkan mengambil langkah berikut untuk memendekkan masa kajian :

1 – Baca dan kaji latar belakang ilmuan hebat dalam liku-liku kejayaan mereka

2- Lakukan kepelbagaian P&P pada setiap mata pelajaran untuk membuktikannya sendiri. Dalam perkataan lain, buat kajian tindakan atau kajian sendiri terhadap kepercayaan yang didukung itu.

3- Buat perbandingan sepadan antara sekolah di kebanyakan tempat yang lain

Friday, July 2, 2010


03/07/2010, Kapit - Cerita-cerita mengenai pemansuhan UPSR dan PMR sedang giat berlegar di sekeliling kita. Apa pun keputusannya nanti, tidak semuanya akan membawa kebaikan atau keburukan semata-mata. Pasti akan ada pro dan kontranya. Setakat ini saja isu ini sudah menarik perhatian warga akademik dan orang awam. Belum lagi sektor industri. Penulis tertarik untuk membincangkan masalah ini dari pelbagai sudut dan pastinya kesannya terhadap warga pendidik di pedalaman.

Setakat ini para penggiat pusat tuisyen sudah mulai menyuarakan protes mereka berkenaan hal ini kerana bakal merugikan perniagaan mereka yang dianggarkan berjumlah jutaan ringgit dan sekaligus menutup langsung syarikat mereka. Apa yang belum didengar dan mungkin akan menjelang tidak lama lagi ialah rungutan daripada industri buku negara.

Dimanakah hendak diletak bisnes para syarikat penerbit buku akademik seperti sasbadi, oxford, PNI, cerdik, pelanduk dan sebagainya itu ? Bayangkan kesannya kepada seluruh entiti syarikat terbabit termasuk pekerjanya yang mungkin dibuang akibat keputusan kerajaan kelak. Itu belum termasuk mereka yang terlibat dalam industri ini secara online di internet. Penulis bukanlah memihak kepada pihak industri tetapi sekadar mengajukan kemungkinan yang berlaku.

Bagi pihak institusi pendidikan pula, memanglah ia memberi banyak faedah kepada murid yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Hampir pasti padang yang tidak sama rata sejak lama dulu pasti akan rata tidak lama lagi. Namun bagaimana pula dengan guru ? Penulis hanya ingin memetik satu isu sahaja iaitu berkaitan dengan disiplin dan moral guru khususnya di pedalaman.

Apakah yang akan guru lakukan di sekolah nanti ? Kebanyakan guru di pedalaman bertungkus lumus hanya pada peperiksaan UPSR semata-mata. Jika orang mengatakan bahawa murid terlalu exam oriented, maka guru pula dua kali lebih exam oriented (walaupun bukan semua). Penulis sangat bimbang sekiranya keputusan membatalkan UPSR hanya akan mengundang sikap malas guru menjadi lebih parah. Itu hakikat yang berlaku di sesetengah kawasan pedalaman yang kurang pemantauan. Lihat sahaja baru-baru ini bagaimana menteri pendidikan menegur segelintir guru di pedalaman sarawak yang ponteng kerja. Jika diselidik lebih terperinci jangan terkejut jika pembaca mengetahui bahawa terdapat guru yang hilang berbulan lamanya dalam setahun jika dihitung rekod kehadiran tahunan mereka.

Insyaallah pada entry akan datang penulis akan sambung lagi sedikit perkara berkaitan hal ini. Sampai jumpa lagi



Saturday, June 19, 2010

Benarkah Tiada Masa Hadapan Di Pedalaman ?

19/06/2010, Kapit - Isu yang sering dibangkitkan oleh mana-mana guru yang kerap penulis dengar ialah berkaitan future mereka. Sidang meja bulat mereka sama ada di bilik guru, di dalam bot ekspress, di atas kenderaan pacuan empat roda hinggalah di koridor kelas hanya berkisar isu tentang bisnes dan kekayaan. Perkara ini sangat menarik perhatian kerana hanya golongan yang terkurung di dalam dimensi pedalaman sahaja yang dapat merungkai masalah ini.
Seperti yang semua maklum, di pedalaman tiada kemudahan seperti di bandar yang memungkinkan seorang guru mampu menjadi kaya dari sudut harta. Berbeza dengan pekerja di bandar walau apa pun status mereka. Ini kerana di bandar segala kemudahan tersedia untuk mereka melakukan extra job untuk mencari pendapatan sampingan.
Keinginan untuk menjadi kaya adalah lumrah setiap orang. Jika ada kelompok yang mengatakan bahawa guru, kerjanya hanya untuk mengajar dan berbakti seumur hidup umpama liln membakar diri,mereka adalah golongan yang pendek akal. Mana mungkin dalam kehidupan yang mencabar begini masih ada golongan yang tidak perlu untuk menjadi kaya. Bahkan agama Islam juga mahukan penganutnya kaya agar dapat menyalurkan kekayaannya kepada yang memerlukan.
Namun persoalannya adakah benar tinggal dan mengajar di pedalaman tidak membolehkan guru menjadi kaya sehingga perlu berpindah ? Hasil dari pengamatan penulis, golongan yang sibuk bersidang di meja bulat ini lazimnya golongan yang banyak beralasan dan suka membazir masa. Tidak kira sama ada mereka ketika itu berada di kawasan pedalaman atau ketika sudah keluar bercuti di bandar. Hakikatnya peluang yang datang walaupun hanya ketika cuti langsung tidak menunjukkan kesungguhan mereka untuk mencari kekayaan. Tetap jua mengikat diri dengan isu hiburan dan beristirehat semata-mata. Justeru bolehkah menjadi kaya jika kelompok ini berpindah ke bandar sekalipun ?
Pelbagai peluang bisnes didiskusikan seperti membeli hartanah, bisnes burung walit, bisnes mlm, bisnes itu dan ini. Dicanangkan perkataan 'kalaulah aku berada di bandar' berulangkali untuk menunjukkan semangat berkobar-kobar mereka untuk menjadi kaya. Anehnya, tiada apa-apa tindakan pun setiap kali mereka bercuti panjang di bandar. Tetap berada di takuk lama. Benarlah kata-kata hikmat, manusia lebih ramai yang hanya tahu berkata-kata berbanding yang bertindak.
Pada penulis, golongan pendidik pedalaman seperti ini pasti kekal di takuk lama walaupun ditakdirkan berpindah ke bandar kelak. Tiada bezanya di bandar atau pedalaman jika sikap mereka tidak ikut berpindah sama.
Kepada bakal guru baru, percayalah kekayaan bukan datang kerana anda berada di pedalaman mahupun di bandar. Ia bergantung kepada tindakan yang anda ambil. Jangan jadikan alasan masa depan menjadi gelap atau tidak akan berubah selagi mengajar di pedalaman. Itu semua karut semata-mata.
Sekadar membuat perbandingan, selama hampir empat tahun mengajar di pedalaman, penulis sudah memiliki syarikat sendiri, menghasilkan beberapa buah buku dan menjalankan beberapa bisnes. Walaupun belum KAYA, namun berjaya mendahului rakan-rakan yang sudah lama berada di bandar. Bukan niat untuk takabbur atau riak, tapi itulah mungkin sedikit bukti yang penulis cuba tonjolkan untuk bakal guru agar tidak percaya dengan mitos ini. Sekiranya anda berusaha dan menggunakan akal, percayalah hidup di tengah hutan pun masa depan tetap cerah.

Friday, May 28, 2010

Selamat Hari Guru

16/05/2010 , KAPIT – SELAMAT HARI GURU ! Begitulah ucapan ringkas yang selalu dilaungkan apabila tarikh 16 Mei menjelang setiap tahun. Penulis terkenang pada sambutan kali ini kerana beberapa sebab. Ketika artikel ini ditulis, penulis bersendirian di rumah, di sebuah sekolah pedalaman yang senyap sunyi di tengah-tengah jantung hutan belantara yang tidak dapat ditinjau oleh satelit pada pekat malam.

Pada ketika ini, rakan-rakan di bandar sudah pasti sedang menunggu dan berbalas sms dan emel mengucapkan selamat hari guru kepada rakan seperjuangan. Tidak kurang juga yang menyambutnya dengan pelbagai cara. Terdapat yang mengikuti sambutan rasmi kerajaan, program anjuran sekolah dan sebagainya. Terdetik di hati, adakah sesiapa yang mengingati kami pendidik di tengah belantara ini ? Hanya Allah sahaja yang melihat kami pada malam ini. Semoga para malaikat akan memohon keampunan untuk setiap guru yang sudah menabur jasa di sini.

Kepada semua guru, sambutan hari guru bukanlah bertujuan untuk menerima pujian, anugerah mahupun sanjungan. Walaupun sambutan yang diberikan berfungsi sedemikian, namun sebagai pendidik maksud yang perlu difahami bukanlah begitu. Hari ini juga bukanlah satu hari yang mesti diraikan seolah-olah baru keluar dari penjara seperti yang ramai meraikan di panggung wayang, restoran 24 jam, pusat membeli belah atau paling kurang di depan peti televisyen menunggu-nunggu jika ada pengumuman insentif oleh kerajaan sempena sambutan hari guru.

Hakikatnya inilah sebuah hari yang diperuntukkan kepada para pendidik agar menilai kembali tanggungjawab yang telah diamanahkan. Pada hari inilah azam baru patut dibuat. Pada hari inilah semangat baru perlu dipupuk. Pada hari inilah juga para guru seharusnya menginsafi akan kemuliaan tugas mendidik. Orang di luar sana yang meraikan kita belum tentu memahami apa yang kita rasai. Sekadar melihat guru melalui kaca mata seorang yang pernah bergelar murid. Meraikannya bagi menunjukkan penghargaan kepada guru-guru yang berjasa kepada mereka pada zaman belajar dahulu ataupun guru yang mendidik anak-anak mereka sekarang.

Tidak kira siapa, semua orang meraikannya hari ini. Sama ada mereka itu pernah menyaman guru, pernah mencerca guru atau pernah menulis perkara yang tidak elok berkenaan guru di dada akhbar. Semuanya berubah pada hari ini. Begitulah hebatnya hari guru. Andaikata hari ini disambut selama 365 hari setiap tahun, alangkah indahnya.

Tarikh ini perlu diingati bukan sahaja oleh orang luar kepada komuniti guru, tetapi juga oleh guru itu sendiri. Sambutan yang ditunjukkan pada setiap tahun di kaca televisyen merujuk kepada penghargaan oleh orang luar kepada guru. Namun jarang ditunjukkan bagaimanakah guru sendiri meraikannya. Disebabkan itu, para pendidik sendiri terlepas pandang bagaimanakah mereka sendiri patut meraikannya dengan cara sebagai seorang ahli akademik yang diiktiraf.

Ia mudah. Jangan menyambutnya dengan keterlaluan dalam apa cara sekalipun. Begitulah imej seorang pendidik. Walaupun diraikan dengan kemuliaan, sentiasa merendah diri dan tidak mendabik dada seperti orang lain yang mungkin meraikan sesuatu. Ingatlah ! dalam banyak profesion yang ada, hanya guru yang mempunyai sambutannya tersendiri yang diberi nama hari guru pada tarikh 16 Mei setiap tahun. Pengamal perubatan pun tidak mempunyai hari doktor seperti kita. Begitu juga profesional lain seperti peguam, akauntan dan lain-lain. Mengapa ? Kerana siapa pun mereka, hebat bagaimana pun mereka, semuanya kerana jasa pendidik yang dipanggil guru.

Bantuan Bermusim dan Terpilih

26/04/2010, KAPIT - Kematian seseorang membawa rahmat kepada yang lain. Mungkin begitulah yang berlaku dalam arus perdana di negara Malaysia yang tercinta ini. Dalam sebulan dua ini akan berlangsung dua buah pilihan raya kecil iaitu di Hulu Selangor (sudah berlangsung ketika artikel ini ditulis) dan di bandar Sibu pada bulan Mei ini. Kedua-duanya kerana kematian ahli yang berhormat di kawasan tersebut akibat penyakit yang dihadapi sejak sekian lama. Takziah dan jutaan terima kasih di atas jasa kedua-dua tokoh tersebut.

Ironinya apabila berlaku kekosongan kerusi parlimen sama ada disebabkan kematian atau sebab yang lain, maka pilihan raya kecil mesti dilaksanakan segera. Ketika itulah ungkapan ‘rahmat diatas kematian’ semakin jelas kelihatan. Lihat sahaja bantuan yang mencurah-curah ketika kempen berlangsung yang tidak terfikir pun akan didapati ketika hayat ahli berhormatnya.

Jutaan ringgit disalurkan kepada kepada pelbagai projek untuk meraih undi. Selaku pendidik, penulis melihat bagaimana bantuan yang difokuskan mengalir kepada sebuah entiti yang bernama SEKOLAH. Tidak kurang 3 juta ringgit sudah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri kepada sekolah jenis kebangsaan di kedua-dua kawasan Hulu Selangor dan Sibu. Bahkan dijanjikan juga kerja-kerja pembuatan dan penyelengaraan yang begitu pantas untuk sekolah-sekolah tersebut.

Anehnya sekolah yang tegak berdiri kukuh itulah yang diberi bantuan sedangkan sekolah lain di sekelilingnya yang hampir runtuh langsung tidak dipedulikan. Gara-gara meraih undi kaum Cina, maka peruntukan jutaan ringgit disalurkan kepada sekolah mereka. Di Sibu contohnya, masih terdapat sekolah luar bandar yang lebih memerlukan bantuan bernilai jutaan ringgit itu.

Penulis ingin memberitahu para pembaca semua bahawa kawasan sekolah penulis terletak tiga jam dari Sibu. Sehingga ke hari ini, sekolah ini sudah menyambut hari jadinya yang keempat bulan semenjak terbakar hangus pada 26 Disember 2009 yang lalu. Tiada sekolah di negeri ini mahupun di Malaysia barangkali yang tidak memiliki sekolah di dalam sekolahnya. Apa yang ada ialah sekeping tanah berarang yang mengubahsuai baki pondok, dewan makan dan astakanya untuk djadikan kelas sementara. Tiada sebarang tanda bantuan kerajaan akan tiba walaupun beberapa orang besar seperti Pengarah JPN sendiri sudah datang ke sekolah ini.

Begitulah kadang-kadang terlintas di fikiran penulis dan rakan-rakan. Adakah perlu menunggu kematian ahli parlimen di kawasan sekolah penulis barulah peruntukan jutaan ringgit itu akan disalurkan dengan segera ? Itu baru sebuah sekolah yang hangus terbakar. Belum dikira sekolah-sekolah lain yang bangunannya sudah berusia puluhan tahun dan sudah reput dimakan anai-anai.

Masa Depan Pendidikan di Pedalaman

16/04/2010 KAPIT- Terlintas di kepala, sampai bilakah nasib sekolah di pedalaman akan begini ? Kerajaan sudah bertukar beberapa kali dalam tempoh 50 tahun sesudah merdeka. Namun rupa dan wajah sekolah di pedalaman masih tidak banyak beza berbanding 50 tahun dahulu. Sebagai rekod, sekolah di pedalaman (Sekolah rendah) hanya merangkumi tidak lebih daripada 30% keseluruhan daripada kira-kira 10,000 buah sekolah yang wujud di muka bumi Malaysia ini. Hanya kerana ia terletak di kawasan geografi yang terpencil, maka ia pun turut mundur bersama sama ada dari segi fizikal mahupun akademiknya.

Penulis sering terfikir bahawa jika kemajuan atau kemunduran sesebuah sekolah seiring dengan pembangunan kawasan persekitarannya, maka masalah ini tidak akan selesai sehinggalah kiamat. Mengapa ? Ada dua faktor iaitu :

1) Kewujudan kawasan pedalaman pasti akan terus dikekalkan oleh mana-mana kerajaan sebagai sebuah kawasan yang dianggap sebagai paru-paru bumi, kawasan tadahan hujan, tempat tinggal flora dan fauna dan seumpama dengannya. Justeru, tiada harapan kawasan pedalaman akan berubah wajah kerana kewujudannya akan dikekalkan disebabkan fungsinya yang begitu.

2) Penduduk di kawasan pedalaman yang tidak dapat melawan arus hidup di bandar dari sudut ekonomi dan budaya, pasti akan terus meninggalkan legasi mereka di pedalaman walaupun kerajaan membuat pelbagai inisiatif untuk menarik mereka tinggal di bandar. Legasi ini akan melahirkan keturunan yang terus menerus memerlukan pendidikan di kawasan pedalaman itu. Secara normalnya, pembinaan sebuah bandar (contohnya di semenanjung) yang sudah mmpunyai rangkaian jalan raya pun memerlukan 10-15 tahun, kerajaan manakah yang akan membuat sebuah bandar di kawasan pedalaman untuk mereka ? Jika di buat pun, mungkin akan siap sehari sebelum kiamat barangkali.

Justeru, usaha untuk memartabatkan sistem pendidikan di pedalaman tidak boleh menunggu arus kemodenan datang ke sana. Cadangan yang boleh dibuat ialah hanya dengan memodenkan entiti penting di kawasan tersebut iaitu sekolahnya. Mungkin itulah yang difikirkan oleh kerajaan kini jika melihat daripada perubahan yang ada. Walaupun jumlahnya terlalu kecil, sudah kelihatan sekolah batu yang wujud di tengah-tengah kawasan hutan tebal. Sudah muncul sekolah yang rupa fizikalnya sama seperti sekolah di bandar walaupun kawasan sekelilingnya hanyalah hutan belantara jika ditinjau dari ruang udara melalui helikopter.

Mungkin itulah cara yang paling efektif buat ketika ini. Andaikan jumlah sekolah kategori pedalaman ialah seribu buah dan proses mengubahnya menjadi sekolah batu yang lengkap sama seperti sekolah di bandar ialah 10 buah setahun. Maka untuk melihat kesemua sekolah di pedalaman Malaysia berubah wajah terpaksalah menunggu sehingga seratus tahun dari sekarang.

Artikel ini hanya bertujuan untuk membawa pemikiran para pembaca kepada cara untuk mengubah sekolah di pedalaman. Semua angka dan cadangan hanyalah khayalan penulis sahaja yang disandarkan dengan pemerhatian semasa. Sekiranya terdapat respon dan cadangan terhadap artikel ini, sila emelkan kepada penulis. Jumpa lagi.