03/08/2011, Sibu : Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Alhamdulillah sekali lagi kita dipanjangkan umur untuk bertemu bulan mulia Ramadhan Almubarak. Kepada semua rakan-rakan muslim yang bertugas di kawasan pedalaman sana pastinya mengalami ujian berganda. Rakan-rakan guru yang baru ditugaskan ke sana pula pasti akan merasai semacam perasaan yang sukar digambarkan. Sedih, syahdu, sunyi dan lain-lain. Itulah lumrah hidup di pedalaman. Semoga catatan saya berkenaan Ramadhan di dalam buku Jom Ke Pedalaman dahulu memberi sedikit sebanyak gambaran sambutan Ramadhan di sana.
Syukur kerana saya berkesempatan menyambut Ramadhan kali ini di bandar Sibu kerana menghadiri kursus MBMMBI fasa 3 dan 4 selama seminggu. Kemeriahan menyambut Ramadhan termasuk berpuasa, bertarawikh dan bazaar Ramadhan sambil dikelilingi rakan-rakan guru yang turut berpuasa. Bertambah lagi kesyukuran kerana menyambut puasa ini di sebuah hotel mewah yang serba serbi selesa.
Satu perkara yang saya teringat berkenaan puasa di pedalaman ini ialah sikap rakan-rakan guru non muslim yang sangat bertimbangrasa. Bukan setakat pernah berpuasa bersama malah sanggup memasak dan meraikan guru muslim berbuka bersama-sama. Begitulah kenangan saya ketika berada di sekolah pedalaman. Pada malamnya, bersolat terawikh bersama-sama rakan muslim yang senasib ditugaskan di sini. Syahdunya tidak terkira tatkala orang lain di bandar bersolat bersama keluarga dan berjemaah beramai-ramai di masjid. Mendengar alunan zikir munajat melalui pembesar suara di masjid dan surau serta pelbagai lagi syiar Islam yang lain. Begitulah pengorbanan emosi dan rohani para pendidik muslim di pedalaman. Semoga ibadah kita semua dikira berganda di sisi Allah.
Namun terdapat juga kisah sedih yang pernah saya dengar apabila terdapat guru atau staf muslim yang hanyut tidak berpuasa di kawasan hulu ini. Jika setakat tidak berpuasa masih biasa lagi, namun apabila turut makan dan minum secara terbuka seolah-olah tiada hukum tuhan dan hukum penguatkuasa maka itu sudah melampau batas. Tidak dapat dinafikan keadaan persekitaran yang tiada roh puasa, hidup dihimpit dengan persekitaran berlainan agama, tiada penguatkuasaan penguasa agama dan iman yang nipis menyebabkan perkara seperti ini terjadi. Malangnya contoh buruk ini dilihat oleh majoriti guru dan masyarakat sekitar yang bukan beragama Islam tetapi lebih mengetahui hukum agama Islam itu sendiri.
Kadang-kadang berpuasa di pedalaman ini boleh jadi sangat indah dan boleh jadi sebaliknya. Keadaan inilah yang memerlukan kepada keperluan ilmu dan penghayatan agar keadaan kawasan persekitaran tidak memamah iman di dada. Semoga berjumpa lagi pada entry akan datang. Wassalam