16/05/2010 , KAPIT – SELAMAT HARI GURU ! Begitulah ucapan ringkas yang selalu dilaungkan apabila tarikh 16 Mei menjelang setiap tahun. Penulis terkenang pada sambutan kali ini kerana beberapa sebab. Ketika artikel ini ditulis, penulis bersendirian di rumah, di sebuah sekolah pedalaman yang senyap sunyi di tengah-tengah jantung hutan belantara yang tidak dapat ditinjau oleh satelit pada pekat malam.
Pada ketika ini, rakan-rakan di bandar sudah pasti sedang menunggu dan berbalas sms dan emel mengucapkan selamat hari guru kepada rakan seperjuangan. Tidak kurang juga yang menyambutnya dengan pelbagai cara. Terdapat yang mengikuti sambutan rasmi kerajaan, program anjuran sekolah dan sebagainya. Terdetik di hati, adakah sesiapa yang mengingati kami pendidik di tengah belantara ini ? Hanya Allah sahaja yang melihat kami pada malam ini. Semoga para malaikat akan memohon keampunan untuk setiap guru yang sudah menabur jasa di sini.
Kepada semua guru, sambutan hari guru bukanlah bertujuan untuk menerima pujian, anugerah mahupun sanjungan. Walaupun sambutan yang diberikan berfungsi sedemikian, namun sebagai pendidik maksud yang perlu difahami bukanlah begitu. Hari ini juga bukanlah satu hari yang mesti diraikan seolah-olah baru keluar dari penjara seperti yang ramai meraikan di panggung wayang, restoran 24 jam, pusat membeli belah atau paling kurang di depan peti televisyen menunggu-nunggu jika ada pengumuman insentif oleh kerajaan sempena sambutan hari guru.
Hakikatnya inilah sebuah hari yang diperuntukkan kepada para pendidik agar menilai kembali tanggungjawab yang telah diamanahkan. Pada hari inilah azam baru patut dibuat. Pada hari inilah semangat baru perlu dipupuk. Pada hari inilah juga para guru seharusnya menginsafi akan kemuliaan tugas mendidik. Orang di luar sana yang meraikan kita belum tentu memahami apa yang kita rasai. Sekadar melihat guru melalui kaca mata seorang yang pernah bergelar murid. Meraikannya bagi menunjukkan penghargaan kepada guru-guru yang berjasa kepada mereka pada zaman belajar dahulu ataupun guru yang mendidik anak-anak mereka sekarang.
Tidak kira siapa, semua orang meraikannya hari ini. Sama ada mereka itu pernah menyaman guru, pernah mencerca guru atau pernah menulis perkara yang tidak elok berkenaan guru di dada akhbar. Semuanya berubah pada hari ini. Begitulah hebatnya hari guru. Andaikata hari ini disambut selama 365 hari setiap tahun, alangkah indahnya.
Tarikh ini perlu diingati bukan sahaja oleh orang luar kepada komuniti guru, tetapi juga oleh guru itu sendiri. Sambutan yang ditunjukkan pada setiap tahun di kaca televisyen merujuk kepada penghargaan oleh orang luar kepada guru. Namun jarang ditunjukkan bagaimanakah guru sendiri meraikannya. Disebabkan itu, para pendidik sendiri terlepas pandang bagaimanakah mereka sendiri patut meraikannya dengan cara sebagai seorang ahli akademik yang diiktiraf.
Ia mudah. Jangan menyambutnya dengan keterlaluan dalam apa cara sekalipun. Begitulah imej seorang pendidik. Walaupun diraikan dengan kemuliaan, sentiasa merendah diri dan tidak mendabik dada seperti orang lain yang mungkin meraikan sesuatu. Ingatlah ! dalam banyak profesion yang ada, hanya guru yang mempunyai sambutannya tersendiri yang diberi nama hari guru pada tarikh 16 Mei setiap tahun. Pengamal perubatan pun tidak mempunyai hari doktor seperti kita. Begitu juga profesional lain seperti peguam, akauntan dan lain-lain. Mengapa ? Kerana siapa pun mereka, hebat bagaimana pun mereka, semuanya kerana jasa pendidik yang dipanggil guru.